Dipenjara Kerana Perniagaan Online!

Sumber Rujukan : Nor Zabetha

Kebiasaannya kalau telefon saya, dihubungi lewat malam dari nombor yang tidak saya kenali saya pasti ada berlaku tangkapan. Pasti ada yang memerlukan khidmat saya untuk mewakili ahli keluarga yang ditahan. Pagi sabtu, saya terima panggilan seawal jam 6.58 pagi, nombor yang saya tidak kenali.

Dia maklumkan yang isterinya ditangkap semalam. Isterinya sendiri telah ke balai untuk menyelesaikan dakwaan-dakwaan dan laporan polis-laporan polis yang dibuat terhadapnya. Si isteri bawa anak mereka berusia 14 bulan. Masih menyusu dan lansung tidak minum susu formula. Selepas disoal siasat, polis terus menahan dia di lokap. Polis benarkan si anak berada dengan si ibu semalaman dilokap. Bagi bayi berusia kurang 2 tahun, kebiasaannya memang diberikan sedikit kelonggaran begitu dan jika diizinkan oleh pegawai yang mengendalikan kes atau ketua balai. Dalam tegas ada lembutnya pegawai penguatkuasa di Malaysia ini.

Saya diminta oleh si suami untuk mewakili isterinya di Mahkamah, untuk meminta pengurangan reman. Kebiasaannya saya dah tetapkan jadual harian saya, kes-kes ‘last minute’ begini sukar juga hendak saya terima. Tetapi memikirnya tentang risaunya ahli keluarga dan kasihankan bayi yang bersama dengan si ibu. Saya akur dan terus bersiap-siap ke Mahkamah untuk pendengaran reman. Tangkapan dibuat sekitar lewat malam, jadi polis perlu dapatkan perintah dari mahkamah untuk menahan lanjut maksimum 4 hari bagi kesalahan anak guam. Saya akan memohon untuk dikurangkan jangan sehingga 1 hari sahaja.

Sebelum ditahan, wanita ini pernah temui saya dan hubungi saya. Semuanya bermula dengan perniagaan di sosial media. Bahaya bisnes online ini yang menyebabkan anda boleh disabit kesalahan tidak melebihi 10 tahun penjara atau denda tak melebihi RM50,000,000.00 atau kedua-duanya sekali, sebenarnya adalah cara pengambilan deposit dari pelanggan itu. Nanti saya akan terangkan lanjut.

Anak guam saya ini, hanyalah merupakan ejen yang mengutip wang dan diberikan kepada ‘supplier’. Ini bukan kali pertama saya dirujuk dengan kes begini. Sebelum ini, ada ejen-ejen yang merujuk kepada saya bagi jualan tiket penerbangan murah, ejen-ejen jualan pampers, ejen-ejen jualan telefon murah yang kesemuanya dikejar oleh pembeli-pembeli. Mereka tidak dapat memberikan produk yang dijanjikan kepada pelanggan-pelanggan setelah menerima wang.

Kegagalan menyerahkan barangan ini , akan menimbulkan kemarahan pelanggan. Maka, pelanggan membuat laporan polis. Setelah banyak laporan yang diterima terhadap individu yang sama, polis akan memulakan siasatan dan membuat tangkapan reman untuk membantu siasatan.

Sebenarnya dalam kes-kes begini, akan ada satu ‘master mind’ atau si penyangak utama yang menjanjikan harga durian runtuh.

Contohnya pembelian tiket penerbangan murah, harga yang ditawarkan sangat murah berbanding harga sedia ada. Untuk memasarkan strateginya, si penyangak akan mencari ejen-ejen dan menjanjikan kepada ejen-ejen ini pulangan hasil jualan yang lumayan. Bukanlah juga salah ejen-ejen, mereka juga hanya cari makan. Maka, ejen-ejen ini pun mula mencari pelanggan dan menjual barangan murah ini. Tetapi si penyangak bijak, dia akan menyuruh wang-wang deposit atau tempahan dimasukkan dalam akaun ejen-ejen. Ejen-ejen akan dijadikan ‘puppet’.

Kebiasaannya bagi tempahan awal, pelanggan-pelanggan akan dapat apa yang ditempah dengan harga yang dijanjikan. Setelah pelanggan-pelanggan meletakkan kepercayaan dan bayaran diterima jutaan ringgit dari setiap ejen, si penyangak akan cabut lari. Untunglah si penyangak, kerana dia sendiri tidak berurusan ‘direct’ dengan pelanggan, duit yang dimasukkan juga tidak ‘direct’ kepadanya. Maka, ejen-ejen yang akan menghadap kata-kata makian dan kemarahan pelanggan dan ejen-ejen akan disabitkan kesalahan. Bijak bukan master mind ini?

Begitulah yang berlaku dalam kes anak guam saya ini. Setelah anak guam saya dan beberapa ejen mendepositkan jutaan ringgit kepadanya, dia tidak lagi dapat dikesan. Maka, yang perlu hadap segala kata-kata marah dan makian dari pelanggan adalah wanita ini.

