Baru Umur 24 Tahun dan Sihat Tapi Paru-Paru Kena Tebuk Untuk Keluarkan Nanah, Doktor Ini Kongsikan Kisah Pesakit Kena Empyema Thoracis
Sebagai golongan muda, kita pasti menyangka penyakit jarang singgah kerana kononnya sistem imun masih kuat dan lebih kurang berisiko untuk jatuh sakit seperti orang tua.
Namun, perkara yang dikongsikan oleh seorang doktor ini pasti akan membuatkan kita tersentak. Menurut Dr Mohd Syamirulah Rahim, beliau tergerak untuk kongsikan pengalaman pesakit ini sebagai peringatan kepada golongan muda.
Kalau nak tahu penyakit apa yang membuatkan paru-paru pesakit ditebuk walaupun sihat, teruskan membaca !
Empyema Thoracis Mula Sebagai Batuk dan Demam Biasa
Pada awal penceritaan, Dr Mohd gelarkan pesakit sebagai ‘Ali’.
Ali baru berusia 24 tahun dan masih bujang. Dia bekerja sebagai pekerja am di sebuah kedai serbaneka. Ali adalah seorang pekerja yang rajin.
Dia tinggal bersama ibu dan adik perempuannya. Ayahnya sudah meninggal dunia ketiak Ali masih kecil.
Pada satu tengah hari, Ali mengangkat barang dari lori bersama 2 rakan sekerjanya di bawa terik matahari. Selesai mengangkat barang, mereka bertiga pun berehat di bawah pokok sambil merokok.
Sebaik sahaja pulang ke rumah pada petang itu, badan Ali rasa panas seperti nak demam. Hati kecil Ali menganggap ini adalah kerana dia berjemur di bawah matahari tadi.
Namun keesokan harinya, badan Ali mula rasa demam suam-suam kuku. Dia juga mula batuk namun Ali tetap bekerja seperti biasa.
Keadaan Ali berlarutan sehingga 2 minggu tanpa menunjukkan sebarang kesembuhan. Dia juga kelihatan lebih dan tercungap-cungap.
Batuknya juga semakin kuat dan kerap sehingga menggangu Ali untuk tidur pada waktu malam.
Ali Dikejarkan Ke Hospital
Akhirnya Ali mengaku kalah dan mula ambil cuti sakit. Emak Ali cukup risau akan keadaan anak bujangnya yang semakin melarat.
“Engkau ni Ali, dah macam pesakit asthma dah mak tengok! Jom ikut mak pergi hospital petang ini!”
Sebaik sahaja tiba di Jabatan Kecemasan, Ali segera disorong ke ruangan asthma. MA yang bertugas menyangka bahawa Ali diserang asthma.
“Tapi dia tak pernah ada asthma sebelum ini!” Ujar ibu Ali. Ali terlalu tercungap-cungap untuk bercakap. Doktor segera datang, dan MA mengambil tekanan darah dan nadi Ali.
Tekanan darah Ali, rendah. 100/70. Nadinya pula laju, 120 sedangkan Ali tidaklah demam mana. Suhu badannya 37.5 cuma.
Namun badan Ali berpeluh sampai basah katil stretcher. Kandungan oksigen didalam badannya (SPO2) juga didapati rendah iaitu 75%.
Paru-Paru Ali Dipenuhi Nanah !
Melihatkan bacaan yang merisaukan, Ali segera dibekalkan bantuan pernafasan dan cecair normal saline.
Juru X-ray berserta mesin X-Ray mudah alih dipanggil. Hasil keputusan X-Ray menunjukkan paru-paru kiri Ali dipenuhi cecair. Doktor segera membuat keputusan untuk menebuk paru-paru Ali.
Prosedur tersebut adalah thoracocentesis, iaitu cecair di ruangan pleura yang menyelimuti paru-paru Ali perlu dikeluarkan.
Cecair ini sedang menekan paru-paru Ali, menyebabkan ianya tidak dapat kembang sepenuhnya. Ali kini seperti orang kelemasan.
Apabila jarum ditusuk ke rongga pleura Ali, nanah pekat berwarna keputihan kekuningan keluar.
Gambar yang dilampirkan di bawah adalah gambar sebenar nanah yang dikeluarkan dari Ali.
Hampir 200ml cecair dikeluarkan namun tiada tanda-tanda ia akan habis. Doktor memutuskan untuk menukar prosedur thoracocentesis dan memasukkan chest tube. Sebuah tiub berdiameter hampir sebesar jari telunjuk, dimasukkan ke dalam rongga pleura Ali.
Tiub ini akan dipasang ke sebuah bekas vakum, yang akan terus terusan menyedut nanah dari ruang pleura paru-paru Ali.
Hampir satu liter nanah dikeluarkan. Ali semakin stabil. Bacaan oksigennya sudah meningkat ke 98% dengan bantuan wayar oksigen (nasal prong). Ali juga sudah tidak sesak nafas dan tidak lagi tercungap-cungap.
