Tips Untuk Rumah Sentiasa Kemas Dan Bersih Walaupun Ada Anak Kecil
Susah kan nak kekalkan rumah sentiasa kemas dan bersih? Tambahan pula kalau anda ada anak kecil di rumah. Anda boleh lakukannya, tak payah ambil masa yang lama pun. Terdapat banyak tips untuk rumah sentiasa kemas dan bersih walaupun ada anak kecil.
Antara tips yang boleh anda praktikkan ialah:
1. Kemas katil
Bangun tidur, terus kemas katil. Betulkan cadar dan lipat selimut anda. Biarkan katil anda sentiasa dalam keadaan kemas. Barulah sedap mata memandang. Jadikan ianya sebagai rutin anda pada setiap pagi.
2. Jangan biar singki penuh
Jangan biarkan pinggan mangkuk memenuhi singki. Kalau boleh, basuh pinggan dan mangkuk yang digunakan setiap kali selepas makan. Mak-mak mesti akan membebel jika tengok singki penuh dan bersepah, “sakit matalah tengok singki penuh macam ni”.
3. Pastikan kaunter @ kabinet dapur sentiasa bersih
Selepas basuh, pastikan anda terus susun pinggan mangkuk dan apa semua itu di tempat yang sepatutnya. Jika ada baki lauk pauk, simpanlah di dalam bekas yang tertutup. Buang sampah setiap kali bakul sampah penuh, jangan sampai sampah itu berulat.
4. Kemas ruang tamu tengah hari dan malam
Kemas ruang tamu rumah anda sekurang-kurangnya dua kali sehari. Ruang tamu semestinya menjadi tempat permainan anak-anak dan tidak kurang juga ruang untuk santai keluarga. Sebab itulah ia akan bersepah, jadi kemas lah ruang tamu rumah anda pada tengah hari dan juga sebelum tidur. Bangun tidur dan tengok ruang tamu bersih dan kemas, mesti anda gembira kan.
5. Lipat baju selepas basuh
Jangan biarkan baju kotor menimbun, dan juga jangan biarkan baju yang sudah kering menggunung dalam bakul. Untuk memastikan rumah sentiasa kemas, lipat dan kemas baju yang telah kering dan masukkan dalam almari.
6. Bersihkan bilik mandi
Bersihkan bilik mandi anda sambil-sambil anda mandi. Ataupun cuci tandas anda selang dua hari sekali, unuk mengelakkan ianya kotor. Anda mesti tidak suka kan melihat tandas rumah anda kotor.
Senang bukan? Jadikan ia sebagai rutin harian anda, mesti anda tidak akan rasa terbeban untuk kemas rumah.