Kepentingan Keluarga Bahagia Untuk Kemajuan Individu, Masyarakat Serta Masa Depan Negara
Semua insan menginginkan sebuah keluarga bahagia. Keluarga yang bahagia ialah sebuah keluarga yang mampu menyelesaikan masalah dalaman dengan berbincang bagi menemui cara yang terbaik. Mereka juga akan saling membantu dan memberikan sokongan serta bimbingan untuk sama-sama berjaya dalam hidup.
Namun sekarang tanpa disedari, kepentingan institusi kekeluargaan yang kukuh sering dilupakan oleh masyarakat.
Senario ini lebih membimbangkan dengan trend peningkatan kes penceraian serta kes – kes jenayah yang melibatkan keluarga.
Selain memberi kesan negatif kepada individu dan masyarakat, keluarga yang berbelah bahagi secara tidak langsung akan menjejaskan kehidupan secara menyeluruh.
Justeru, keluarga bahagia amatlah penting bagi membentuk individu yang positif serta berguna kepada masyarakat dan negara.
Kepentingan Keluarga Bahagia
Keluarga bahagia yang saling menyokong dan membimbing akan memenuhi kepentingan yang bermanfaat seperti berikut :
Dapat Mengelakkan Konflik Dalaman Keluarga
Keluarga bahagia adalah keluarga yang dapat bertolak ansur dan saling mendengar serta memahami antara satu sama lain.
Bukan mudah untuk cipta keharmonian ini. Ahli keluarga yang terbuka untuk menceritakan masalah dan mendengar pendapat pasti dapat mengelakkan konflik berpanjangan dalam keluarga. Ini sekaligus dapat mengeratkan lagi hubungan antara ahli keluarga.
Daripada sikap bertoleransi akan lahirlah perasaan saling menyayangi dan saling menghargai antara satu sama lain. Secara tidak langsung, rasa hormat dan sayang sesama adik-beradik pasti dapat dipupuk dalam keluarga bahagia. Tiada masalah salah faham dan salah anggap kononnya ada yang lebih istimewa dan ada pula yang terpinggir.
Dapat Melahirkan Anak-Anak Yang Berjaya Dalam Hidup
Sebelum anak bersekolah, ahli keluarga adalah individu yang paling dekat dengan anak-anak. Ibu bapa dan keluarga yang bertanggungjawab untuk mengasuh dan mendidik mereka.
Ibu bapa merupakan profesor pertama bagi anak-anak, rumah pula merupakan universiti pertama bagi anak-anak.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa berperanan penting untuk melatih anak-anak menjadi modal insan yang cemerlang. Dengan itu, kita dapat melahirkan anak – anak yang berjaya dalam hidup.
Melahirkan Generasi Muda yang Berketerampilan
Biasanya dalam satu keluarga akan wujud ayah dan ibu yang membantu anak untuk memahami erti kehidupan terutama aspek kesopanan dan tata tertib.
Didikan dari rumah adalah penting bagi membentuk anak dengan pekerti yang mulia. Selain itu, ibu bapa juga perlu menunjukkan tabiat serta perilaku yang baik untuk diikuti anak-anak.
Dengan dorongan serta didikan yang positif, maka akan tercetuslah generasi muda yang lebih berketerampilan.
Mengelakkan Masalah Sosial Dalam Keluarga
Remaja perlu didikan dan teguran dari ahli keluarga yang lebih tua untuk memberitahu atau menasihati mereka jika mereka melakukan sebarang kesilapan terutama. Ibu bapa serta ahli keluarga yang lebih tua juga perlu ambil tahu akan keadaan remaja masa kini.
Bukannya tidak percaya atau ingin mengongkong, namun mereka tidak boleh dibiarkan tanpa bimbingan. Ini bagi mengelakkan diri mereka dari terjerumus dalam gejala yang tidak sihat yang berleluasa pada zaman ini seperti penyalahgunaan dadah, buli dan lumba haram.
Pengawasan keluarga juga sangat penting bagi memastikan remaja tidak melakukan kesilapan sehingga boleh menjejaskan imej diri dan keluarga.
Maka, kewujudan keluarga bahagia pasti sangat membantu dalam menepis masalah sosial terutama dalam kalangan remaja yang kian menular di kalangan masyarakat.
Mengurangkan Masalah Jenayah
Ketahuilah bahawa keluarga boleh menjadi penentu kelakuan seseorang anggota masyarakat itu. Buktinya, kes jenayah yang berlaku sering dilakukan oleh individu yang mempunyai masalah dengan keluarganya.
Fenomena negatif ini mampu dikurangkan jika semua keluarga berupaya memainkan peranan mereka dengan begitu baik untuk mendidik generasi muda dengan sebaik mungkin.
Mampu Meningkatkan Produktiviti Masyarakat
Mungkin ramai yang tidak sedar namun keluarga bahagia mampu menjadi pemangkin bagi keseimbangan hidup seseorang. Tekanan di sekolah atau tempat kerja yang dialami oleh seseorang individu akan hilang jika dikelilingi oleh keluarga yang sentiasa menyokong dan berikan kata semangat.
Selain menimbulkan suasana ceria di rumah, ahli keluarga bahagia akan saling membantu antara satu sama lain bagi meningkatkan prestasi masing-masing di sekolah atau tempat kerja. Masalah tekanan serta stres juga dapat ditangani dengan lebih baik dengan bantuan keluarga yang aktif dalam memberi dorongan.
Ambil sedikit masa dan tanyakan khabar anak-anak di rumah. Di samping beri kata sokongan, tunjukkan rasa sayang dengan memeluk dan mengucapkan syabas atas usaha yang dilakukan.
Mampu Menjamin Masa Depan Negara Yang Lebih Baik
Semua masalah yang berlaku dalam kehidupan berupaya diselesaikan dengan wujudnya institusi keluarga bahagia dalam sesebuah negara.
Keluarga bahagia dan stabil berpotensi untuk melahirkan generasi yang berkualiti. Generasi yang dilengkapi dengan budi pekerti serta prestasi yang baik inilah yang akan membantu membangunkan negara pada masa hadapan.
Setiap lapisan masyarakat mempunyai keluarga yang boleh menjadi sandaran dan harapan buat mereka untuk mengharungi cabaran kehidupan terutama yang sukar diselesaikan secara bersendirian.
Jelaslah bahawa keluarga mampu menjamin keamanan negara terus berada dalam keadaan aman jika berfungsi dengan baik.