Haiwan Pun Ada Empati, Ramai Terharu Tengok Kegigihan Monyet Cuba Selamatkan Anak Kucing
Pernah dengar orang cakap? Sifat kasih sayang serta empati haiwan atau binatang adalah lebih tinggi berbanding manusia. Lihat sahaja hari ini, betapa ramai manusia yang seolah-olah tiada akal fikiran. Melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan akibat dan kesannya.
Betapa ramai yang seakan-akan tidak takut akan balasan tuhan, sanggup melakukan apa sahaja, tidak kira sama ada mencuri, membunuh dan pelbagai jenis kejahatan lain yang tidak terfikir dek akal manusia yang waras.
Bahkan apabila ada kawan atau sesuatu pihak yang memerlukan bantuan, ada segelintir daripada mereka buat endah dan tidak endah. Mungkin kurang rasa empati dan simpati dalam diri. Jika bercakap soal ini, zaman sekarang haiwan lebih mempunyai empati berbanding manusia.
Haiwan Pun Ada Empati, Ramai Terharu Tengok Kegigihan Monyet Cuba Selamatkan Anak Kucing
Hal tersebut dapat dilihat dan dinilai dari seekor monyet yang telah gigih menyelamatkan seekor kucing. Menerusi video yang viral di media sosial itu memaparkan seekor kucing yang berada di dalam perigi. Tidak tahu bagaimana kucing tersebut boleh berada di situ, nasib juga tiada air. Hanya terdapat lumpur hitam sahaja.
Ekoran tidak dapat naik ke darat, melompat dari bawah juga tidak mungkin, kucing berkenaan lantas mengiau. Kemudian muncul seekor monyet, melihat kucing yang sedang mengiau di dalam perigi tersebut, monyet itu kelihatan gelisah.
Mungkin terdetik rasa kasihan dalam diri haiwan tersebut apabila melihat kucing berkenaan terperangkap dalam ruangan berselut itu. Dengan kedalaman beberapa kaki, monyet tersebut tetap cuba untuk menyelamatkan kucing berkenaan walaupun berkali-kali gagal melompat keluar.
Sehinggalah ada seorang kanak-kanak masuk ke dalam perigi tersebut dan membawa kucing berkenaan keluar. Walaupun akhirnya bukanlah monyet berkenaan yang menyelamatkan namun kegigihan binatang tersebut jelas kelihatan.
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi dan komen yang ditinggalkan oleh warganet. Bukan sahaja ramai yang terharu namun ramai juga yang membandingkan haiwan ini dengan manusia. Mana tidaknya, kegigihan monyet tersebut jelas kelihatan.
Naluri binatang yang mempunyai empati dan rasa simpati seakan manusia bahkan lebih lagi dapat dilihat dari video tersebut. Biarpun binatang atau haiwan ini makhluk yang tiada akal dan hanya mempunyai hati namun sifatnya empati dan simpati jelas kelihatan.
Cuba sekejap kita bandingkan dengan manusia, walhal manusia mempunyai hati dan akal fikiran namun masih ramai lagi sifatnya seakan-akan binatang. Tidak tahu ke mana dan di mana hilangnya hati dan sifat empati segelintir manusia ini.
Semoga kisah monyet dan kucing ini dapat membuka pintu hati kita semua untuk sama-sama membantu dan melakukan kebaikan. Ingat, hulurkan bantuan dan berbuat baiklah walaupun sebesar zarah. Tidak rugi sedikit pun, namun kebaikan tersebutlah bakal membantu kita kelak.
Sumber: Bomoh Online
Baca juga: “Penuh Katak..” Tiba-tiba Temui Perigi Bawah Dapur, Tuan Rumah Pun Tak Tahu Menahu