Jatuhnya Lelaki Kerana Seorang Perempuan

Sumber Rujukan : Hishamuddin Rais

Selalu kita dengar, di belakang kejayaan seseorang lelaki wujud seorang perempuan. Untuk saya ini adalah ayat klise yang semakin tidak ada nilai. Namun sekarang ada istilah baru iaitu jatuhnya lelaki kerana seorang perempuan.

Dari pengamatan saya dari rujukan sejarah di zaman pemerintahan Raja Louis ke-16 (1754-1793) kita terbaca bagaimana perempuan bernama Marie Antonette (1770-1993) telah membawa keruntuhan takhta kerajaan Perancis.

Perancis dari negara beraja menjadi negara republik. Raja Louis dan kaum kerabatnya dipenggal kepala kerana dikatakan “menghabiskan beras”. Permaisuri bernama Marie Antonette memainkan peranan. Kegilaan Marie Antonette mengumpul intan berlian ketika rakyat Perancis daif tanpa makanan menyemarakkan api Revolusi Perancis.

Dalam sejarah Rusia pula di zaman Czar Nicholas (1894-1917) kita bertemu dengan Czarina Alexandra Feodorovna (1872-1918). Tahtha Romanov milik Czar Nicholas hancur. Rusia menjadi negara sosialis pertama dalam dunia melalui Revolusi Oktober. Kaum kerabat diraja semuanya dibunuh dan dihapuskan. Peranan Czarina Alexandra tercatat. Amin

Ada permaisuri di balik keruntuhan empayar

Dari babak-bakak sejarah Perancis dan Rusia, ayat yang wajib kita hayati ialah, di belakang kejatuhan lelaki ada seorang perempuan. Di belakang keruntuhan sesebuah empayar itu ada seorang permaisuri.

Hakikatnya ayat kejatuhan lelaki akibat perempuan bukan ayat yang menghina perempuan. Ayat ini saya lahirkan dari fakta sejarah. Saya berbangga dan akan mempertahankan makna dan tanda ayat ini.

Justeru saya amat berterima kasih kepada Rosmah Mansor. Malah saya menyeru agar anak semua bangsa di Malaysia ini sama-sama berterima kasih kepada Rosmah.

Jatuhnya Lelaki Kerana Seorang Perempuan

Tanpa sosok ini tidak mungkin kita dapat mewujudkan Malaysia Baru pada 9 Mei 2018 yang lalu. Rosmah anak perempuan Cikgu Mansor memainkan peranan.

Bayangkan jika tingkah laku isteri kedua Najib sama seperti tingkah laku isteri Mahathir. Bayangkan jika Najib tidak bercerai dengan isteri pertama.

Hakikatnya nasib kita baik kerana Rosmah anak perempuan Cikgu Fatimah telah menjadi pemangkin membantu rakyat Malaysia menjatuhkan Najib. Presiden United Malays National Organisation dan juga perdana menteri Malaysia terjelepok jatuh pada 9 Mei 2018. Rakyat Malaysia bersorak gembira.

Dalam sorak-sorai ini saya memberi ingatan, jangan lupakan Rosmah

Tanpa Rosmah memainkan peranan, hari ini saya wajib sekali lagi menyusun BERSIH6 bersama Mat Sabu dan Mandeep Singh. Tanpa kewujudan Rosmah, berapa ramai lagi anak muda yang akan masuk lokap kerana menentang United Malays National Organisation.

Mari kita teroka apa peranan Permaisuri Rusia Alexandra Feodorovna (1872-1918) sebelum Revolusi Oktober berjaya. Ketika permaisuri ini bercanda-canda dalam Istana Kamarad Lenin dan Kamarad Trotsky sedang dalam buangan di luar Rusia, dua sosok revolusioner ini siang malam menyusun kader untuk bergerila menentang Czar Nicholas.

Ketika Lenin dan Trotsky sibuk, Permaisuri Alexandra juga sibuk dengan tok bomoh bernama Rasputin. Bomoh ini dibawa masuk ke dalam istana untuk mengubati puteri yang gering.

Istana dijampi dan dikemenyan. Hantu dan polong tidak dapat menembus pintu istana. Semua kerana kuasa ilmu hitam Rasputin.

Akhirnya, surah mengatakan bagaimana si rasputin ini menjadi sosok yang paling berkuasa dalam istana melalui hubungan dengan permaisuri.

Karenah Rasputin dan Czarina ini berjaya membantu Lenin dan Trotsky dalam usaha menghasut warga Rusia untuk mengepong istana Czar Nicholas.

Dalam usaha menjatuhkan Najib, si Rosmah telah digunakan sebagai peluru yang amat bisa. Lebih bisa dari sumpitan racun ipoh. Lebih bahaya dari peluru emas yang menewaskan Panglima Hitam.

Rosmah terperosok dan terperangkap dalam angan-angan untuk menjadi First Lady of Malaysia (FLOM).

Pada 3 April 2009 Najib naik takhta menjadi perdana menteri. Tidak sampai satu bulan dari tarikh ini si Rosmah dinobatkan untuk menjadi First Lady of Malaysia (Flom). Rosmah ‘berflom’ ke sini, ‘berflom’ ke sana.

