FAREEDA NYATA JELITA : Sejarah dan Jatuh Bangun Perniagaan Yang Mencatat Jualan Ratusan Juta Setahun – Daily Rakyat

FAREEDA NYATA JELITA : Sejarah dan Jatuh Bangun Perniagaan Yang Mencatat Jualan Ratusan Juta Setahun


Artikel ini telah dikongsikan oleh Daily Niaga.

Jenama tudung Fareeda sememangnya menjadi pilihan kaum Hawa di negara ini. Hasil tangan dan rekaan pengasas Fareeda, Faridah Zakaria menjadi buruan penggemar fesyen tudung yang mahu kelihatan anggun, eksklusif, berkeyakinan dan berkarisma.

Beratur panjang sebelum butik memulakan operasi dan ada yang sanggup bermalam di depan butik semata- mata untuk mendapatkan nombor giliran dan rekaan yang diinginkan, merupakan senario yang sinonim dengan Fareeda setiap kali mengadakan promosi dan jualan rekaan baharu.

Bagi pengarah Fareeda Global Resources Sdn. Bhd., Mawar Abdul Karim, fenomena tersebut di luar jangkaan mereka sekeluarga dan mengakui bukan mudah untuk ibunya berjaya kerana pelbagai cabaran terpaksa dihadapi.

“Saya melihat sendiri jatuh bangun ibu sebelum berada pada tahap sekarang. Alhamdulillah, hasil kecekalan ibu hampir 10 tahun, ibu berjaya memajukan perniagaan tudung,” katanya.

Modal Hanya RM3,000

Bermula dua mesin jahit – Mawar berkata, beliau tidak menyangka, hanya bermula dengan dua mesin jahit terpakai yang dibeli oleh bapa digunakan untuk menjahit tudung dengan niat memenuhi minat mendalam dalam perniagaan dan menghasilkan rekaan yang cantik, unik dan eksklusif, ibunya kini menjadi usahawan yang berjaya.

“Saya masih ingat, pada pertengahan tahun 2006 ibu mula berjinak-jinak menjahit tudung di rumah kami yang terletak di Permatang Pauh, Pulau Pinang setelah berbincang dan mendapat galakan daripada suami untuk menceburi bidang perniagaan penghasilan tudung.”

“Pada mulanya ibu memulakan perniagaan menjahit tudung yang ditempah kawan-kawan dan saudara mara. Tudung tersebut menggunakan jenama Maisara yang mempunyai ‘awning’ sahaja, dijual dengan harga agak rendah walaupun menggunakan kain chiffon berkualiti dan margin keuntungan sangat kecil sebagai percubaan memperkenalkannya di pasaran,” katanya.

Mawar Fareeda

Segalanya berubah apabila bapanya berpindah ke Bangi, Selangor kerana bertugas di ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada awal 2007.

“Kami menyewa rumah di Bangi dan ibu mahu meneruskan perniagaannya. Walaupun ibu tidak biasa dengan keadaan seperti mencari benang dan kain di Bangi, beliau usahakan cari material diperlukan, sekitar Lembah Klang,” katanya.

Mawar berkata, melihatkan sambutan sangat baik, maka perluasan pemasaran perlu dilakukan lalu mereka mencari pembantu dengan mengiklankannya di akhbar Sinar Harian dengan bayaran RM500 untuk iklan tidak berwarna.

“Pada waktu itu, RM500 terlalu tinggi dirasakan oleh kami memandangkan pengiklanan di dalam surat khabar merupakan sesuatu yang baru buat kami di mana kesannya belum dapat diketahui lagi. Saya ambil gambar sendiri dan menjadikan kawan baik saya sebagai model untuk jimat kos.”

“Alhamdulillah dengan bermodalkan kurang RM3,000 perniagaan ibu semakin maju di Bangi,” katanya.

Tudung Ekslusif Fareeda

Tambahnya, peluang diberikan sebuah akhbar arus perdana yang menyiarkan artikel mengenai kegigihan ibunya menjahit tudung dengan rekaan idea unik dan pada ketika itu masih baru di negara ini melonjakkan perniagaan Fareeda.

“Pada ketika itu, kami menerima banyak tempahan tudung dan ibu mula menghasilkan keluaran tudung secara pukal atau ‘ready-made’. Saya masih ingat, saya jadi model tudung ibu sendiri kerana kawan saya dari Pulau Pinang tidak dapat datang sesi fotografi.

“Saya terpaksa jadi model dan Alhamdulillah, pengalaman belajar mengenai fotografi menyebabkan saya tidak bermasalah untuk bergaya hadapan kamera,” katanya.

