Nak Petik Pun Kena Ada Kepakaran, Ini Sebab Mengapa Harga Rempah Saffron Setanding Emas
Isu nasi arab Chef Ammar yang berharga puluhan ringgit masih menjadi bualan hangat netizen sehingga ke hari ini.
Disebabkan penetapan harga yang mahal, beliau teruk dikritik oleh netizen. Menurut Chef Ammar, beliau bukannya sengaja ingin menjual nasi arabnya dengan harga mahal, malah beliau perlu menetapkan harga yang setara dengan modal yang dikeluarkan untuk hasilkan hidangan tersebut.
Bagi menjawab spekulasi netizen, beliau tampil di TikTok untuk berkongsi proses persediaan nasi arab yang rumit serta pemilihan ramuan import serta berkualiti tinggi.
Antara rempah yang dikenalpasti sebagai salah satu punca harga nasi arab Chef Ammar mahal adalah saffron.
Sememangnya ia adalah salah satu rempah termahal di dunia atas pelbagai faktor seperti proses penjagaan serta cara tuaian yang cukup rumit.
Kalau nak tahu kenapa saffron digelar sebagai rempah termahal di dunia, teruskan membaca !
Apa Itu Saffron ?
Dari mata kasar, saffron dilihat sebagai helaian atau benang merah. Ia sebenarnya berasal daripada bunga Crocus sativus.
Sering dikenali sebagai pokok crocus, stigma bunga crocus dikumpulkan dan digunakan sebagai pewarna dan bahan perasa semulajadi.
Sesetengah chef mendapati aroma khas saffron adalah seperti gabungan bau madu dan jerami. Bau saffron yang unik juga boleh jadi salah satu cara untuk kenalpasti keasliannya.
Warna serta aroma unik yang dihasilkan oleh rempah saffron menjadikan ia sesuai untuk digunakan dalam hidangan Timur Tengah.
Kenapa Rempah Saffron Mahal ?
1. Hanya Tumbuh Di Kawasan Tertentu
Bunga saffron yang berkualiti hanya dapat tumbuh di kawasan dengan persekitaran dan suhu yang spesifik. Hal ini kerana pokok bunga crocus memerlukan musim sejuk dengan cuaca yang tertentu untuk mekar dengan baik. Ia juga hanya mekar setahun sekali sahaja.
Saffron yang berasal dari Greece ini hanya boleh ditanam secara meluas di beberapa negara seperti India, Sepanyol, Amerika Syarikat dan Itali. Pada saat ini, negara Iran masih kekal sebagai pengeluar utama rempah saffron untuk pasaran serata dunia.
2. Nak Petik Pun Kena Ada Kepakaran
Sehingga ke hari ini, saffron kekal sebagai rempah paling mahal di dunia.
Bukan itu sahaja, sebaik mekar, saffron hanya boleh dipetik menggunakan tangan secara manual. Pekerja pula perlu dilatih sebaiknya supaya dapat memetik stigmanya yang sangat sensitif dan rapuh !
Jika rosak atau patah, kualiti saffron akan berkurang, sekaligus menjejaskan harga pasarannya. Selepas susah payah dipetik, rempah saffron perlu melalui proses pemanasan dan pengeringan yang agak rumit supaya rasanya lebih meyerlah dan tahan lebih lama.
3. Sekuntum Bunga Hasilkan 3 Helai Rempah Saffron Sahaja !
Sebab itulah harga saffron mahal ! Untuk mendapatkan 1 sudu besar saffron, kira-kira 50 hingga 60 bunga crocus diperlukan ! Maka tidak hairanlah rempah saffron ini sering digelar sebagai red gold.
1 gram saffron biasanya dijual dengan harga RM 25 hingga RM50. Bayangkanlah berapa ringgit pula yang perlu dibelanjakan oleh Chef Ammar untuk gunakan rempah ini dalam hidangan nasi arabnya ?
4. Mengandungi Banyak Khasiat
Dari penghasilan minyak wangi, ubat-ubatan serta pewarna pakaian, orang-orang terdahulu di Greece, China dan India sudah lama memanfaatkan saffron untuk pelbagai kegunaan.
Meskipun harganya mahal, rempah saffron masih mendapat permintaan tinggi kerana khasiat yang terkandung padanya.
Kajian terkini pula mendapati banyak khasiat saffron serta potensi untuk tingkatkan kesihatan tubuh badan antaranya dalam merawat senggugut, diabetes, kemurungan, Alzheimer serta mengurangkan berat badan.
Kini, anda sudah tahu kenapa saffron mahal sangat. Nak petik rempah saffron pun leceh, kalau salah petik pula boleh jejaskan harga pasaran ! Sudahlah susah untuk pastikan bunga crocus kembang dengan baik sebelum dituai. Oleh sebab itulah rempah saffron sangat dihargai sebagai rempah termahal di dunia.
Kalau nak nikmati makanan yang mengandungi saffron, anda perlulah sediakan duit lebih kerana ianya pasti lebih mahal berbanding hidangan biasa.