Tidak salah pelanggan juga, mereka hanya mahu hak mereka dikembalikan. Zaman ekonomi ini bukan senang hendak ‘survive’. Tidak salah pelanggan juga, mereka hanya tahu tentang ejen dan wang yang dibayar adalah kepada ejen, apa yang berlaku di antara ejen dan ‘master mind’ bukan dalam pengetahuan mereka. Manalah tahu ejen juga bersuhabat, kalau saya jadi pelanggan saya pun bersubahat. Kalau saya, saya mungkin juga fikir begitu.

Hairan, orang kita ini. Pandai meniaga, rajin juga bekerja. Buat marketing bukan ribuan ringgit kadangkala sampai jutaan ringgit, tetapi dokumentasi tidak ada. Kamu kutip dari orang ramai ratusan ribu ringgit, dimasukkan dalam akaun kamu. AKAUN PERIBADI dan masukkan kepada akaun pembekal tanpa sedikit pun hitam putih! Tidak ada lansung Perjanjian! Bila dah ditangkap, melopong tak ada bukti. Katanya duit dah diserah pada pembekal, pembekal pula cabut lari! Nasib baik anak guam saya simpan segala transaksi pindahan wang dari akaunnya kepada pembekal, tetapi polis masih perlu siasat. Dia masih perlu ditahan.

Terperanjat saya masa bertanya kepada ejen-ejen jualan tiket kapal terbang murah yang jadi viral kerana kes ‘master mind’ cabut lari. Seorang ejen, boleh menjual harga paling minimum RM1 juta ringgit. Masih tak ada hitam putih, buta-buta dimasukkan dalam akaun ‘master mind’. Saya dengar dalam kes ini master mind terima puluhan juta ringgit!

Berniaga online ini, mungkin nampak mudah tetapi risikonya kalau tak kena gaya, boleh menjerat. INGAT! ANDA TIDAK BOLEH AMBIL DUIT DEPOSIT KALAU ANDA TIDAK BERLESEN. Menjadi kesalahan di bawah Seksyen 137 (1), Financial Service Act 2013. Tiada pihak yang boleh mengambil deposit tanpa lesen tidak kiralah bagi tujuan hutang, pendahuluan, pelaburan, simpanan dan lain-lain. Hukuman maksimum 10 tahun penjara dan denda RM50,000,000.00.

Sempat saya bersembang dengan pegawai polis yang mengendalikan kes anak guam saya. Katanya, kes ini banyak dia kendalikan. Semuanya mengambil wang deposit dari pelanggan. Salah! Katanya “Isteri saya juga berniaga jual kek, pesanan dibuat secara online. Dia tidak ambil deposit. Jadi selepas tempahan dibuat, dia akan serahkan kek kepada pelanggan. Baru dia terima bayaran. Cara begini boleh”.

Sebenarnya pening juga jadi peniaga ini. Kalau tidak ambil deposit, tempahan sudah dibuat, kek sudah siap tersedia. Tiba-tiba pelanggan tidak datang ambil! Rugi juga. Kadang-kadang, deposit itu tanda jadi atau syarat pelanggan beri komitmen. Kalau tidak ada pengambilan deposit juga, amat sukar untuk golongan peniaga! Haih…Mungkin boleh tetapi jumlahnya janganlah keterlaluan dan transaksi yang begitu mencurigakan. Jumlah yang masih logik akal untuk membela diri.

Tetapi dalam kes-kes seperti yang anak guam saya alami, dia akan disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan memperdayakan untuk meraih keuntungan. Selain itu, dia juga boleh didakwa kerana kesalahan mengambil deposit secara salah. Kasihannya wanita ini telah banyak laporan polis yang dibuka terhadapnya, maka dia akan dibawa lokap demi lokap disetiap negeri untuk tujuan siasatan.

Saya telah minta kebenaran agar bayinya itu diberikan kebenaran untuk menyusu. Tidak pernah minum susu formula. Semalam si bapa cuba berikan, dia tidak mahu dan merenggek. Bukan apa, tidak sesuai tempat begitu untuk bawa masuk bayi. Si ibu perlu menyusu dengan berpakaian lokap, si ibu pula duduk bercampur dengan banduan lain kadangkala ditangkap kerana kes pelacuran, dadah atau curi. Haihhhhh..

Saya hendak berpesan kepada golongan peniaga, dalam usaha kita mencari wang, jangan terlalu ghairah takut tersalah jalan. Berhati-hati. Jangan mudah terpedaya. Dapatkan nasihat dari teman-teman sekeliling atau yang pakar. Bagi pembeli-pembeli online, tolonglah lebih berhati-hati jangan sampai anda putih mata. Semak latar belakang penjual , jangan sewenang-wenangnya!

Sekian,
Peguam Anda

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat