Bisunya Sang Arnab

Sumber Rujukan : Wartawan Sinar Harian

Susah memunculkan suara walau nafas di hujung nyawa

Februari tahun lepas adalah dimana ayat ‘sah itu kanser’ didengarkan ke telinga Ummi. Bermakna sudah setahun Ummi berjuang untuk sembuh total daripada kanser.

Apa yang Ummi lakukan sepanjang tahun ini sebenarnya? Yang jelas, ketika wanita lain sibuk menjaga penampilan diri, menjaga susuk badan, mahupun bergaya dengan fesyen terkini, Ummi tidak sempat untuk perkara itu.

Memang Ummi berdiet, tetapi bukanlah untuk memastikan badan Ummi ramping. Sebaliknya, Ummi lakukan untuk memastikan rezeki yang masuk ke dalam tubuh Ummi adalah makanan yang sihat.

Elak gula, elak makanan laut, lebihkan sayuran dan buah-buahan. itu yang Ummi lakukan untuk memastikan badan tidak lagi berasid, supaya tidak menjadi ‘baja’ kepada kanser yang aktif.

Apa yang menjadi keutamaan dalam kehidupan Ummi adalah sihat semula selepas disahkan menghidap kanser. Berulang-alik mendapatkan rawatan sama ada kemoterapi mahupun radioterapi, semuanya sudah Ummi lalui. Pembedahan membuang kedua-dua ‘mahkota’ di dada pun sudah ditempuh.

Semuanya untuk memastikan bahawa kelima-lima cahaya mata Ummi terus mendapatkan kasih sayang dan bimbingan seorang ibu, kerana mereka terlalu mentah untuk berdikari.

Ummi bersyukur, sepanjang rawatan di hospital , ahli keluarga, terutama suami dan adik-beradik banyak membantu dan memberi semangat untuk Ummi menghadapi detik sukar itu.

Ummi juga terhutang budi dengan pertolongan sahabat , jiran juga ketua-ketua syarikat tempat Ummi bertugas yang sentiasa menyuntik semangat untuk Ummi tabah dan sabar menghadapi kesakitan dan ujian Allah.

Ummi sering berjumpa dengan ayat-ayat dalam Al-Quran dimana Allah menjelaskan beberapa sifat jelik manusia sebagai makhluk yang lemah. Di antaranya adalah manusia mudah berkeluh kesah ketika menghadapi kesukaran atau diuji dan mudah lupa diri ketika mendapat nikmat.

Dahulu, ketika Ummi sihat, ayat- ayat Allah dalam Al-Quran tersebut tidak begitu Ummi resapi.Tetapi kini, Ummi semakin menyedari kebenaran dan kedalaman maknanya. Terutama menyentuh soal berkeluh kesah. Lebih-lebih lagi apabila semakin kerap mengamati sikap dan tindak tanduk haiwan juga tumbuhan disekililing kita.

Jika minggu lepas, Ummi mengajak anak-anak belajar daripada beluncas, ada baiknya dalam soal kesabaran, kita belajar pula daripada arnab.


Arnab adalah seeekor haiwan herbivor. Ertinya, ia diburu oleh haiwan-haiwan pemakan daging(karnivor) .Untuk mempertahankan diri di alam bebas, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh arnab.

Arnab tidak memiliki tanduk,bertubuh kecil dan kukunya hanya berupaya untuk menggaru. Arnab tidak mampu berlari sepantas pemburunya.

Maka salah satu adaptasi yang arnab lakukan untuk tidak dicederakan pemangsanya adalah tidak menimbulkan sebarang bunyi. Jika anak-anak ada membela arnab, anak-anak akan tahu arnab bagaikan haiwan yang bisu.

Tetapi ini tidak berarti arnab tidak boleh bersuara sama sekali. Kadangkala ia boleh mengeluarkan suara kecil seperti menjerit. Jika arnab mengeluarkan suara jeritan, ertinya dia berada dalam keadaan sangat takut atau boleh menjadi sendang mengalami kesakitan yang sangat luar biasa.

Ummi dan sesiapapun pasti pernah sakit(‘hebat’ bagi mereka yang tidak pernah sakit). Dalam banyak keadaaan, kita sebagai manusia yang sakit, sering kali mengeluarkan kalimah-kalimah keluh seperti “aduh, ah, aw” dan sebagainya.

