Penjelasan Kawan Tak Konsisten, Rakaman CCTV Tersebar, Spekulasi Kematian Tangmo Nida Terus Berlegar di Kalangan Netizen
Kes kematian Tangmo Nida pelakon dan penyanyi dari Thailand kini menjadi topik hangat di kalangan warganet. Banyak spekulasi telah timbul tentang kes ini sambil menuding ke arah lima individu lain yang turut berada bersama mangsa pada malam kejadian.
Memetik laporan Bangkok Post, Tangmo Nida, 38 tahun dikatakan menaiki bot di Sungai Chao Phraya pada 24 Februari iaitu Khamis lepas bersama beberapa orang kawan termasuk pembantu peribadinya.
Mereka semua difahamkan sedang dalam perjalanan dari Jambatan Krung Thon di Bangkok menuju ke Jambatan Rama VII di Nothaburi pada waktu malam.
Ketika dalam perjalanan, pelakon tersebut dipercayai tidak memakai jaket keselamatan telah duduk di bahagian bot paling belakang. Namun, Tangmo Nida tiba-tiba tergelincir dari bot berkenaan sebelum terjatuh ke dalam sungai.
Selepas 38 jam operasi pencarian, akhirnya mayat Tangmo ditemui terapung pada hari Sabtu oleh abangnya sendiri.
Bedah siasat mendedahkan punca kematian adalah akibat lemas dan terdapat luka besar dan dalam di bahagian peha dipercayai terkena kipas bot. Paru-paru mangsa juga dipenuhi lumpur sementara kepalanya mengalami kecederaan.
Ahli forensik turut menolak dakwaan rakannya yang mengatakan Tangmo Nida sedang buang air kecil ketika terjatuh kerana mayat yang dijumpai memakai baju renang yang susah dibuka untuk buang air.
Kawan-Kawan Tangmo Tidak Bersungguh Dan Mencurigakan
Ketika kejadian berlaku, kawan-kawannya memberi alasan tidak dapat mencari Tangmo ketika itu kerana keadaan persekitaran yang sangat gelap.
Namun kenyataan ini menjadi tanda tanya apabila gambar terakhir Tangmo bersama pembantu peribadinya tular di media sosial memaparkan suasana sungai Chao Phraya yang dilimpahi cahaya. Macam mana kawan-kawannya boleh kata gelap ?
Tragedi kematian Tangmo Nida menjadi semakin mencurigakan apabila kawan-kawannya terus lesap selama 24 jam sebelum melaporkan insiden tersebut kepada pihak polis.
Kenapa mereka tak lapor terus pada polis selepas Tangmo terjatuh ? Jika kawan kita yang terjatuh dan hilang daripada sungai, kita pasti panik dan segera hubungi polis, kan ?
Pembantu peribadi Tangmo, Kratik akui tidak memberitahu keluarga mangsa sejurus selepas kejadian kerana menganggap tiada gunanya. “Ibu Tangmo bukan penyelam skuba, buat apa saya beritahu dia? “, ujar Kratik menerusi satu temubual.
Kratik juga akui tidak melaporkan perkara ini kepada polis pada keesokan harinya kerana menganggap Tangmo akan pulang, jadi dia memilih untuk tunggu di rumah mendiang yang ditumpangi bersama anaknya selama ini.
Rakannya Wisapat juga mengaku tidak laporkan kejadian ini kepada pihak berkuasa lebih awal kerana menganggap Tangmo akan pulang menaiki perahu lain selepas terjatuh.
Selain itu, rakaman CCTV juga mendapati gerak geri kawan-kawan Tangmo jelas tenang dan selamba sahaja ketika sedang menuju ke balai polis untuk membuat laporan.
Sementara itu, tular di media sosial sebuah video di Tiktok yang menambahkan kecurigaan netizen. Video tersebut menunjukkan kawan-kawan Tangmo menunjukkan arah yang berbeza apabila ditanya di mana lokasi mangsa terjatuh.