Ali Perlu Ditahan Di Wad
Ali dimasukkan ke wad untuk pemantauan. Chest tube tersebut akan dikekalkan sekurang-kurangnya tiga hari, setidaknya sehingga habis nanah dikeluarkan.
Ali pula perlu berada di wad untuk diberikan antibiotik kuat, Ceftriaxone, melalui saluran intravena untuk tempoh sekurang-kurangnya empat minggu. Jadi, Ali perlulah ditahan di wad selama sebulan sebelum dibenarkan untuk pulang !
Ali juga perlu menjalani latihan physioterapi yang intensif bagi memastikan paru-paru beliau kembali kembang dan berfungsi seperti sediakala.
Jika tidak, Ali akan hidup bagaikan manusia yang ada satu paru-paru sahaja. Berjalan 100 meter, sudah tercungap kebiruan.
Doktor mendiagnos Ali sebagai pengidap Lung Empyema Thoracis. Ia berlaku kerana jangkitan kuman pada paru-paru.
Rupa-Rupanya Ali Sakit Sebab Tabiat Merokok
Orang sihat kebiasannya mampu mengalahkan kuman ini dengan mudah.
Namun bagi orang tertentu yang mempunyai sistem imun yang lemah, jangkitan kuman yang biasa mudah sahaja merebak pantas. Ini akhirnya akan membentuk koloni kuman yang besar seperti Empyema Thoracis.
Ali tidak pernah dijangkiti Batuk Kering (TB). Beliau juga tiada penyakit kronik seperti Kencing Manis, Darah Tinggi, atau jangkitan HIV.
Dia cuma seorang pemuda yang sihat tubuh badan. Cuma satu sahaja kesilapan Ali iaitu tabiat merokok. Sejak berumur 17 tahun, Ali boleh merokok sehingga tiga kotak sehari.
Merokok menyebabkan sistem imun badan terutamanya di kawasan paru-paru, lemah. Kerana itulah perokok lebih berisiko mendapat Empyema Thoracis berbanding orang lain.
Mana-mana doktor pun pasti sudah lali merawat pesakit seperti Ali. Mereka biasanya muncul sekurangnya sekali dalam dua bulan.
Di hospital besar khasnya, pasti ada sekurang-kurangnya seorang pesakit Empyema Thoracis dalam satu-satu masa.
Siapa Yang Sering Kena Empyema Thoracis ?
Menurut Dr Mohd, secara majoritinya penyakit ini sering dihidapi oleh lelaki berusia antara 20 hingga 40 tahun. Dr Mohd juga melihat kebanyakan pesakit akan alami Empyema Thoracis secara berulang kerana sikap mereka yang tak serik-serik merokok.
Ini sangat merisaukan kerana Empyema Thoracis yang berulang boleh membuatkan pesakit berisiko untuk menghidap jangkitan paru-paru kronik ! Pesakit yang alami jangkitan paru-paru kronik akan memerlukan bantuan oksigen sepanjang masa.
Dr Mohd juga akui rawatan untuk Empyema Thoracis ini sukar untuk dikendalikan. Kira-kira 15% ke 50% pesakit Empyema Thoracis gagal dirawat dan meninggal dunia atas pelbagai faktor.
Berbalik kepada kes Ali, dia didapati masih batuk kuat pada hari ketiga di wad. Ada ketika, Ali batuk sehingga tersembur darah bercampur kahak yang banyak.
Menurut Dr Mohd, Ali mengalami komplikasi yang dinamakan bronchopleural fistula. Jangkitan yang ada, memamah isi paru-paru Ali sehingga ke saluran pernafasan.
Dalam masa beberapa minit, Ali pengsan. Mukanya pucat. Doktor bergegas untuk cuba selamatkan Ali. Tiub pernafasan dimasukkan, tekanan dada dan CPR diberikan.
Malangnya, hayat Ali tidak panjang. Selepas beberapa jam, Ali disahkan meninggal dunia akibat pendarahan dari salur darah jantungnya yang cedera ketika Ali batuk kuat.
Begitu cepat penyakit Empyema Thoracis merebak dalam badan pesakit. Walaupun pesakit sihat dan tiada sejarah penyakit kronik, ia masih boleh terjadi lebih-lebih lagi di kalangan perokok.
Merokok sememangnya tidak memberikan sebarang manfaat kesihatan, sebaliknya ia boleh menjejaskan lagi kesihatan seseorang.
Penyakit Empyema Thoracis ini juga boleh menjadi bukti yang kesan merokok bukan sahaja boleh didapati pada usia tua, malah orang muda juga berisiko untuk mengalami komplikasi kesihatan yang teruk ! Oleh itu, hindarilah rokok dan amalkan gaya hidup yang sihat demi kehidupan yang bebas penyakit.
Sumber : Medical Mythbuster Malaysia