Jangan Biarkan Anak Anda Jadi Kuda Lumba
Anak itu diibaratkan anugerah terindah buat ibu bapa. Setiap ibu bapa pasti menginginkan anak mereka untuk berjaya dalam hidup di dunia mahupun akhirat. Namun dalam mendidik anak untuk menjadi seperti yang diinginkan ibu bapa juga perlulah memberi ruang untuk anak-anak untuk menghayati zaman kanak-kanak mereka. Demikianlah yang dilakukan oleh seorang pemuda bernama Ruzaihan Junit untuk mendidik anak-anaknya seperti yang diceritakan oleh beliau dibawah.
Hari tu masa plan nak balik kampung waktu cuti sekolah Mac ini, isteri aku beritahu kelas tambahan wajib untuk anak aku yang sulong dah mula masa tu. Aku tegas katakan anak aku, biar aku yang uruskan. Aku yang tentukan dia akan ke kelas tambahan atau tidak. Tak ada istilah wajib.
Bagi aku, waktu cuti, anak aku MESTI bercuti. MESTI balik kampung. Dan bagi aku, balik kampung berjumpa nenek, pakcik, makcik dan sepupu mereka lebih utama dari sekolah tambahan. Sebagaimana aku benci orang yang beralasan anak ada kelas tambahan untuk tidak pulang ke kampung, sebegitulah aku takkan berbuat perkara yang sama.
Aku tahu pihak sekolah mahukan pelajar mereka dapat keputusan cemerlang. Sebagai ayah, aku pun mahu anak aku beroleh keputusan cemerlang. Tapi anak aku bukan kereta lumba F1. Bukan kuda lumba! Anak aku manusia. Perlu rehat. Perlu santai. Apatah lagi baru berusia 12 tahun. Kenapa aku mesti berlaku kejam merampas zaman kanak²nya demi untuk aku dan pihak sekolah berasa bangga???
Memang aku galakkan anak² aku belajar. Tapi bukan sampai ragut terus kehidupan mereka. Aku suruh mereka belajar. Tapi aku suruh mereka tonton tv, bermain, aku ajak mereka berjalan, aku benarkan main handphone dan banyak perkara aku berikan. Sebab bagi aku, apa yang penting mereka tahu uruskan masa. Tanyalah anak aku, aku tak marah mereka main. Aku selalu bising cuma kalau mereka tak cekap uruskan masa.
Hari Sabtu bagi aku hari rehat untuk anak aku. Hari Jumaat tu aku dah suruh mereka basuh kasut, gosok baju dan siapkan semua kerja rumah. Hari Sabtu aku takkan sentuh tentang sekolah. Tiada buku. Aku cuma bawa mereka berjalan. Atau jika tidak pun, biar mereka bermain di luar atau menonton tv seharian. Bebas. Jangan fikir sekolah.
Mungkin setengah orang rasa aku rosakkan anak² aku. Ya, bukan semua anak aku pandai. Yang no 2 antara tercorot dlm sekolah. Yang no 3, sederhana. Yang no 4 belum boleh dikatakan lagi. Tapi apa masalahnya? Bukan semua manusia itu sama kepandaiannya. Lagipun kejayaan hidup bukan ditentukan oleh keputusan peperiksaan. Ada banyak contoh dalam dunia ini. Cuba lihat keliling, berapa ramai orang yang berjaya dalam hidup walaupun gagal dalam sekolah.
Bukanlah aku katakan tak perlu galakkan mereka belajar. Moralnya di sini, jangan jadikan anak² kita kuda lumba, yang kita tandingkan untuk kebanggaan kita. Biar mereka lalui kehidupan mereka sebagai manusia normal. Bukan seperti robot yang hanya tahu satu motif dalam hidup mereka. Kita perlu bantu mereka bersedia untuk menjalani hidup selepas kita tiada, bukan setakat suruh mereka masuk ke universiti.
Akhir sekali, jika berkesempatan tontonlah filem Tamil berjudul ‘Appa’. Sebuah filem yang jalan ceritanya sungguh menarik dan mampu menjelaskan apa yang aku tulis di sini dengan lebih berkesan…