8 Tips Yang Perlu Diamalkan Oleh Adik-Adik Sebelum Pergi Mengambil Keputusan Spm 2020
Debaran kian terasa…
“Cuaknya!”, “Tak mahu ke sekolah esok!!!”, “Lulus ke aku???…”, dan pelbagai lagi luahan dan ungkapan yang keluar daripada mulut-mulut pelajar sekolah menengah.
Itulah ungkapan yang seringkali kita dengari oleh adik-adik yang bakal mengetahui keputusan peperiksaan SPM apabila tidak lama lagi ia akan diumumkan.
Calon-calon yang telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2019 boleh mendapatkan pernyataan keputusan peperiksaan SPM 2019 masing-masing pada satu tarikh dalam bulan Mac 2020.
Bagi pelajar yang ingin membuat semakan, boleh klik sini untuk mengetahui info lebih lanjut; https://www.mysumber.com/keputusan-spm.html
Penulis yakin dan pasti, tatkala untuk beberapa hari yang tinggal ini, sebelum adik-adik melangkah kaki ke sekolah ataupun hanya melalui online sahaja untuk mengetahui keputusan, semestinya debaran perasaan kian terasa. Penulis juga pernah melalui pengalaman sebegitu rupa. Ada yang tidak lena tidur malam, ada juga yang terus hilang selera makan dek kerana terlalu memikirkan hari yang besar itu.
Walau bagaimanapun, keputusan SPM ini tidaklah sepatutnya menjadi satu isu besar sehingga membuatkan perjalanan kehidupan adik-adik terganggu keseluruhannya. Oleh yang demikian, penulis ingin berkongsi beberapa tips yang boleh adik-adik terapkan sebelum mengambil keputusan SPM.
1. Redha, kita sudah buat yang terbaik
Usaha adik-adik selama 5 tahun belajar di peringkat sekolah menengah In Shaa Allah bakal tercapai keputusan dengan jayanya seandainya adik-adik telah bertungkus-lumus sepanjang sesi pembelajaran. Lebih-lebih lagi berhempas pulas untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM tahun lepas.
Jika adik-adik telah memberikan sehabis baik dan bersungguh-sungguh, In Shaa Allah kejayaan pasti milik adik-adik! Jika sebaliknya, jangan pernah mengalah tetapi tetaplah terus bangkit dan berusaha ke arah menggapai wawasan yang lebih jauh.
Yang penting, redha. Segala keputusan yang dapat, baik yang tertulis pada slip keputusan SPM atau keputusan SPM online, itu semua sudah tertulis ketentuannya oleh Allah SWT.
2. Pakai pakaian yang terbaik (kemas dan segak)
Pada hari mengambil keputusan SPM, hendaklah adik-adik berpakaian kemas dan sopan. Ia merupakan hari yang penuh bersejarah. Bukankah hari yang istimewa itu perlu diraikan dengan keterampilan yang segak dan kemas?
Meskipun adik-adik telah tamat pengajian di sekolah menengah, hal ini bukanlah menjadi sebab untuk adik-adik tidak mengikut peraturan di sekolah. Datanglah ke sekolah dengan berpakaian kemas dan sopan. Ia merupakan salah satu adab dan semestinya menutup aurat dengan sempurna bagi Muslim adalah wajib dilaksanakan. Sebab, pemakaian seseorang melambangkan peribadi orang itu.
3. Bertenang, jangan ‘frust’
Adik-adik perlu ingat, bahawasanya SPM bukan penamat kepada kegagalan dalam hidup. Kehidupan perlu diteruskan kerana SPM satu titik lonjakan perubahan ke arah hidup yang lebih positif, pemikiran matang dan membina personaliti unggul seseorang selepas itu.
Setiap kejayaan yang mendatang itu menguji dan mematangkan setiap tindak tanduk kita. Jangan terlalu tertekan dengan harapan ibu bapa, keluarga, guru-guru dan jiran yang tidak sabar dengan keputusan kita. Tapi, cuba untuk bertenang dengan bertindak seperti biasa, dan bagi yang Muslim, membaca al-Quran atau melakukan solat sunat 2 rakaat boleh dilaksanakan. Selain itu, adik-adik boleh santai-santai buka Facebook atau layan Twitter dulu pagi tu.
4. Bangun awal pagi dan bersiap awal ke sekolah
Seeloknya pagi itu cuba untuk bersiap awal ke sekolah. Dengan datang awal ke sekolah, adik-adik dapat berjumpa guru-guru terdahulu yang mana pernah mengajar mahupun tidak mengajar sekalipun. Mungkin sahaja mereka tidak cam anda kerana mereka bukan mengajar pelajar dalam jumlah yang sedikit tetapi ramai. Jadi, agak susah untuk diingati kesemua pelajarnya.
Setibanya adik-adik di sekolah, perkenalkanlah diri terlebih dahulu. Guru-guru amat suka jika pelajar yang menegur mereka dahulu kerana itu tanda pelajarnya masih ingat dan menghargai jasa mereka. Mungkin kita tidak akan berjumpa lagi selepas beberapa tahun kerana menyambung pelajaran, maka eloklah bertegur sapa dulu dengan guru apabila datang awal ke sekolah dikesempatan waktu yang ada.
