Meskipun Masih Dipertikai, 9 Negara Ini Sudah Pun Membenarkan Penggunaan Ganja Untuk Kegunaan Perubatan dan Tanaman di Rumah
Kebenaran penggunaan ganja atau marijuana masih jadi perdebatan bagi banyak negara termasuk Malaysia. Isu ini menjadi hangat semula apabila baru-baru ini berita melaporkan seorang bekas penyanyi nasyid, Yasin Sulaiman baru diserbu di kediamannya atas pemilikan pokok ganja serta didapati positif THC.
Yasin yang ditemui di Mahkamah Petaling Jaya juga sempat mengirim salam kepada YB Syed Saddiq dan memintanya agar segerakan kelulusan kanabis untuk perubatan di Parlimen.
Nama ahli parlimen Muar ini dipetik kerana beliau pernah mengusul kepada parlimen agar menilai kebaikan ganja jenis hemp dan marijuana untuk tujuan perubatan.
Selain dilihat mampu memberi manfaat berbanding rokok dan arak, ia juga dijangka dapat menjana ekonomi negara sehingga RM 60 bilion dalam tempoh empat tahun.
Menerusi Ordinan Dadah Merbahaya 1952, individu di Malaysia yang mempunyai lebih 200 gram marjuana boleh dikenakan hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah, sementara mereka yang memiliki ganja seberat 50 gram ke bawah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Penggunaan Ganja Bukan Perkara Baru
Meskipun diharamkan, insiden pemilikan atau penggunaan ganja di kalangan masyarakat negara kita bukanlah perkara baru.
Kes Dr Ganja yang menggemparkan warganet beberapa tahun lalu cukup mengejutkan rakyat Malaysia. Pati kanabis yang dihasilkan oleh Dr Ganja atau Muhammad Lukman didakwa berjaya memberi manfaat kepada lebih 800 pesakit.
Jika digunakan dengan betul, sebenarnya ganja boleh menjadi penawar bagi beberapa penyakit seperti gangguan saraf, autism, parkinson dan kanser.
Perkara ini turut dipersetujui oleh kebanyakan pengkaji perubatan dari seluruh dunia. Ubatan berasaskan ganja turut dijual di farmasi dengan preskripsi bagi beberapa negara seperti Amerika Syarikat, Jerman dan New Zealand.
9 Negara Yang Membenarkan Penggunaan Ganja
Sebenarnya terdapat banyak lagi negara yang sudah melazimkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan serta rekreasi.
Antara negara yang membenarkan penggunaan ganja adalah :
1. Kanada
Memetik New York Times, Kanada difahamkan sudah mula membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan sejak tahun 2001.
Dilaporkan 330,000 warga Kanada termasuk pesakit kanser sudah terdaftar untuk mendapatkan rawatan daripada ubatan ganja yang berlesen.
Bagi penggunaan ganja untuk tujuan rekreasi, Kanada telah membenarkannya sejak tahun 2018. Kebenaran ini diberikan bagi mengatasi jurang sistem keadilan bagi pelaku ganja sebelumnya yang dilihat menekan kaum minoriti dan berkulit hitam.
2. Itali
Berdasarkan laporan CNN, pengambilan ganja untuk tujuan perubatan bukanlah suatu jenayah di kalangan rakyat Itali. Namun, aktiviti pengedaran dan pemilikan ganja dalam jumlah yang banyak adalah satu kesalah. Undang-undang negara Itali menetapkan hukuman penjara sepuluh tahun bagi individu yang didapati mengedar ganja.
Memetik Reuters, Itali kini sedang bercadang untuk mengadakan referendum untuk membenarkan penanaman serta pengedaran ganja.
3. Argentina
Pada tahun 2020 Argentina membenarkan rakyatnya untuk menanam ganja di rumah untuk tujuan kesihatan. Dalam peraturan tersebut, Argentina juga mengizinkan industri farmasi untuk menjual minyak, krim dan produk lain yang berasaskan ganja kepada masyarakat tempatan.
