“Lepas Ni Takde Alasan Tak Bawa Buku !” – Netizen Kagum Dengan Idea Cikgu Ini Untuk Atasi Isu Beg Sekolah Berat
Isu beg sekolah berat bukanlah masalah yang baru berlaku, malah ia sudah berlarutan sejak berpuluh tahun lagi. Buktinya, ia pernah dipaparkan sebagai muka hadapan majalah Dewan Masyarakat keluaran tahun 1989 !
Rata-rata ibu bapa akui anak-anak yang bersekolah rendah terpaksa membawa pelbagai buku teks, buku latihan, buku kerja serta modul dalam setiap mata pelajaran. Itu tidak termasuk lagi pakaian sukan, makanan dan minuman serta alatan menulis.
Seorang pengguna sosial media juga pernah berkongsi berat beg anaknya yang mencecah 8 kilogram untuk kegunaan di sekolah !
KPM Perkenal Pendekatan Untuk Atasi Isu Beg Sekolah Berat
Isu beg berat ini kembali mendapat perhatian setelah diusulkan semula oleh Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr. Maszlee Malik baru-baru ini.
Berdasarkan penelitian Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Jidin berkata isu beg sekolah berat turut membabitkan beberapa perkara lain termasuk jumlah mata pelajaran harian serta jadual waktu yang padat.
Bagi mengatasi perkara ini, beliau telah mengumumkan beberapa pendekatan melalui laman rasmi Facebook untuk pengetahuan ibu bapa.
Antara pendekatan yang bakal diambil oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah :
- Lokar akan disediakan di sekolah rendah dua sesi secara berfasa tahun ini untuk kurangkan masalah beg berat pelajar.
- Penyusunan semula jadual waktu untuk hadkan jumlah pelajaran antara 3 ke 4 subjek sehari dengan mengambil kira aspek pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.
- KPM tetapkan murid hanya bawa dua buku latihan tidak lebih 80 muka surat bagi setiap mata pelajaran
- KPM bincang dengan Jakim beri kelonggaran murid pakai uniform sekolah kebangsaan semasa sesi persekolahan KAFA.
Dengan pengumuman pendekatan mengenai isu ini, ibu bapa berharap agar masalah ini dapat diselesaikan oleh KPM buat julung kalinya selepas 30 tahun diketengahkan.
Guru Di TikTok Perkenal Cara Atasi Isu Beg Sekolah Berat
Sementara itu, seorang guru sekolah rendah yang dikenali sebagai Faizal Faiz telah tampil di platform TikTok bagi memberikan cadangan untuk tangani masalah ini.
Guru tersebut berkongsikan pendekatan yang diambil oleh sekolahnya agar murid-murid tidak terbeban dengan masalah beg sekolah.
Langkah yang diambil ialah dengan menyediakan kotak plastik tahan lasak untuk setiap murid. Bagi memastikan buku tidak tertukar, kotak tersebut juga dilabel dengan nama dan gambar murid.
Pada mulanya, kotak-kotak tersebut disusun di belakang kelas, namun kini ia diletakkan di sebelah meja murid bagi mengurangkan pergerakan dalam kelas ekoran wabak pandemik Covid-19.
Menurut Faizal Faiz, murid hanya perlu membawa pulang buku yang berkaitan sahaja.
Video tersebut berjaya menarik perhatian warganet sehingga meraih lebih 600,000 kali tontonan serta mendapat 69,000 tanda suka.
Boleh klik DI SINI untuk tonton video TikTok penuh.
Rata-rata netizen cukup kagum dengan usaha yang dilakukan sekolah ini. Tidak hanya itu, ruang bilik darjah juga dihias dengan cukup cantik menjadikan murid-murid lebih bersemangat untuk ke sekolah setiap hari.
Di samping mengucapkan syabas atas usaha guru-guru di sekolah tersebut, warganet juga dilihat sedikit cemburu dengan kemudahan yang disediakan oleh sekolah ini.
Ramai warganet yang merupakan tenaga pengajar turut kagum dan menjadikan cadangan guru ini sebagai inspirasi kepada sekolah masing-masing.
Yang pastinya pendekatan ini dilihat berkesan untuk tangani isu beg sekolah berat di samping dapat selesaikan masalah buku tertinggal yang sering dialami murid-murid.