Kaffarah Puasa Nampak Macam Remeh dan Lawak. Namun, Berat Akibatnya Pada Si Suami Yang Menanggung!


Bulan Ramadhan merupakan bulan yang baik untuk kita melatih diri agar tidak kalah dengan nafsu serta mengelak perkara-perkara yang membatalkan puasa. Bukan hanya semata-mata nafsu makan dan minum, malah bulan mulia ini juga menguji nafsu pasangan suami isteri.

Seorang amil zakat dan aktif dalam mengulas hadis serta isu agama di Twitter, Faisal Rahim berkongsi kebimbangan mengenai pertanyaan kaffarah puasa yang semakin kerap timbul sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Tambahan pula, ramai yang terus bekerja dari rumah sejak negara dilanda pandemik.

Kaffarah puasa dikenakan apabila pasangan suami dan isteri berjimak pada siang hari di Bulan Ramadhan. Ramai yang fikir siang hari pada bulan Ramadhan ? Biar betul ?

Hakikatnya, ia adalah realiti biasa. Ramai yang bersama ketika lepas sahur atau terlajak sehingga masuk waktu Subuh. Berat akibat yang perlu ditanggung si suami jika dikenakan kaffarah puasa.

kaffarah puasa

Cara Bayar Kaffarah Puasa

Tanpa sengaja atau tidak, para suami perlulah selesaikan kaffarah akibat perbuatan tersebut.

Cara untuk bayar kaffarah puasa adalah seperti berikut  :

  1. Berpuasa 2 bulan berturut-turut selama 2 bulan.
  2. Jika tak mampu, maka suami perlulah memberi makan kepada 60 orang miskin.

Dalam penyelesaian kaffarah puasa, si suami tidak boleh terus lompat ke pilihan nombor dua. Si suami mestilah usaha untuk berpuasa mengikut tempoh tersebut.

Sekiranya sudah berusaha namun masih tak mampu, barulah guna pilihan nombor dua.

Jika susah untuk cari orang miskin, Faisal sarankan untuk bayar kepada Majlis Agama. Kadarnya adalah RM 600 sehari (60 orang X RM 10 = RM 600)

Jumlah ini perlulah digandakan mengikut berapa hari suami dan isteri lakukan jimak siang hari pada Bulan Ramadhan.

Jika 5 hari, maka perlulah bayar RM 3,000.

Faisal juga sempat mengingatkan orang ramai bahawa pembayaran kaffarah bukan tanggungjawab pusat zakat.

Boleh Ke Buka Puasa Dulu Kemudian Berjimak ?

Berdasarkan perkongsian dari Mufti Wilayah Persekutuan, perbuatan membatalkan puasa dengan menggunakan helah supaya tidak dikenakan kaffarah dengan makan dan minum untuk melakukan jimak dikategorikan sebagai helah yang diharamkan.

Terdapat amaran yang keras sekiranya meninggalkan puasa dengan sengaja, ini seperti hadis daripada Ibnu Abbas RA Sabda Nabi SAW:

عُرَى الْإِسْلَامِ وَقَوَاعِدُ الدِّينِ ثَلَاثَةٌ عَلَيْهِنَّ أُسِّسَ الْإِسْلَامُ مَنْ تَرَكَ مِنْهُنَّ وَاحِدَةً فَهُوَ بِهَا كَافِرٌ حَلَالُ الدَّمِ: شَهَادَةُ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَالصَّلَاةُ الْمَكْتُوبَةُ وَصَوْمُ رَمَضَانَ

Maksudnya: Simpulan-simpulan Islam serta tiang-tiang agama ada tiga, atasnya dibina Islam. Sesiapa yang meninggalkan satu daripadanya dianggap kafir dan halal darahnya, iaitu mengucap syahadah, solat fardhu dan puasa Ramadan.”

Hadis Riwayat Abu Ya’la, (2349)

Maka jelaslah di sini bahawa walaupun si suami tidak dikenakan kaffarah, namun perbuatan berbuka puasa dengan sengaja adalah dosa besar dan sangat dimurkai oleh Allah SWT. Lebih-lebih lagi jika ia dilakukan sebagai helah untuk lakukan perkara yang haram ketika berpuasa.

Haruslah kita ingat bahawa sesiapa yang meninggalkan kewajipan berpuasa dengan sengaja, maka ia telah meninggalkan satu rukun daripada Islam.

Kesimpulannya, suami isteri perlulah berjaga-jaga pada bulan Ramadhan supaya tidak jatuh kaffarah puasa.  Gunakanlah bulan Ramadhan sebaiknya untuk mencari keredhaan dan pengampunan Allah SWT.

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat