Adakah Gaji Anda Cukup Untuk Beli Rumah di Lembah Klang? Kajian Hartanah Ini Dedahkan Anggaran Gaji Yang Diperlukan Untuk Beli Rumah di Sekitar KL & Selangor
Seperti yang kita maklum, harga rumah di Lembah Klang kebanyakannya adalah tinggi. Disebabkan ini, ramai penduduk Lembah Klang yang sanggup untuk menyewa rumah selama bertahun-tahun bagi mengelakkan komitmen pembelian rumah di luar kemampuan.
Persoalannya berapa mahalkah rumah yang berada di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor dan berapa gaji bulanan yang diperlukan untuk beli rumah di Lembah Klang ?
Penganalisa Hartanah, Crib.my telah berkongsi kepada warganet berapa gaji bulanan yang diperlukan untuk beli rumah di Lembah Klang. Melalui perkongsian di Twitter, Crib.my jelaskan data yang diperoleh menggunakan sertakan infografik peta Lembah Klang yang dipenuhi heksagon berwarna.
Setiap heksagon berwarna pula mengandungi digit 4 angka menandakan gaji yang diperlukan untuk beli rumah di situ. “Inilah nilai pendapatan yang anda perlu jana untuk dapatkan rumah berdasarkan lokasi tertentu”, ciap Crib.my .
Analisa ini dibuat berdasarkan data jual beli rumah di Lembah Klang pada tahun 2020 termasuklah perumahan jenis landed dan high-rise.
Crib.my meletakkan harga ansuran rumah bagi setiap lokasi berdasarkan anggaran bayaran sebanyak 90% daripada nilai rumah yang dibeli.
“Kita kira harga bayaran ansuran rumah berdasarkan 90% harga median hartanah di setiap heksagon dengan anggaran tempoh pinjaman selama 30 tahun serta 3.5% kadar faedah setahun. Kita juga membuat anggaran nilai ansuran yang berdasarkan 1/3 dari gaji bulanan.”
Boleh Survey Lokasi Sebelum Beli Rumah di Lembah Klang
“Berdasarkan analisis kami, anda perlukan gaji sekurang-kurangnya RM 10,000 untuk miliki rumah di tengah bandaraya Kuala Lumpur seperti Mont Kiara, Hartamas dan Damansara Heights.
Untuk individu bergaji antara RM 6,000 ke RM 10,000, seseorang boleh beli rumah di Lembah Klang iaitu di sekitar Subang Jaya dan beberapa kawasan di Petaling Jaya, Puchong, Glenmarie, Cheras, Wangsa Maju, Sentul, Sungai Buloh dan lain-lain.”, jelas Crib.my.
Pengasas Crib, Faizal Kadir turut mengulas nilai hartanah yang tertinggi terletak di selatan Bandar Botanic, Klang dan bahagian utara Telok Panglima Garang dan Kuala Langat. Pembeli rumah perlulah menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM 26,673 untuk miliki rumah di lokasi-lokasi ini. Nilai hartanah mahal ini dipercayai disebabkan oleh kehadiran banyak banglo mewah di kawasan tersebut.
Tidak hanya itu, laman Crib.my juga mendedahkan 6 lokasi di Lembah Klang yang mencatatkan harga median bagi hartanah adalah sekitar RM 1 juta hingga RM 30 juta ! Antara lokasi yang mencatatkan harga hartanah dengan jutaan ringgit ialah Bangsar, Taman Tun Dr Ismail, Sri Hartamas, Ampang Hilir, Bukit Damansara, dan Elmina.
Kesemua lokasi ini menawarkan kediaman berharga lebih RM 1 juta. Kecuali di Ampang Hilir, kesemua lokasi tersebut kebanyakannya menawarkan rumah landed dengan kemudahan mewah seperti kolam renang dan gimnasium.
Di sekitar kawasan ini, anda juga boleh dapati beberapa rumah dengan harga yang lebih murah antara RM 500,000 ke RM 1 juta.
Mont Kiara serta Desa Park City juga boleh dikategorikan sebagai perumahan mewah dengan menawarkan harga kediaman antara RM 780,000 ke RM 900,000.
Walaupun KLCC terletak di lokasi yang strategik, ia masih boleh tawarkan harga rumah high-rise yang berpatutan namun keluasan rumah adalah lebih kecil.
Timba Ilmu Dulu Sebelum Beli Rumah di Lembah Klang
Sememangnya lokasi adalah perkara penting yang perlu diambil kira ketika membeli rumah. Namun adakah ia sesuai dengan gaji yang anda dapati sekarang? Sanggupkah anda untuk berikan komitmen selama berpuluh-puluh tahun untuk beli rumah di Lembah Klang ?
Ditambah pula dengan harga semasa hartanah yang semakin meningkat setiap tahun, barangkali data ini juga akan berubah dari semasa ke semasa.
Keputusan untuk membeli rumah juga adalah perkara yang besar dan perlu ditimbangi sebaiknya. Lebih-lebih lagi bagi pembeli rumah pertama, anda perlulah timba ilmu hartanah sebaiknya sebelum beli rumah di Lembah Klang atau lokasi lain.
Sebagai permulaan anda boleh ikuti tips membeli rumah dengan kenalan dan keluarga yang lebih arif mengenai hal ini.
Di samping merujuk kepada data sebegini, anda juga boleh dapatkan nasihat daripada ejen hartanah berpengalaman untuk tentukan rumah yang sesuai untuk anda miliki berdasarkan gaji bulanan.