Dulu disindir orang ramai Mawar berkata, selepas muncul di akhbar arus perdana, Fareeda diberikan peluang di media elektronik.

“Alhamdulillah, penglibatan tanpa dirancang antara Fareeda bersama media ternyata memberikan impak besar kepada perniagaan kami. Kami mendapat permintaan luar biasa walaupun rekaan tudung kami menggunakan kain chiffon yang pada masa itu adalah sesuatu yang baru kerana kain chiffon banyak digunakan untuk busana pengantin.”

“Butik pertama kami adalah di Seksyen 8, Bandar Baru Bangi yang dibuka pada bulan puasa tahun 2009,” katanya.

Majukan Jenama Sendiri

Mawar berkata, sebelum ini, Fareeda diberikan peluang bekerjasama dengan sebuah syarikat tetapi tidak dibenarkan menggunakan jenama sendiri. Oleh itu Fareeda menghentikan kerjasama tersebut kerana didapati pada jangka masa panjang tidak membantu kemajuan jenama Fareeda.

Maka Fareeda berusaha meningkatkan penjualan tudungnya sendiri dengan menggunakan pelbagai kaedah.

“Bukan senang berada di tahap ini, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi. Walaupun mempunyai butik sendiri, saya turun padang jual sendiri tudung Fareeda di Kompleks PKNS Shah Alam.”

“Saya sendiri bawa barang dan stok tudung kerana pekerja tidak cukup. Saya pernah jual tudung di pasar raya Giant Seksyen 13, Shah Alam,” katanya.

Tambahnya, pada 2009 dan 2010, ramai pelanggan sukar membeli tudung Fareeda terutama koleksi ‘hot’ iaitu Sabreena dan Suraiya yang dijual dengan harga lingkungan RM100 kerana faktor lokasi.

“Pada waktu itu tudung menggunakan kain lycra dan bawal masih menguasai pasaran. Alhamdulillah penerimaan terhadap material chiffon semakin meningkat apabila ramai pelanggan mula mengetahui kain chiffon sesuai dibuat tudung, selain materialnya ‘sejuk’ dan selesa. Waktu itu Fareeda menggunakan rekaan berkonsepkan tiga lapisan dan padanan berwarna atas idea ibu.”

“Kami pernah dapat cemuhan dan sindiran orang ramai kerana kelainan rekaan tudung Fareeda seperti konsep tiga lapisan dan padanan warna tetapi terbukti Fareeda berjaya. Rekaan tersebut dan padanan warna menyebabkan ribuan pelanggan sanggup beratur di butik Fareeda demi mendapatkan tudung Fareeda,” katanya.

Makin Dapat Ilham Jika Silap Jahit

“Kesilapan ibu ketika menjahit tudung memberikan ilham kepadanya untuk buat rekaan baharu. Setakat ini, Fareeda mempunyai lebih daripada 20 rekaan. Ada sesetengah rekaan Fareeda belum dikeluarkan di pasaran.”

“Rekaan-rekaan Fareeda ini didaftarkan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia bagi melindungi hak reka cipta dan intelek Fareeda,” kata Mawar.

Pencarian Model Fareeda

Menariknya, Fareeda tidak menggunakan artis sebagai duta dan model jenamanya, tetapi menggunakan orang biasa sebagai model melalui program Pencarian Model Fareeda yang diadakan hampir setiap tahun. Tambah Mawar, Fareeda mahu wanita memakai setiap rekaan tudungnya kelihatan cantik, berkarisma, berkerjaya dan berkeyakinan.

“Saya sendiri jadi duta Fareeda. Kadang-kadang Fareeda menaja tudung pembaca berita dan pelakon. Kami juga adakanPertandingan Mencari Model Fareeda dan mempromosikannya di Facebook,” katanya.

Fenomena Beratur & Tudung Air Mata

Fenomena pelanggan beratur dan bermalam sebelum promosi diadakan perkara biasa berlaku di butik Fareeda. Ia akan meniti di bibir penggemar tudung Fareeda sebelum hari jualan.

“Fenomena ini bermula pada hujung 2010. Pada peringkat permulaan, kita menjahit tudung dan terus jual, menggunakan sistem bernombor dan tidak menetapkan jumlah dihadkan bagi setiap pelanggan.”

“Segelintir pelanggan beli banyak tudung untuk menjualnya semula. Ia menyebabkan ada pelanggan tidak boleh masuk beli tudung kerana habis stok,” katanya.