Pemerintah Argentina juga dilaporkan telah memerintahkan sistem insurans awam dan swasta di negara itu untuk menanggung kos perubatan bagi ubat berasaskan ganja kepada pesakit.
4. Australia
Australia muncul sebagai negara yang membenarkan penggunaan ganja sejak tahun 2016 untuk tujuan perubatan. Warga Australia bebas untuk mendapatkan rawatan melalui ganja melalui preskripsi doktor.
Ibu negara Australia, Canberra merupakan wilayah pertama di negara tersebut yang membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi dan penanaman pada tahun 2019.
Warga Canberra yang berusia 18 tahun ke atas diizinkan untuk memiliki 50 gram ganja kering seorang. Tidak hanya itu, mereka juga dibenarkan untuk menanam dua tanaman ganja seorang, atau empat pokok dalam satu rumah.
Walau bagaimanapun, pemilikan serta pengedaran ganja secara besar-besaran masih salah di sisi undang-undang Australia.
5. Mexico
Pada Mac 2021, anggota parlimen Mexico bersepakat untuk menyetujui undang-undang yang membenarkan penggunaan ganja untuk rekreasi. Memetik laporan The New York Times,negara ini juga merupakan pengeluar ganja terbesar di dunia mengalahkan Amerika Syarikat.
Warga Mexico yang ingin mendapatkan ganja secara sah, mereka perlu mendapatkan keizinan ke pihak kesihatan negara.
Selepas mendapat keizinan, rakyat yang berusia 18 tahun ke atas dibenarkan untuk memiliki 28 gram ganja dalam satu-satu masa.
6. Uruguay
Uruguay dilaporkansebagai negara yang membenarkan penggunaan ganja sejak tahun 2013. Meskipun begitu, undang-undang pengedaran ganja di negara tersebut adalah sangat ketat.
Hanya syarikat farmasi yang dibenarkan untuk kendalikan serta menjual ganja. Tidak hanya itu, pengguna juga perlu mendaftarkan pembelian ganja kepada pemerintah. Mereka juga hanya boleh memiliki ganja seberat 10 gram sahaja dalam seminggu.
7. Afrika Selatan
Pada tahun 2018, Afrika Selatan muncul sebagai negara yang membenarkan penggunaan ganja untuk tujuan peribadi.
Namun, undang-undang ini masih menjadi pertikaian di kalangan beberapa jabatan dalam kerajaan negara tersebut seperti Kementerian Kesihatan dan Badan Kehakiman Negara.
8. Belanda
Secara teknikalnya, ganja merupakan dadah haram di negara Belanda namun pemilikannya di bawah 5 gram masih dianggap sah.
Negara tersebut juga dilihat biasa menjual ganja di kedai kopi. Walau begitu, Amnsterdam kini sedang merancang untuk melarang pelancong untuk membeli ganja di kedai kopi.
9. Jerman
Pemerintah Federal Jerman menghalalkan penggunaan ganja untuk tujuan perubatan pada tahun 2017. The Forbes juga melaporkan lebih dari 1 juta pesakit di Jerman bakal mendapatkan akses perubatan berasaskan ganja menjelang tahun 2024.
Pemilikan, pengedaran serta penggunaan ganja di Malaysia merupakan kesalahan berat yang sudah termaktub dalam undang-undang negara sejak sebelum merdeka lagi.
Ketika kes Dr Ganja menjadi hangat di negara, Menteri Kesihatan ketika itu, Dr Dzulkefly Ahmad berkata mesyuarat jemaah menteri ada membincangkan kes ini namun tiada keputusan yang dibuat berhubung perkara tersebut.
Usul yang pernah dibentangkan oleh YB Syed Saddiq sebelum ini masih tiada perkembangannya. Hakikatnya, bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat yang melihat ganja sebagai bahan terlarang dan boleh merosakkan.
Namun, kita tidak boleh nafikan manfaat yang mampu ganja berikan pada kesihatan. Mungkin sudah tiba masanya untuk negara kita mengkaji industri ini bagi menyaingi 40 negara yang telah memberi kelulusan kepada industri ganja termasuk Thailand.