Jatuhnya Lelaki Kerana Seorang Perempuan

Ketika inilah orang ramai sedikit demi sedikit mula merasa menyampah melihat perangai Rosmah. Dalam alam siber, media baru telah memainkan peranan yang amat penting. Internet telah digunakan untuk memperlekeh Rosmah.

Mengikut tafsiran warga Malaysia yang rasional, wanita pertama Malaysia ialah Raja Permaisuri Agong, bukan Rosmah.

Hobi pelik

Sejarah dunia telah merakamkan bagaimana perempuan-perempuan yang suami mereka memiliki kuasa dengan tidak semena-mena menjadi gila. Ilmelda Marcos menjadi gila pengumpul kasut. Grace Mugabe dari Zimbabwe gila mengumpul pakaian berjenama Gucci.

Rosmah anak perempuan Cikgu Mansor pula didakwa gila mengumpul beg Birkin.

Ini sebenarnya menjadi umpan yang paling mujarab untuk menghasut orang ramai agar membenci Najib sang suami. Dakwaan keborosan Rosmah menjadi buah mulut.

Dari kampung ke kampung, dari Felda ke Felda, Mak Cik Bawang mula berkisah tentang Rosmah. Aji No Moto dan garam masalla ditambah untuk menyedapkan surah.

Isu Rosmah membantu kempen Pakatan Harapan. Rosmah yang tergedik-gedik telah meyakinkan orang ramai bahawa Najib telah jadi bodoh.

Dalam budaya Melayu konsep nasi kangkang ini memang dipercayai.

Ahli-ahli United Malays National Organisation yang setia kepada parti kini berbelah bagi apabila berhadapan dengan isu perangai Rosmah. Ramai pengundi sayangkan Najib tetapi benci kepada Rosmah. Inilah adalah fakta gelap yang membantu kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14.

Parti United Malays National Organsation terpaksa memikul Rosmah ke hulu ke hilir. Pemimpin parti yang rapat dengan Najib amat takut untuk bersuara. Mereka bukan takut kepada presiden parti tapi takut dengan Rosmah. Bayangkan memikul Rosmah ini bukan satu kerja yang ringan. Inilah nasib Parti Ketuanan Melayu.

Nasihat adik kepada abangnya

Sebenarnya sejarah telah merakamkan suara dari keluarga Najib. Mereka sedar akan malapetaka yang sedang dibawa oleh Rosmah terhadap keluarga Razak.

Media telah melaporkan bagaimana Nazir Razak pada 29 Julai 2015 telah ditafsirkan memberi nasihat kepada abangnya Najib untuk melakukan perubahan.

Nazir dikatakan telah berkias dengan menggunakan drama TV Game of Thrones. Nazir memberi ingatan, you win or you die (kamu menang atau kamu mati).

Nasihat Nazir muncul sesudah ledakan berita 1MDB yang dihebohkan oleh The New York Times (NYT).

Sila ingati kembali, pada ketika ini Nazir dianggap akan memainkan peranan politik. Mungkin untuk bersama membantu United Malays National Organisation.

Dalam masa yang sama desas desus berlabun ke sana sini tentang keluarga Najib yang semakin tidak senang dengan Rosmah.

Apa sebenarnya sedang berlaku?

Dari apa yang saya dengar, adik Najib ini yakin siasatan peguam negara dalam kes 1MDB akan menjerat abangnya. Duit RM2.6 bilion yang masuk ke akaun peribadi Najib mustahil dapat dinafikan. Maka jalan keluar telah dicari.

Berita nasihat Nazir ini bertambah kuat apabila kenalan saya memberi tahu saya bagaimana pada satu pagi dia terserempak dengan orang Najib.

“Bos telah buat keputusan. Bos akan mengundur.’

Pada hari yang sama di sebelah petangnya dia ini terserempak pula dengan seorang “penasihat” Najib.

I heard bos is leaving. Did you get the news?” Dia cuba menyampaikan berita baik.

“No way, he is not leaving. We will fight till the end.

Najib jangan undur

Berita tentang Najib bersedia untuk mengundur telah juga dilaporkan dalam Sarawak Report. Tetapi kenapa Najib tidak mengundur dan pergi ke luar negara untuk selamat?

Jatuhnya Lelaki Kerana Seorang Perempuan

Saya juga mendengar dakwaan bagaimana Rosmah dikatakan mengingatkan Najib agar jangan berundur.

Beduk perang dipalu. Perang telah dilancarkan. Bukti perang ini ialah pertukaran peneraju di Jabatan peguam Negara dan SPRM.

Projek Najib digagalkan. Ini rakaman sejarah. Ini didakwa sebagai kejayaan Rosmah.

Bayangkan jika Najib berundur, pasti United Malays National Organisation dan Barisan Nasional akan menang besar dalam PRU14. Untuk ini saya dan kita wajib berterima kasih kepada Rosmah.

Hishamuddin Rais seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Sumber : MalaysiaKini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat