Projek Adiwira Pulihkan Semangat Anak-Anak Belajar dan Raikan Bakat Generasi Muda
Wabak pandemik yang telah membadai negara sejak 2 tahun lalu cukup memberi kesan kepada masyarakat. Lebih-lebih lagi bagi golongan yang kurang bernasib baik, keadaan yang memaksa untuk terperuk di dalam rumah cukup merudumkan semangat segenap ahli keluarga.
Biasanya kita mendengar tentang rintihan golongan dewasa yang berdepan dengan krisis kewangan dan bergelut untuk mencari mata pencarian pada waktu pandemik.
Namun pernahkah kita bertanya tentang keadaan anak-anak kita ? Walaupun mereka tidak ada komitmen, bagaimanakah waktu pandemik memberi kesan kepada mereka ?
Ternyata tempoh berada di dalam rumah terlalu lama telah menghilangkan minat anak-anak untuk belajar dan ke sekolah. Hakikat ini turut dipersetujui oleh UNICEF.
Bagi kita yang duduk di rumah yang serba lengkap dengan pelbagai kemudahan mungkin tidak menyedari isu ini. Azlan Shah yang giat menziarahi keluarga-keluarga susah di Malaysia melalui ARBA Foundation melihat isu ini cukup serius.
Melalui pemerhatiannya, kebanyakan anak-anak yang berumur 9 tahun masih tidak pandai membaca, menulis dan mengira.
Ibu bapa mereka pula tertekan melihat prestasi anak yang semakin menurun sejak waktu pandemik ini sekaligus menimbulkan kerisauan tentang masa depan anak-anak.
Bukan sahaja perlu berdepan dengan kemiskinan ekonomi, malah mereka juga berdepan dengan kemiskinan pembelajaran.
Menguruskan anak bukanlah perkara yang mudah bagi ibu bapa, apatah lagi bagi ibu tunggal. Cabaran dilihat lebih besar bagi ibu tunggal yang bergelut uruskan semua perkara seorang diri.
Perkara ini tidak boleh dibiarkan. Semangat dan motivasi anak-anak perlulah dipulihkan bagi membina karakter dan jati diri positif.
Projek Adiwira Bangunkan Bakat dan Aktiviti Luar Sekolah
Dari situlah Azlan terdetik untuk bangunkan Projek Adiwira bagi membangunkan bakat dan aktiviti luar sekolah di samping mengembalikan semangat anak-anak untuk belajar.
Projek ini dimulakan sejak 10 minggu lalu dengan menaja dan menghantar beberapa kanak-kanak untuk menyertai kelab atau akademi bola sepak. Semua kos termasuk yuran, kelengkapan dan pengangkutan ditanggung mengikut keperluan.
Azlan cukup berbesar hati mendapat maklumbalas yang sangat memberangsangkan daripada ibu bapa dan jurulatih yang terlibat.
Kanak-kanak yang sebelum ini kurang keyakinan diri dan tidak berminat ke sekolah menunjukkan perubahan yang cukup ketara.
Antara peserta yang menunjukkan kemajuan yang begitu baik adalah adik Zakwan, 9 tahun. Meskipun sedikit tercicir di sekolah, anak kecil ini menunjukkan minat serta potensi yang cukup besar dalam bola sepak.
Dengan memberikan peluang serta kemudahan untuk berlatih, Azlan percaya potensi anak kecil ini dapat dibangunkan.
Beliau juga telah mula mendaftarkan Zakwan untuk sertai kelab bola sepak komuniti setempat. Zakwan serta keluarganya nyata sangat gembira setelah sertai program ini.
Melihatkan kesan positif, Azlan serta ARBA Foundation kini sedang meneroka peluang serta bidang bakat lain untuk disertakan dalam Projek Adiwira.
“Bukan hanya bola sepak, pelbagai sukan dan bakat lain turut diberikan perhatian, tak kira lelaki mahupun perempuan. Sukan dan bukan sukan,” ujar Aizlan melalui hantaran Facebook.
Mengulas lanjut, Azlan percaya semua anak-anak mempunyai bakat yang istimewa. Adalah tugas kita untuk memberikan ruang kepada mereka untuk serlahkan potensi masing-masing.
Beliau juga yakin kaedah ini akan sekaligus mengembalikan minat kanak-kanak untuk belajar dan ke sekolah.