5. Usah jadi busy body dengan keputusan orang lain
Setiap orang pasti mempunyai keputusan yang berbesa-beza. Tidak perlulah menjaga tepi kain orang lain. Eloklah kita dengan urusan kita dan mereka dengan urusan mereka. Tambahan lagi, kita perlulah beradab dan menjaga hati serta perasaan kawan-kawan melainkan anda merupakan bestfriend kepada dia.
6. Bersyukur apabila mendapat tahu keputusan
Mungkin ada diantara kita yang mendapat keputusan terlalu bagus. Mungkin juga ada yang bukan rezekinya untuk mendapat keputusan yang baik. Mungkin juga kita boleh jadi salah satu daripada golongan tersebut. Tetapi tidak mengapa, apa sahaja keputusan yang bakal diterima, kita haruslah bersyukur dengan ketentuan itu.
Bagi adik-adik yang pernah mempunyai krisis ketika di sekolah, baik dengan guru-guru atau kawan-kawan, dan apabila mendapat keputusan yang baik, usahlah terus memendam perasaan tidak puas hati terhadap peristiwa terdahulu. Setiap orang melakukan kesilapan, tetapi itu tidak bermakna ia menjadi faktor untuk tidak bangkit dan terus ke hadapan. Berjumpalah dengan guru-guru dan ucapkan terima kasih kepada mereka kerana telah mendidik tanpa jemu. Tidak lupa juga kepada kawan-kawan yang membantu secara langsung ataupun tidak langsung selama ini.
Begitu juga bagi pelajar yang mendapat keputusan yang kurang baik, usah risau. Anda masih mempunyai perjalanan hidup yang jauh ke hadapan. Banyak lagi rezeki, peluang dan ‘hadiah’ yang bakal menanti anda kelak. Yang penting, adik-adik sentiasalah bersyukur agar bertambah lagi rezeki kurniaan Allah SWT.
“Ketahuilah bahawa rasa syukur merupakan tingkatan tertinggi dan ini lebih tinggi daripada kesabaran, ketakutan (khauf), dan keterpisahan dari dunia (zuhud).”
Imam al-Ghazali.
Adik-adik juga haruslah menuntut ilmu selagi mana diberi kudrat. Imam al-Ghazali juga turut berpesan;
“Menuntut ilmu adalah taqwa. Menyampaikan ilmu adalah ibadah. Mengulang-ulang ilmu adalah zikir. Mencari ilmu adalah jihad.”
Oleh itu, teruskan perjuanganmu!
7. Hubungi ibu ayah dahulu (kemudian kawan-kawan atau orang lain)
Hubungi ibu ayah adik-adik dahulu dengan telefon. Bukan dengan Whatsapp. Sebaik terima keputusan, terus capai telefon dan cepat-cepat tekan nombor ibu atau ayah.
Tidak kira dalam apa jua situasi pun, ibu ayah adalah insan yang wajib kita patuh dan taat. Khabarkanlah keputusan kepada ibu ayah walau apa jua keputusan yang diterima sekali pun. Hanya bagi sesiapa yang ibu bapa tidak teman ambil keputusan. Bagi yang teman, dakap dan kucuplah kedua ibu bapa adik-adik sebagai tanda jutaan terima kasih kepada mereka yang banyak berkorban untuk kita.
Sesungguhnya di dunia ini tidak ada ibu bapa yang tidak ingin melihat anak-anak mereka berjaya sehinnga ke mercu yang tinggi dalam kehidupan. Ingatlah, bahawa tanpa doa dan keberkatan daripada ibu ayah, mustahil untuk adik-adik berjaya.
8. Maklumkan awal kepada ibu ayah juga apabila menerima keputusan melalui online
Sesudah adik-adik mengetahui keputusan melalui online, perkara utama yang perlu dibuat adalah memaklumi ibu ayah terlebih dahulu. Jika adik-adik masih di rumah dan ibu bapa bekerja, telefonlah mereka atau mesej jika tidak mahu mengganggu mereka. Jika adik-adik di rumah bersama mereka, terus berlari ke arah mereka dan maklumkan juga. Ucapkan terima kasih semasa memeluk mereka. Mereka pasti gembira dan bersyukur dengan keputusan adik-adik.
Rasulullah SAW ada bersabda;
“Hendaklah kamu berbuat baik kepada ibumu, kemudian ibumu, kemudian ibumu, kemudian bapamu kemudian orang yang terdekat dan yang terdekat.”
HR Bukhari dan Muslim.
Oleh itu, sentiasalah mengutamakan ibu ayah dalam apa jua perkara sekali pun.
Didoakan semoga adik-adik yang bakal mendapat keputusan SPM dipermudahkan segala urusan, dikurniakan ketenangan dan kesejahteraan dalam kehidupan. Jalanilah kehidupan anda seperti biasa. Tetapkan terus berdoa agar diberi kekuatan dan sentiasa bertenang dalam apa jua keadaan.