Tak usah ketika kesakitan gigi yang mungkin kita boleh terjerit-jerit atau menangis, tercucuk duri sahaja boleh sampai mengeluarkan kata-kata umpatan.

Tapi Ummi perhatikan perkara ini berbeza pada kehidupan arnab.Ada kalanya, arnab terjatuh dari ketinggian tiga meter. Kerana tidak bersedia, kepalanya mendarat dahulu. Ini menyebabkan hidungnya berdarah. Pasti sakit, kearana ia sedikit mengelepar. Tapi tidak kedengaran suara arnab. Setelah boleh menenangkan dirinya dan memahami situasi, arnab bpun berlari senormal mungkin walau hidungnya masih berdarah.

Ada kejadian aranab yang mati kerana jatuh dari ketinggian kurang satu meter. Ini kerana ia tidak sedia sehingga bahagian punggung atau lehernya yang mendarat lebih dahulu ke tanah. Kejang-kejanglah ia, dan ketika cuba bangun, ia jatuh dan jatuh lagi.

Ada tulang belakang berhampiran lehernya patah. Pasti urat sarafnya terganggu sehingga arnab itu tidak mampu menstabilkan gerak tubuhnya.

Pasti sangat sakit bukan?Tapi arnab tetap tidak bersuara. Dan  ia tetap tidak putus asa untuk terus bergerak dan berdiri normal. Berulang-ulang kali dilakukannya dan berjam-jam lamanya. Arnab seperti tidak putus asa.

Dan begitu juga kes-kes arnab sakit. Baik yang kembung sampai tisak makan berhari-hari, bisul, terkena kudis, saluran pernafasannya  terkena infeksi bakteria dan sebagainya. Perhatikanlah! tidak ada seeekor pun arnab yang bersuara yang berciri khas menunjukkan kesakitannya.

Mungkin anak-anak berfikiran bahawa memang sifat arnab tidak menjerit atau bersuara ketika sakit.  Maka anak-anak merasa memang wajarlah tidak kedengaran apa-apa keluar dari mulutnya. Jadi tidak apa yang istimewa tenatang apa yang Ummi ceritakan ini.

Tapi Ummi tetap katakan, anggapan anak-anak itu tidak betul. Kerana pada akhirnya arnab juga berusara dengan jeritan kecil ketika kesakitan yang dirasainya sudah keterlaluan, sebagaimana arnab patah tulang lehernya yang Ummi ceritakan tadi mengakhiri penderitaannya. Ia mengeluarkan jeritan yang sangat kuat hingga boleh didengar sejauh beberapa meter sebelum menjelang hembusan nafas yang terakhir.

Namun lebih banyak di antara mereka yang tetap tidak bersuara sama sekali dan berusaha tenang ditempatnya sampai ajal menjemput. Padahal jelas tubuhnya sudah kesakitan lebih seminggu sehingga untuk bergerak dan makan pun arnab itu tidak mampu.

Bukan hanya tidak mengeluarkan suara, malah arnab juga tidak terlalu menunjukkan perubahan ketika sakit. Ia berusaha bersikap senormal mungkin. Maka, jika anak-anak ada membela arnab dan selalu memerhatikannya secara teratur, sebahagian daripada anak-anak tentu tidak sedar arnab peliharaan sedang sakit.

Ini berlaku kerana kita hanya memerhatikan penampilan luar arnab tanpa memeriksa tubuhnya secara terperinci. Kita hanya sedar bila tiba-tiba sahaja arnab peliharaan kita mati atau sudah nazak.

Daripada apa yang Ummi ceritakan di atas arnab kelihatan lebih memilih untuk kuat dan bersabar menghadapi rasa sakit dan penderitaan.

Cuba bandingkan dengan manusia. Bayangkan bagaimana jika manusia mengalami ujian-ujian seperti apa yang ditempuh arnab. Mula dari sakit perut, mengalami pendarahan, patah dan sebagainya. Mungkin hampir tidak ada manusia yang boleh berhari-hari sampai lebih seminggu lamanya terus tenang dan hidup senormal mungkin tanpa mengungkap keluhan rasa sakitnya.

Benar dan tepatlah apa yang dikatakan Allah: Manusia itu terlalu mudah berkeluh kesah. Betapa rendah tahap kesedaran manusia itu sebenarnya dibandingkan makhluk lain menghadapi kesukaran dalam kehidupan. Wallahualam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat