Tips Untuk Kekal Fokus Semasa Belajar Yang Wajib Ketahui!
Memberikan tumpuan semasa belajar di dalam kelas adalah sangat penting. Sekiranya anda tidak memberikan tumpuan semasa belajar ketika di dalam kelas, maka hilanglah sebahagian besar maklumat yang telah dipelajari. Kegagalan memberikan tumpuan semasa belajar di dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Mengetahui hal ini, semua pelajar berusaha yang terbaik untuk meningkatkan tumpuan semasa belajar di dalam kelas. Tetapi kalau dah mengantuk, letih, bosan, macam mana nak memberikan tumpuan sepenuhnya semasa belajar di dalam kelas kan? Jadi, berikut merupakan cara-cara untuk memberikan tumpuan semasa belajar di dalam kelas. Jom sama-sama kita ikuti tips berikut!
Tips Untuk Memberikan Tumpuan Semasa Belajar Di Dalam Kelas.
1. Niat
Semasa belajar apabila anda mula berniat untuk focus di dalam kelas, niat anda didengari oleh 2 pihak. Yang pertama ialah Allah swt. Tatkala mendengari niat ikhlas untuk menumpukan perhatian di dalam kelas, Insyaallah, Dia akan permudahkan segala urusan yang baik. Yang kedua ialah tubuh badan anda. Tubuh badan anda mendengar segala percakapan anda dan bertindak mengikut apa yang didengarinya. Inilah merupakan fungsi “Neuron Peptide”.
2. Catat Nota
Anda diwajibkan mencatat nota ketika sesi pembelajaran di dalam kelas. Ini dapat membantu anda mengekalkan “flow” ataupun aliran idea yang disampaikan oleh guru di dalam kelas. Pelajar yang tertinggal, hilang punca aliran idea ketika pembelajaran seringkali merasa “tension” dan tidak lagi memberikan tumpuan di dalam kelas. Oleh itu, mencatat nota dapat mengatasi masalah ini. Pelajari teknik dan skill mencatat nota untuk menghasilkan nota yang lebih efektif. Kajian menunjukkan anda lupa 70 peratus daripada apa yang dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera semak apa yang diajar serta-merta apabila guru keluar dari kelas.
3. Kedudukan Badan
Kedudukan badan anda mempengaruhi psikologi anda. Contohnya, jika anda baring, pasti anda akan rasa mengantuk. Jika anda berada di dalam kedudukan bersedia, minda anda akan dipengaruhi untuk juga bersama bersedia. Oleh itu, kedudukan badan juga adalah sangat penting semasa belajar di dalam kelas. Anda mestilah sentiasa berada dalam kedudukan badan yang tegak. Elakkan melakukan kedudukan badan yang akan membuatkan minda anda rasa mengantuk dan tidak fokus seperti menongkat dagu, menunduk kepala, duduk menggelongsor dan mata kuyu.
4. Kawal Pernafasan
Terdapat dua teknik pernafasan iaitu teknik pernafasan aktif dan tenang. Ketika di dalam kelas, lebihkan pernafasan aktif (pernafasan beta), iaitu pernafasan yang dalam tetapi pendek. Pernafasan ini adalah pernafasan normal manusia ketika sedar. Pernafasan ini membuatkan minda berada dalam keadaan aktif. Selepas seketika, selangkan pernafasan anda dengan pernafasan tenang (pernafasan alpha), iaitu menarik nafas dalam dan panjang ke dalam diafragma (paru-paru), hembuskannya perlahan-lahan. Pernafasan alpha menghasilkan ketenangan kepada otak.
5. Gerakkan Badan
Kebiasaannya, anda akan duduk dan menulis atau mendengar penerangan yang disampikan oleh cikgu untuk sesuatu mata pelajaran selama 1 hingga 1 setengah jam. Berada dalam keadaan yang sama untuk tempoh yang panjang menyebabkan otot-otot menjadi tegang. Gerakkan sedikit anggota badan untuk menghilangkan ketegangan otot. Anda boleh menggoyangkan kaki atau tangan, lakukan senaman ringkas serta pelbagai lagi pergerakan fizikal. Selain menghilangkan ketegangan otot, pergerakan fizikal juga membantu menghantar lebih banyak darah ke otak sekaligus menghilangkan rasa mengantuk.
6. Minum Air
Tahukah anda, 90% kandungan otak terdiri daripada air. Semasa proses pembelajaran, neuron-neuron dan bahagian-bahagian otak beroperasi dengan aktifnya. Kesannya, otak akan kehilangan banyak air dan oksigen. Antara kesan kehilangan air dan oksigen dalam otak adalah anda akan rasa mengantuk, letih, tidak fokus dan tidak bertenaga. Untuk mengatasi masalah ini, anda dikehendaki meminum air sama ada air masak atau air bergula. Minuman tersebut akan membekalkan air, oksigen dan tenaga untuk otak. Otak kembali bertenaga, anda kembali fokus. Oleh itu, anda digalakan membawa botol air ke sekolah.
7. Cukup Tidur
Tidak cukup tidur merupakan penyebab yang paling utama kenapa kebanyakkan pelajar sukar untuk memberikan tumpuan semasa belajar di dalam kelas. Kurang tidur menyebabkan pelajar sering kali mengantuk di dalam kelas. Apabila pelajar tidak tidur secukupnya, bermakna badan dan otak tidak mendapat rehat yang secukupnya. Kesannya, badan menjadi tidak bermaya, keletihan dan mengantuk. Hal ini menyebabkan pelajar tidak mampu focus di dalam kelas. Oleh yang demikian, dapatkan tidur yang secukupnya setiap hari. Tidur awal, tidur dengan postur yang betul serta ruang tidur anda yang selesa.