Menurutnya, akibat pelanggan terlalu ramai menunggu giliran masuk ke dalam butik Fareeda, maka 20 minit sahaja terpaksa diberikan untuk setiap kumpulan yang terdiri daripada 20 orang dan had seorang sehelai tudung sahaja.

“Pelbagai insiden berlaku antaranya pelanggan tidak beratur terus terjah masuk, bergaduh dan keadaan tidak terkawal. Kebiasaannya, pelanggan terlalu ramai pada musim perayaan,” katanya.

Mawar berkata, ada rekaan tudung Fareeda digelar tudung ‘air mata’ iaitu tudung Aisya bercorak harimau kumbang kerana ia terhad 100 helai, tetapi ramai yang mahu mendapatkannya.

Fenomena Beratur Fareeda

“Mereka beratur dua hari sebelum jualan dan berlaku salah faham dengan pelanggan yang ‘walk in’. Tudung ‘air mata’ tersebut tidak jadi dipamerkan untuk dijual kerana ada pelanggan bergaduh. Kejadian itu menyebabkan ramai pelanggan yang beratur awal menangis kerana gagal memiliki tudung tersebut pada waktu giliran mereka.

“Dan pihak Fareeda keluarkan juga kerana menyayangi pelanggannya,” cerita Mawar secara jelas.

Tambahnya, kebanyakan 500 pelanggan Fareeda terawal menggunakan sistem nombor yang dibuka hingga nombor 1,000 adalah penjual tudung secara online manakala selebihnya untuk pakai sendiri.

“Ada juga pelanggan yang beratur akan menjual semula tudung dengan memperoleh pendapatan sehingga lima angka sebulan. Secara tidak langsung Fareeda membuka peluang pendapatan tinggi kepada wanita terutamanya suri rumah,” katanya.

Mawar berkata, kini Fareeda mempunyai lebih 100 penjual yang kebanyakannya menjual secara online.

“Jualan online oleh para penjual ini menyumbang kepada 40 peratus pendapatan Fareeda dan selebihnya adalah pelanggan biasa yang ingin memakai sendiri dan ‘walk-in’ ke butik Fareeda. Sebanyak 50 peratus pelanggan kami adalah dari pantai timur,” katanya.

Tambahnya, setiap rekaan Fareeda boleh bertahan popularitinya selama enam bulan hingga setahun. Fareeda sentiasa keluarkan rekaan terbaharu setiap beberapa bulan bagi memberikan pilihan dan suntikan cita rasa baharu kepada peminat Fareeda.

Tidak Pernah Buat Pinjaman

Mawar mengakui, walaupun bermodalkan hanya RM1,000 ketika memulakan perniagaan di Pulau Pinang, Fareeda tidak melakukan pinjaman kewangan daripada institusi kewangan.

“Setiap pembukaan butik, kami guna sumber kewangan sendiri,” katanya.

Mawar berkata, tanpa bantuan kewangan bukan alasan untuk tidak berniaga kerana setiap usahawan perlu mempunyai idea sendiri, bersaing secara sihat, jangan hasad dengki dan fokus.

“Saya sentiasa kerja keras menguruskan perniagaan kami. Sekarang Fareeda mempunyai lebih 400 kakitangan. Premis perniagaan kami di Bandar Baru Bangi, Kubang Kerian Kelantan dan Pulau Pinang, mempunyai dua tingkat yang mana tingkat atas dijadikan pusat pengeluaran, pusat edaran dan tingkat bawah dijadikan butik. Manakala cawangan lain seperti Alamanda, Subang Skypark dan Shah Alam merupakan butik sahaja,” kata isteri pelakon, Fizo Omar ini.

Hasilkan Koleksi Mawar

Mawar merancang perniagaannya dengan menghasilkan koleksi Mawar daripada ideanya sendiri yang akan menemui pasaran tahun ini. Tambahnya, kini Fareeda mempunyai tujuh cawangan antaranya di Selangor, Kelantan, Pulau Pinang, dan Putrajaya.

Beliau berkata, sempena pembukaan cawangan baharu di Putrajaya, Fareeda memperkenalkan dua koleksi dengan corak baharu iaitu Nour Aisya dan Nour Mariya.

“Kedua-dua koleksi ini adalah idea dan rekaan ibu saya. Koleksi ini menggunakan chiffon dari Korea dan tidak mempunyai ‘awning’. Sebelum ini, Fareeda menawarkan lapan koleksi dengan corak baharu terhad antaranya Nour Sara Printed, Nour Sofea dan Aisya,” katanya.

Jelasnya, Fareeda merancang membuka beberapa cawangan baharu terutama di Johor Bahru dan bakal menembusi pasaran Brunei.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terkini @ Daily Rakyat