Kami Makan Apa Yang Ada Termasuk Sisa Roti Kering Dan Biskut Yang Disedekahkan Orang Ramai


**Para pembaca yang mengenali beliau, diminta menghubungi kami untuk memastikan saluran sumbangan disampaikan kepada beliau.

 

Walaupun sering dikeji, dihina dan diherdik segelintir jiran setiap hari berikutan rumahnya di Hilir Solok Sungai Pinang, di sini, berbau busuk, Khatijah Mohamad Yusuff, 63, tetap bersabar dan tabah meneruskan kehidupan selepas lumpuh dari paras pinggang ke bawah sejak dua tahun lalu.

Kini, dia tidak mampu bangun dan sekadar duduk di atas katil dan melakukan pelbagai kerja dari atas katil itu termasuk melipat pakaian serta memasak.

Jika mahu memasak, dia menarik dapur gas menggunakan tongkat dan meminta cucu berusia empat tahun, Nur Iman Umairah mengambil bahan untuk dimasak dengan menu ala kadar.

Malah, dia yang tinggal berdua bersama Nur Iman di rumah itu menyifatkan kanak-kanak itu bukan sekadar peneman, malah tempat dia bergantung harap.

GEORGETOWN 27 MARCH 2017. (FOR METRO) Khatijah Mohamad Yusuff, 63, (kanan) yang tinggal bersama cucunya Nur Iman Umairah Ahmad, 4, yang tetap bersabar dan tabah dengan nasib yang menimpa mereka semasa ditemui di Hilir Solok Sungai Pinang, Georgetown. STR/SHAHNAZ FAZLIE SHAHRIZAL

“Saya lumpuh sejak dua tahun lalu dan tidak dapat bergerak, sebaliknya hanya mampu duduk di katil. Di katil inilah saya mandi, tidur, memasak, kencing serta buang air dan saya buat semua itu sendiri tanpa bantuan sesiapa.

“Sejak suami meninggal dunia Oktober tahun lalu, saya sudah hilang tempat untuk bergantung hidup, malah hilang sumber kewangan dan kini tinggal berdua bersama Nur Iman.

“Sebelum suami meninggal dunia, dia tempat saya dan Nur Iman bergantung hidup. Namun, selepas suami pergi, saya dan cucu pernah tidak makan beberapa hari berikutan tiada wang,” katanya yang menghidap penyakit tiga serangkai iaitu kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung.

Khatijah mengakui mendapat bantuan RM350 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan wang itu digunakan untuk membayar bil elektrik dan air, manakala selebihnya untuk membeli barang dapur dengan bantuan jiran atau adiknya.

“Kadang-kadang barang dapur hanya bertahan beberapa hari saja. Selepas barang dapur habis, saya dan cucu makan apa yang ada termasuk sisa roti kering dan biskut disedekahkan orang yang datang menziarahi kami.

“Saya tidak tahu kepada siapa untuk meminta wang bagi membeli keperluan harian. Kami hanya menanti jika ada jiran baik hati dan orang ramai datang melawat kami memberi sedekah,” katanya.

Nasib Khatijah semakin teruk selepas dia dihina dan dikeji segelintir jiran tetangga berikutan tempat tidurnya itu berbau busuk dan hancing akibat tidak dicuci.

Beliau berkata, dia tidak dapat mencuci katilnya berikutan tidak dapat bangun akibat lumpuh, sebaliknya hanya mampu duduk saja di katil.

“Saya hanya mampu duduk dan membuat kerja rumah di atas katil ini. Saya tidak dapat bangun, hanya tangan saja dapat bergerak untuk melakukan kerja rumah manakala kaki saya lumpuh.

“Pergerakan saya terhad menyebabkan tidak dapat mencuci dan membasuh cadar sehingga ia berbau busuk. Bagaimanapun, saya tetap bersabar dan berharap jiran terbabit memahami keadaan hidup kami,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada Khatijah boleh ke rumahnya di Nombor 11F Hilir Solok Sungai Pinang, Georgetown berikutan tidak ada telefon serta akaun bank.

**Para pembaca yang mengenali beliau, diminta menghubungi kami untuk memastikan saluran sumbangan disampaikan kepada beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat