Akui Tohmahan Orang Antara Cabaran Terbesar, Chef Ammar Tak Putus Asa Untuk Sajikan Hidangan Nasi Arab Terbaik Untuk Semua


Nama Chef Ammar baru-baru ini menjadi bualan hangat warganet apabila dikatakan harga nasi arab yang dijual di bazaar Ramadhan mahal. Tidak cukup dengan itu, netizen turut memberi komen yang berbaur sensitif terhadap chef yang berasal dari Palestin ini apabila menyamakan harga nasi arabnya seperti terjual di Tel Aviv, Israel.

“Harga di Tel Aviv, padahal jual dekat bazar je”

“Bahan mahal tapi rasa sama dengan nasi arab yang lain”

Komen-komen sebegini jelas membangkitkan kemarahan Chef Ammar.

chef ammar

Bagi menjawab spekulasi netizen, beliau tampil di TikTok untuk berkongsi proses persediaan nasi arab yang rumit serta pemilihan ramuan import serta berkualiti tinggi.

Meninjau ruangan komen, ramai netizen yang memberikan kata-kata semangat dan menyokong hasil air tangan Chef Ammar.

ramai netizen yang menyokong chef ammar

Kredit : The Vocket

Chef Ammar Bersyukur Jualan Mendapat Sambutan

Pada bulan Ramadhan kali ini, Chef Ammar berniaga di bazaar yang terletak di Seksyen 13 dan USJ 4, Selangor. Meskipun dikritik oleh sesetengah netizen, beliau tetap bersyukur atas sambutan yang sangat baik dari penduduk setempat sehingga jualannya habis setiap hari.

Beliau yang sudah berkecimpung dalam bidang pengurusan hotel selama 30 tahun ini sangat mementingkan kualiti makanan yang dihasilkan. Chef Ammar juga sudah terbiasa dalam menitikberatkan kebersihan dan makanan.

“Pelanggan saya bukan makan percuma. Duit yang mereka peroleh bukan dikutip dari tepi jalan, malah mereka bekerja keras untuk beli santapan yang sedap pada bulan Ramadhan. Oleh itu saya perlulah berikan yang terbaik buat mereka,” ulas Chef Ammar.

Walaupun ramai netizen yang mengatakan harga nasi arabnya mahal, beliau percaya harga yang ditetapkan bakal menjamin kepuasan hati pelanggan.

Menurutnya, makanan yang dijual masih panas dan dimasak segar setiap hari dengan barangan premium seperti rempah ratus saffron, kekacang, biji labu dan sebagainya.

chef ammar

Chef Ammar Merantau ke Banyak Negara Untuk Timba Pengalaman

Mungkin ramai yang mula mengenali Chef Ammar melalui rancangan memasak di kaca TV suatu ketika dahulu, tetapi sebenarnya beliau sudah pun berkecimpung dalam bidang ini sejak awal 90an.

Mengimbau kembali kenangan lama, beliau akui zaman dahulu bukan macam sekarang. Usaha yang bersungguh-sungguh amat diperlukan untuk kekal dalam industri kulinari ini.

Chef berusia 19 tahun ketika pertama kali menjejakkan kaki ke Malaysia. Ketika itu, beliau memasuki universiti Islam terlebih dahulu sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang seni kulinari di kolej swasta.

Setelah tamat belajar, beliau berhijrah pula ke Maldives kemudian menetap di sana selama 4 tahun. Beliau juga banyak berhijrah ke negara lain seperti Sri Lanka dan negara-negara Asia lain.

Kemudian, beliau kembali lagi ke Malaysia pada tahun 1996 untuk lanjutkan pelajaran dalam bidang Pengurusan Hotel di Pulau Pinang.

Beliau juga tidak kisah jika tidak dibayar gaji asalkan dapat belajar sebanyak mungkin dalam bidang ini. Untuk menimba pengalaman, beliau juga pernah bekerja di hotel serata dunia seperti China, Hong Kong dan Jordan.

Kemunculan di Kaca TV Pembawa Tuah Bagi Chef Ammar

chef ammar

Pada mulanya dia menyewa setengah kedai untuk buka restoran. Ketika itu, beliau baru mula buat kemunculan di kaca TV.

Semakin lama, Chef Ammar makin terkenal dengan taglinenya “masak dari hati, masak dengan iman”. Bermula dari situ, orang ramai mula teringin untuk rasa sendiri air tangan chef ini.

Kemunculannya di kaca televisyen sekaligus menjadi batu loncatan buat Chef Ammar untuk kembangkan lagi perniagaannya.

Atas permintaan ramai, Chef Ammar kini berjaya mengembangkan perniagaannya sehingga tertubuhnya 3 restoran pada hari ini.

“Industri Ini Penuh Cabaran..”

Chef Ammar akui untuk kekal dalam industri ini bukan perkara yang mudah. “Dalam industri ini, kita perlu banyak bersabar. Buatlah yang terbaik dan yakin pada Allah yang Dia akan bantu beri rezeki pada kita,” ulas Chef Ammar.

Menurutnya, antara cabaran terbesar yang perlu dihadapi adalah ‘mulut orang’ namun beliau tidak gentar kerana percaya rezeki yang sudah diatur oleh Allah.

“Sebelum anda cakap mahal, rasa dahulu, tengok dahulu ramuan apa yang digunakan.

Memang sukar untuk puaskan hati semua orang namun saya tak pernah putus asa, saya boleh tunjukkan standard dan cara kerja saya.

Saya dah buat yang terbaik untuk capai standard yang tinggi setiap tahun. Standard bukanlah percuma, malah ia memakan kos yang tinggi,” ujar Chef yang berusia 52 tahun ini.

Dalam pada itu, Chef Ammar juga berharap semoga legasi dan jenamanya dapat diteruskan oleh anaknya. Beliau juga sempat berterima kasih kepada semua yang menyokong dan memberi komen kepadanya untuk terus berusaha menjadi yang terbaik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat