Diusir Dari Myanmar, Tidak Diterima Di Bangladesh

Sumber Rujukan : Sinar Harian(7/2/2017)

 

“Hampir 65,000 penduduk Rohingya telah melarikan diri ke Dhaka sejak Oktober lalu selepas tentera Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik ke atas mereka susulan insiden serangan di sebuah pos tentera.”

Pada awal pagi 23 November lalu, Ambia Khatun hanya sempat menyelamatkan dua anaknya keluar dari rumah mereka yang terbakar manakala suaminya terperangkap berikutan tentera melepaskan tembakan bertalu-talu ke arah penduduk kampung.

Ambia, 37, dari kampung Kearipari dengan nada sedih berkata, dia terpaksa berlari menyelamatkan diri bersama keluarga Rohingya yang lain selepas situasi semakin meruncing di negara barat Myanmar itu.

Ibu tunggal itu bersama 2,500 keluarga etnik Rohingya kini mendapatkan perlindungan di sebuah kem sementara di Leda di Cox’s Bazar berhampiran sempadan Myanmar.

“Sebelum tiba di kem sementara ini, kami berlindung di hutan bersama ratusan penduduk Rohingya yang lain. Saya tidak pernah menyangka bahawa nasib keluarga saya akan jadi seperti ini,” katanya yang masih trauma dengan kejadian yang meragut nyawa suaminya.

Kem sementara di Leda itu juga berada dalam keadaan serba daif dan terlalu sesak. Ia juga tidak dilengkapi dengan keperluan asasdan akses pendidikan, rawatan perubatan dan sanitasi.

Penarik beca, Ziaur Rahman memberitahu, ramai penduduk Rohingya tidak mempunyai wang.

“Saya hanya dapat memberikan mereka sedikit bantuan untuk membeli barangan keperluan,” katanya yang telah tinggal di kawasan itu sejak 15 tahun yang lalu.

Menurutnya, segelintir penduduk Rohingya yang mempunyai wang bertindak menyewa rumah dan ada yang membina kediaman mereka sendiri.

Difahamkan, Program Makanan Sedunia(WFP) dan pertubuhan bukan kerajaan(NGO) lain turut tampil menyalurkan bantuan bekalan makanan dan ubat-ubatan kepada pelarian Rohingya terbabit selepas Bangladesh enggan mendaftarkan golongan tu sebagai pelarian.

Hampir 65,000 penduduk Islam Rohingya telah melarikan diri ke Dhaka sejak Oktober lalu selepas tentera Myanmar melancarkan kempen pembersihan etnik keatas mereka susulan insiden serangan di sebuah pos tentera.

Bangladesh bagaimanapun mahu meneruskan rancangan kontroversi penempatan semula pelarian di sebuah pulau terpencil walaupun berdepan kebimbangan negara antarabangsa.

Menteri Luar, AH Mahmood Ali memberitahu kerajaaan telah meminta bantuan negara dan pertubuhan antarabangsa berhubung pelan pemindahan tersebut.

Beliau turut memberi taklimat kepda wakil kerajaaan dan beberapa agensi PBB terdiri daripda 60 duta, pesuruhjaya tinggi serta ketua pelbagai misi diplomatik untuk mengambil ‘langkah bermakna’ berhubung rancangan itu.

“Kerajaaan merancang untuk membina pusat penempatan, sekolah, pusat kesihatan, masjid, jalan raya dan infrastruktur lain di pulau terpencil di Teluk Bengal yang terletak di timur negara tersebut,” jelasnya.

Menurutnya, proses pemindahan itu dilakukan selepas projek pembangunan tersebut selesai dan pulau itu sedia untuk didiami.

“Pemindahan pelarian Rohingya  adalah langkah sementara dan Dhaka mahu masyarakat antarabangsa bertindak menghantar meraka pulang ke Myanmar dimana hak kerakyatan golongan itu dinafikan dan menjadi mangsa penindasan ,” katanya.

Sehingga kini, idea tersebut  menerima kecaman pemimpin masyarakat Islam Rohingya  dan agensi PBB melihat pemindahan paksa itu akan menjadi langkah sangat kompleks seta kontroversi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat