Driver Sekolah Pandai Nak Cubit-Cubit Pipi Dan Ramas Tangan Anak, Bapa Ini Kongsi Betapa Pentingnya Pendedahan Gangguan Seksual Kepada Kanak-Anak


Jenayah gangguan seksual bukanlah perkara yang baru di kalangan masyarakat. Malah, ia dilihat semakin membimbangkan terutamanya bagi golongan kanak-kanak. Bagi yang tidak pernah didedahkan dengan isu ini, mereka mungkin boleh salah anggap yang perbuatan ini adalah perkara biasa.

Seorang bapa cukup terkejut apabila anak perempuannya menceritakan hal yang terjadi padanya. Menerusi hantaran Tuan Amir Danau di Facebook, pada mulanya memang sangat sukar untuk memujuk anaknya bercerita.

Anaknya sangat takut untuk beritahu bapanya, namun setelah dipujuk barulah anaknya cerita. Sampai menangis-nangis budak itu.

Mula-Mula Cubit Pipi, Lepas Tu…

Menurut cerita bapa ini, anaknya adalah orang pertama yang driver ini ambil pada pukul 6.20 pagi. Pada mulanya dia duduk belakang. Kemudian, driver suruh anaknya duduk depan.

Pada hari pertama, dia bertanyakan nama anak, kemudian memuji anaknya cantik, comel sambil mencubit-cubit pipi.

Hari kedua, driver makin berani nak pegang tangan anak perempuannya. Digosok-gosok dan diramas sesuka hati. Kemudian driver siap tepuk-tepuk peha sampai nak rapatkan muka ke paha anak.

Driver tersebut juga berkata pada anaknya supaya tidak perlu risau. Driver siap meminta nombor Whatsapp anak dan memberikannya air kotak. Dia berjanji nak berikan coklat Cadbury pula keesokan harinya.

gangguan seksual boleh berlaku di mana-mana

Gambar sekadar hiasan. Kredit : motoqar.com

Bapa yang mendengar cerita ini menggelegak darah. Malam itu juga si bapa telefon orang yang perkenalkan driver itu padanya.

Apabila digali, barulah tahu rupanya dulu pun dia memang pernah ada kes dengan ibu kepada salah seorang budak sekolah. Driver ini katanya suka sangat Whatsapp ibu tersebut secara berlebihan.

Keesokan paginya, bapa tersebut tunggu driver itu. Si bapa juga tak takut untuk melempang sendiri driver tersebut sebagai pengajaran.

Dia juga tidak takut orang lain pertikaikan atau didenda jika dia menggunakan sedikit kekerasan. Jelasnya, dia tidaklah pukul habis-habisan, cukup sekadar untuk beri peringatan.

Ini semua demi membela maruah anaknya dan dianggap sangat berbaloi jika nak dibandingkan dengan trauma yang anaknya akan hadapi. Sekurang-kurangnya, anaknya tahu bapa dia sentiasa ada untuk pertahankan dia bila ada orang lain cuba ambil kesempatan.

Bapa Buat Laporan Polis Akibat Gangguan Seksual Demi Maruah Anak

Dia juga sudah melakukan laporan polis berkenaan insiden ini. Bukannya dia tak kasihan dengan driver yang sudah berkeluarga dan perlu cari rezeki.

Namun jika terlalu ikutkan kasihan pada si pelaku, siapa pula yang nak kasihan pada mangsa-mangsa yang masih trauma sampai sekarang ?

Laporan ini juga dibuat demi pengajaran untuk semua di samping sebagai motivasi buat semua anak-anak perempuan yang sering menjadi mangsan gangguan seksual.

Baginya, insiden ini adalah ujian dari Tuhan untuk uji sejauh mana kita layan nafsu amarah. Cuma isu gangguan seksual ini, ibu ayah jangan sesekali pandang ringan. Soal aib letak tepi dahulu.

Pentingkan nasib anak yang akan membesar dan kesannya pada anak. Katanya, bila kita terlalu sibuk fikir untuk menjaga nama baik keluarga, sebenarnya ini akan memberi kekuatan pada predator seksual untuk lebih berleluasa lagi.

Entah berapa orang yang sudah jadi mangsa driver ini. Bagi anak-anak kecil yang tiada pendedahan tentang gangguan seksual, pasti mereka tidak akan berani untuk beritahu ibu bapa. Mereka juga keliru dan takut ibu bapa mereka tidak percaya kata-kata mereka.

Tekankan Hal Gangguan Seksual Pada Anak Untuk Keselamatan Mereka

Insiden ini membuktikan betapa pentingnya pendedahan hal gangguan seksual di kalangan anak-anak. Mereka haruslah diingatkan setiap hari. Bagi anak perempuan, ibu perlulah sentiasa ingatkan anak tentang sentuhan dan batas pergaulan.

Tak kiralah siapa yang nak meraba badan atau sentuh tempat-tempat sulit. Abang ke, pakcik ke, atuk ke, cikgu ke, ustaz ke, anak perlu pandai kenalpasti gangguan seksual yang berlaku dan berani untuk beritahu ibu bapa.

Perkara ini tidak boleh dipandang remeh. Sebagai ibu bapa, kita perlu berikan ruang pada anak untuk bercerita supaya anak tak malu dan tak takut untuk bercerita.

Pastikan anak selesa untuk cerita tanpa berselindung walaupun sekecil-kecil cerita. Takut daripada perkara kecil, ia boleh menjadi lebih besar jika tak dibendung dari awal. Hari ini dia pegang-pegang, esok kalau dia bawa balik rumah, siapa pula nak tanggung kalau jadi apa-apa ? Ibu bapalah !

Sex Grooming Sebagai Taktik Pelaku Seksual

Selain sentuhan fizikal, anak juga perlu didedahkan pada taktik psikologi yang pelaku seksual suka amalkan. Biasanya mereka akan berselindung di sebalik watak caring atau orang yang baik.

Pesankan pada anak supaya tak termakan dengan kata-kata manis dan pemberian hadiah dari pelaku durjana ini ! Inilah yang dipanggil sex grooming. Bila orang baik sudah mula meraba, kita jadi serba salah dan tak menentu. Anak boleh timbul rasa kasihan pada pelaku kerana ‘kebaikan’ yang telah dilakukan.

Begitulah kepentingan fahaman gangguan seksual di kalangan anak-anak kecil. Pelaku seksual juga tidak pernah mengira tempat mahupun usia mangsa.

Oleh sebab itu, pendedahan tentang perkara ini perlu dititikberatkan oleh ibu bapa. Jadilah pendengar yang baik pada anak-anak supaya anak tidak teragak-agak untuk bercerita.

Jangan sampai sudah terlambat baru kita nak menyesal. Jika perkara ini berlaku, ia dikhuatiri boleh menyebabkan trauma pada anak sampai besar nanti ! Semoga keluarga kita terlindung daripada gangguan dan anasir jahat yang tidak diingini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat