Pengangguran Di Malaysia: Faktor Utama Penyumbang Kadar Pengangguran Dalam Kalangan Siswazah
Pengangguran menjadi isu yang tidak asing lagi bagi kita, terutama ketika negara masih lagi berdepan dengan pandemik Covid-19. Sejak dunia dilanda wabak tersebut, ramai dalam kalangan kita yang hilang punca pendapatan. Malah, lebih parah lagi, ada yang hilang pekerjaan.
Sesebuah negara dikatakan mempunyai pertumbuhan yang baik sekiranya kadar penganggurannya rendah. Sebaliknya, jika kadar pengangguran sesebuah negara itu tinggi, ini bermakna, berlakunya pembaziran dalam aspek sumber manusia. Oleh itu, Masalah pengangguran terus menjadi salah satu masalah ekonomi yang sangat penting dan harus ditangani dengan segera. Semestinya ia merupakan cabaran baru kepada graduan kini.
.
Faktor Utama Pengangguran
1. Lambakan Graduan
Lumpuhnya sektor ekonomi ketika dunia diancam wabak Covid-19 sejak akhir tahun 2019, dilihat dapat memberi kesan kepada kedudukan pasaran buruh dan seterusnya menyebabkan lambakan siswazah meningkat dengan begitu ketara.
Malah, sebelum tahun mulanya pandemik lagi, negara kita dilihat menghadapi masalah lambakan graduan yang menjadi penyumbang terbesar masalah pengangguran di Malaysia.
Menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada tahun 2019, graduan siswazah tempatan dilihat meningkat 6.9 peratus atau sebanyak 5.29 juta lebih tinggi berbanding 4.94 juta pada tahun 2018. Tambahan, peratusan graduan siswazah dalam tenaga buruh juga turut meningkat 6.8 peratus daripada 4.14 hingga 4.42 juta orang pada tahun 2018 hingga 2019.
Manakala, kadar penyertaan tenaga buruh graduan siswazah pada tahun 2019 pula dilihat menurun sebanyak 0.1 peratus, iaitu daripada 83.6 peratus kepada 83.5 peratus. Pada tahun yang sama (2019), seramai 170 300 orang penganggur graduan siswazah dicatatkan dan jumlah ini dilaporkan meningkat sebanyak 5.5 peratus berbanding dengan tahun 2018, iaitu sebanyak 161 300.
Justeru, lebih menyedihkan, para graduan ini bukan sahaja perlu berdepan dengan masalah pengangguran malah terpaksa mencari pekerjaan di luar bidang pengajian mereka.
2. Sikap Memilih Kerja
Sikap individu atau graduan yang terlalu memilih pekerjaan yang juga menjadi punca terbesar berlakunya pengangguran dalam kalangan graduan. Graduan kini, terlalu memikirkan standard dan cenderung memilih pekerjaan yang dianggap bagus dan baik dengan standardnya walaupun pekerjaan yang dipilih itu tidak setaraf dengan kelulusannya.
Malah jauh lebih parah, ianya tersasar jauh dari bidang pengajian mereka di universiti. Akhirnya, mereka lebih sanggup menganggur daripada bekerja sebagai kerani atau jawatan lain yang dirasakan kurang setaraf.
3. Kelulusan Yang Tidak Bersesuaian
Kelulusan yang tidak bersesuaian dengan keperluan industri juga menjadi antara salah satu punca berlakunya pengangguran dalam kalangan graduan. Graduan yang mempunyai kelulusan yang tinggi ini akan menghadapi krisis dan terpaksa menganggur dalam tempoh yang lebih lama.
Setiap syarikat semestinya mempunyai keinginan untuk memastikan aktiviti ekonominya membawa kecekapan ekonomi yang paling besar. Oleh itu, pihak universiti perlu mengambil langkah kreatif, kritis dan inovatif dalam memperkenalkan aspek pengajian yang lebih mesra dengan dunia pekerjaan.
Hal ini supaya dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran siswazah. Walaubagaimanapun, hal ini tidak bermaksud program pengajian sedia ada tidak lagi penting, malah IPT perlu menambahbaik kualiti demi melahirkan siswazah yang lebih berdaya saing.
Faktor Lain Pengangguran
1. Takut Untuk Mencuba
Pengangguran dalam kalangan penuntut universiti akan terus berpanjangan sekiranya mereka tidak mempunyai usaha dalam mencari alternatif baru. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Para graduan sebenarnya boleh menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang perniagaan dan keusahawanan.
Dalam pada mereka berusaha untuk mendapatkan pekerjaan dalam bidang pengajian masing-masing. Graduan boleh melibatkan diri dalam kegiatan perniagaan yang boleh membantu mereka mendapatkan pendapatan sampingan.
Bidang keusahawanan sendiri dilihat dapat memberi peluang yang begitu meluas kepada golongan muda sehingga di Institut Pengajian Tinggi (IPT) turut menjadikan subjek keusahawanan sebagai subjek wajib ambil dan wajib lulus untuk syarat bergraduat.
2. Kehendak Majikan
Kebanyakkan majikan pada masa kini mahukan pekerja yang memberikan hasil kerja dan kualiti perkhidmatan yang baik, berkomunikasi dengan fasih dan efektif, dan mampu melakukan kerja yang diberikan dengan cekap tanpa bergantung harap pada orang lain. Hal ini memperlihatkan kehendak atau permintaan majikan yang terlalu tinggi kepada para pekerja yang ingin bekerja di syarikat mereka.
3. Kebanjiran Pendatang Asing
Negara kita yang menjadi syurga kepada golongan imigran seperti warga Indonesia dan Thailand semestinya menjadi penyumbang kepada masalah pengangguran di negara kita. Hal ini kerana mereka mendapat kerja dengan mudah terutamanya dalam sektor pembuatan dan perindustrian.
Tambahan, majikan lebih berminat untuk menggunakan tenaga asing berbanding warga tempatan kerana jumlah bayaran gaji yang lebih murah berbanding warga tempatan.
4. Kursus Tiada Pengiktirafan
Sesetengah institusi pengajian menawarkan kursus yang tidak mendapat pengiktirafan oleh kerajaan dan industri. Lambakan institusi pengajian ini hanya bermain dengan kata-kata apabila menawarkan jurusan yang tidak mendapat pengiktirafan dan memenuhi perspesifikasi perkerjaan yang ditetapkan.
Justeru, para graduan haruslah bijak dalam mengatur langkah hidup masing-masing dan perlu belajar untuk memulakan sesuatu dari bawah untuk mendapatkan pengalaman. Bukannya berangan-angan untuk terus berada di atas. Tambahan, dengan era serba mencabar ini, graduan perlu bijak merebut sebanyak mungkin peluang yang ada bagi mendapatkan pekerjaan. Ayuh graduan! persiapkan diri untuk lebih berdaya saing.