Ibu Curiga Dengan Keterangan Saksi Kes Kematian Tangmo Nida
Ibu mangsa, Panida Sirayutthayothin yakin bahawa ada sesuatu yang cuba disembunyikan mengenai kematian Tangmo Nida.
Panida juga tidak menolak kemungkinan berlakunya pertengkaran antara mangsa dan rakan-rakannya ketika berada di atas bot ketika itu.
Selain keterangan saksi yang tidak jelas, ibu mangsa turut curiga tentang kematian anaknya disebabkan lemas sedangkan anaknya pandai berenang.
Rakaman CCTV Tunjukkan Bukti Bercanggah
Rakaman CCTV yang tular juga mendapati terdapat lima gelas minuman berisi wain tetapi siasatan polis hanya menemukan satu gelas sahaja.
Tidak hanya itu, netizen turut mempersoalkan kesan calar pada tangan dan bahu seorang individu yang berada di dalam bot.
Namun, pemeriksaan doktor mendapati luka tersebut sudah ada sebelum kejadian kira-kira seminggu lepas. Punca kesan calar dipercayai bukan daripada cakaran kuku, manakala lebam disebabkan hentakan objek keras.
Lesen Bot Laju Sudah Tamat Tempoh
Pemilik bot, Tanupat Lerttaweewit mendakwa jaket keselamatan sudah disediakan namun tiada satu penumpang pun memakainya kerana tidak tahu mana ia disimpan.
Tidak kurang juga sesetengah pihak turut mendakwa Tangmo tidak memakai jaket keselamatan kerana ingin bergambar di atas bot.
Media Thailand turut melaporkan pemandu bot tidak mendengar bunyi sesuatu terjatuh kerana bunyi enjin bot yang sangat kuat. Mengikut logik, mustahil pemandu tidak sedar sekiranya enjin bot berlanggar dengan sesuatu.
Tanupat serta pemandu bot, Phaiboon telah pun didakwa atas pengendalian kapal tanpa lesen dan kecuaian yang membawa kepada kematian.
Phaiboon dilaporkan hilang kawalan dan mendorong Tangmo Nida yang berada di belakang bot memegang rakan wanitanya, Wisapat kerana bimbang jatuh.
Takut diseret ke dalam sungai, Wisapat mendakwa telah mengalihkan kaki sehingga menyebabkan Nida hilang imbangan lalu jatuh ke sungai dan mengakibatkan paha kanan pelakon tersebut terkena kipas bot.
Netizen Sangsi Pembantu Peribadi Mungkin Ada Motif Tersendiri
Dakwaan lain juga timbul apabila mendapati Tangmo Nida baru sahaja mengambil insurans kemalangan 10 bulan lalu bernilai RM 130,000 dan meletakkan nama anak angkatnya, Easter sebagai penerima faedah.
Menurut sumber, Easter didakwa merupakan anak kepada pembantu peribadi Tangmo Nida iaitu Kratik.
Hal ini secara tidak langsung mencetuskan spekulasi di kalangan netizen yang membuat andaian kemungkinan Kratik tidak mahu menyelamatkan Tangmo Nida. Sekiranya pelakon itu mati, Kratik dan anaknya akan menerima wang insurans tersebut.
Pihak polis dikhabarkan akan memanggil lima individu yang berada di atas bot pada malam itu untuk pertuduhan kecuaian yang membawa kepada kematian dan memberikan kenyataan palsu kepada penyiasat.
Selain melakukan siasatan lanjut ke atas kelima-lima individu tersebut, polis juga akan menyoal lebih ramai saksi serta tiga nelayan tempatan yang meilhat kejadian pada malam itu.
Meskipun kes ini sudah berlaku lebih daripada seminggu, namun ia masih menjadi perbualan hangat netizen di sosial media.
Rata-rata warganet turut bersimpati atas tragedi yang menjurus kepada kematian Tangmo Nida serta berharap agar misteri dapat dirungkai segera.