Dah Bayar Fidyah Ke Belum ? Ini 5 Golongan Yang Wajib Bayar Serta Cara Bayar Fidyah Yang Mudah
Setiap kali bulan Ramadhan, pasti ramai yang ingin tahu cara bayar fidyah yang betul.
Namun tahukah anda sebenarnya fidyah tiada waktu spesifik untuk dibayar ? Walau bagaimana pun, ada sebabnya kenapa orang selalu bayar pada bulan Ramadhan. Perkara ini kita akan kupas dengan lebih lanjut.
Fidyah adalah denda ke atas umat Islam yang baligh apabila melanggar hukum dalam ibadah tertentu seperti puasa dan haji.
Sebagai umat Islam, kita perlulah fahami konsep dan cara bayar fidyah sebaiknya. Tambahan pula ia merupakan tuntutan wajib buat semua.
Apa Itu Fidyah ?
Fidyah adalah sesuatu yang dibayar untuk menebus diri, sama ada dalam bentuk harta atau perbuatan lain disebabkan kekurangan dalam ibadah tertentu.
Hukumnya adalah wajib ke atas semua umat Islam. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 184 :
أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ
Yang bermaksud: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Surah al-Baqarah: 184)
Jika hukum yang dilanggar dikaitkan dengan ibadah puasa, maka fidyah akan dikenakan akibat meninggalkan puasa wajib sama ada kerana melewatkan qadha’ puasa atau disebabkan sebab-sebab tertentu.
Golongan Yang Dikenakan Fidyah
Terdapat 5 golongan yang dikenakan fidyah akibat meninggalkan puasa iaitu :
1. Uzur Syar’ie & Sakit Yang Boleh Sembuh
Golongan ini meninggalkan puasa Ramadhan akibat uzur syar’ie (musafir, haid, nifas atau wiladah) atau sakit yang ada harapan sembuh.
Golongan ini wajib qadha’ puasa sebelum tibanya bulan Ramadhan akan datang
Sekiranya mereka gagal menggantikan puasa sebelum waktu tersebut, maka mereka perlu qadha’ puasa serta bayar fidyah mengikut jumlah hari yang ditinggalkan.
2. Orang Sakit dan Tiada Harapan Sembuh
Golongan ini tidak dapat laksanakan ibadah puasa kerana menghidap sakit yang tiada harapan sembuh dan disahkan oleh doktor tidak boleh berpuasa.
Golongan ini tidak wajib qadha’ puasa, namun mereka tetap perlu bayar fidyah bagi tahun tersebut.
3. Ibu Hamil Yang Bimbang Akan Kesihatan Dirinya
Ibu mengandung yang masih menyusui anaknya dalam sesetengah keadaan didapati tidak berpuasa pada bulan Ramadhan atas sebab :
Bimbang akan kesihatan dirinya sahaja atau ;
Bimbang akan kesihatan diri serta kandungan atau anaknya.
Para ibu ini tidak wajib bayar fidyah, namun mereka wajib qadha’ puasa.
4. Ibu Hamil Yang Bimbangkan Kesihatan Anak atau Kandungan
Satu lagi golongan ibu hamil yang dikenakan fidyah adalah mereka yang tidak berpuasa pada bulan Ramadhan kerana bimbangkan kesihatan anak atau kandungan.
Para ibu ini diwajibkan untuk qadha’ puasa dan bayar fidyah.
5. Orang Yang Meninggal Dunia
Bagi orang yang sudah meninggal dunia namun tidak sempat untuk ganti puasa, maka pewaris perlu penuhi tanggunggjawab untuk bayar fidyah bagi pihak si mati.
Tempoh Pembayaran Fidyah
Berbalik kepada tempoh pembayaran fidyah, sebenarnya pembayaran fidyah berkait ibadah puasa tidak terhad pada bulan Ramadhan sahaja.
Namun, umat Islam digalakkan untuk segerakannya kerana dikhuatiri tidak dapat dilaksanakan jika bertangguh.
Ia juga bertepatan dengan pendapat para ulama yang bersepakat bahawa waktu membayar fidyah bermula sebaik sahaja ibadah berkenaan tidak dapat disempurnakan.
Lebih cepat dibayar, lebih bagus. Tambahan pula jika ditangguh sehingga masuk Ramadhan tahun depan, jumlah bayaran akan berganda.
Walau bagaimanapun, bilangan hari ganti puasa adalah kekal.
Cara Kiraan Fidyah
Untuk membayar fidyah, anda perlu gandakan nilainya mengikut jumlah hari yang anda tinggal puasa.
Misalnya, Lembaga Zakat Selangor meletakkan nilai secupak beras sebanyak RM 1.80 untuk kiraan fidyah di negeri tersebut.
Jadi, sekiranya anda tinggalkan puasa selama 3 hari, maka anda perlulah bayar fidyah sebanyak :
RM 1.80 (1 cupak) X 3 hari = RM 5.40
Jika anda tidak berpuasa selama 2 hari pada tahun 2017 dan ingin gantikan puasa serta bayar fidyah pada tahun 2021, maka kadar fidyah adalah seperti berikut :
RM 1.80 (1 cupak) X 4 tahun X 3 hari = RM 21.60
Untuk makluman, nilai secupak beras mungkin berbeza mengikut negeri. Sila rujuk pada pusat zakat negeri masing-masing.
Cara Bayar Fidyah
Pada zaman teknologi ini, terdapat banyak cara bayar fidyah yang tersedia. Ia boleh disempurnakan dengan tiga cara iaitu :
- Secara Tunai – Bayaran boleh dilakukan terus di pejabat agama atau pejabat zakat negeri masing-masing atau melalui wang pos.
- Secara Online – Melalui e-zakat negeri masing-masing seperti e-zakat Selangor, e-zakat Penang, laman web Pejabat Agama dan Majlis Negeri
- Melalui MayBank2U – Kaedah ini boleh digunakan untuk pusat zakat atau majlis agama negeri yang aktifkan pembayaran fidyah melalui Maybank2U.
Caranya adalah seperti berikut :
Log masuk ke akaun Maybank2U seperti biasa
Klik ‘Bill Payment’ dan klik pada ‘Make A One-Off Payment’
Klik ‘Zakat & Charity’
Pilih Pusat Pungutan Zakat / Fidyah negeri masing-masing
Pilih ‘Fidyah’
Masukkan jumlah bayaran yang perlu dibayar mengikut kiraan.
Cara bayar fidyah mudah sahaja sebenarnya. Bagi yang belum sempurnakannya lagi, segerakanlah kerana nilainya akan meningkat jika Ramadhan tahun datang menjelma.