Mangsa Tunggal Terselamat Dalam Tragedi Tampil Dedahkan Kronologi Kejadian Keracunan Karbon Monoksida Selepas Hampir 2 Tahun
Tragedi keracunan karbon monoksida yang melibatkan empat sahabat baik pada September 2020 kembali tular di media sosial baru-baru ini.
Kejadian tersebut berlaku di sebuah stesen minyak di Sama Gagah, Butterworth. Ia melibatkan empat orang pelajar kolej perubatan swasta yang dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Kedah selepas bercuti di Pulau Jerejak, Pulau Pinang.
Kisah ini sekali lagi mendapat perhatian warganet apabila mangsa tunggal daripada tragedi, Nor Aqilah Mohd Safwan, 23 tampil menceritakan kronologi kejadian selepas hampir 2 tahun di laman TikTok.
Mangsa Keracunan Karbon Monoksida Tidak Tidur Dalam Kereta
Menurut Nor Aqilah, ketika itu mereka sama sekali tidak tidur di dalam kereta jenis Honda Odyssey yang dinaiki dengan enjin tidak dimatikan seperti yang diwar-warkan sebelum ini.
“Kami berhenti sekejap untuk beli makanan. Tak ada pun cakap letih nak tidur”
Mengimbas detik sebelum kejadian, mereka mulakan perjalanan pada jam 8.00 malam dan berhenti di stesen minyak pada jam 8.40 malam.
Sebaik tiba, dua sahabatnya, Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni dan Ayuni Shazwanie Shabri turun membeli makanan.
Nor Aqilah dan kembarnya, Nor Adilah yang memandu kereta ketika itu kekal dalam kereta. Nor Aqilah juga masih ingat yang kembarnya ada mengadu pening.
Kemudian, Nor Aqilah keluar dari kereta seketika untuk membantu dua sahabatnya bawa makanan yang sudah dibeli. Perkara terakhir yang diingatinya ialah apabila dia dan sahabatnya masuk kereta setelah membeli makanan.
“Lepas ambil makanan terus masuk kereta untuk makan dan kami ada borak kejap. Masa tu saya rasa pening yang terlampau sangat saya letak makanan dan terus bersandar.
Lepas tu terus saya tak sedar, bangun buka mata je dah ada kat katil hospital, seminggu kat ICU memang tak tahu apa-apa,” jelas Nor Aqilah.
Menurut Nor Aqilah, dia hanya dapat tahu perkara sebenar dari ibu bapa setelah dipindahkan ke wad biasa.
“Ada yang tanya punca kejadian. Menurut forensik ada gas bocor cuma kami tak perasan sebab tak ada bau dan tanda-tanda.
Mangsa Tunggal Redha Dengan Ketentuan Ilahi
Siapalah mampu menolak takdir, hanya mampu reda meneruskan hidup, Al-Fatihah untuk sahabat syurga saya”, luah Nor Aqilah.
Hanya tinggal kenangan, gadis ini turut sertakan screenshot perbualan terakhir sesama mereka di Whatsapp.
Dalam kejadian tersebut, keempat-empat sahabat ini ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta yang enjinnya masih terpasang oleh bapa Ayuni Shazwani kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
Bapa Ayuni Shazwani dikatakan keluar mencari anaknya selepas bimbang mangsa masih tidak sampai di rumah pada jam 11.00 malam selepas menghantar mesej kepada ibunya jam 9.15 malam.
Malang tidak berbau, Sharifah Fariesha disahkan meninggal dunia di dalam kereta, Ayuni Shazwanie pula menemui ajal ketika dirawat di Hospital Seberang Jaya.
Nor Adilah pula meninggal dunia di Hospital Angkatan Tentera Lumut, Perak pada keesokan harinya.
Laporan bedah siasat yang diterima polis mendapati kejadian berlaku disebabkan keracunan karbon monoksida hingga mengakibatkan kegagalan pelbagai organ.
Pemeriksaan kereta juga mendapati kenderaan dinaiki empat sahabat berkenaan mengalami kebocoran di bahagian ekzos kereta dan mengeluarkan bunyi dan bau asap yang sangat kuat.
Perkongsian mangsa tunggal ini mendapat perhatian ramai. Video Tiktok yang dimuatnaik telah mencecah lebih 430,000 tontonan dan dihujani dengan komen simpati serta kata-kata semangat buat gadis tersebut.