“Banjir Kali Ini Adalah Terburuk Dalam Tempoh 40 Tahun di Pasir Mas..” Penduduk Tak Sangka Bencana Banjir di Kelantan Berlaku Sedahsyat Ini


Peralihan monsun yang sedang berlaku di Malaysia mengakibatkan tragedi banjir berulang lagi dan kini menduga warga Malaysia yang menetap di bahagian pantai Timur.

Meskipun dua negeri tersebut sering dilanda banjir saban tahun, rata-rata penduduk setempat tidak menduga bencana banjir di Kelantan dan Terengganu berlaku seburuk ini.

Warga Kampung Lubok Jong di Pasir Mas, Kelantan mendakwa banjir yang melanda kampung tersebut sejak Jumaat lepas merupakan kejadian terburuk sejak 40 tahun.

Bencana banjir di kelantan

Kredit Foto : Utusan Online

Zuraiha Awang, 47 berkata hujan lebat yang turun berterusan selama tiga hari lepas menyebabkan rumahnya dinaiki air secara mendadak sehingga mengakibatkan kawasan sekitar rumahnya mula banjir pada malam Ahad.

“Sewaktu kejadian bah kuning pada tahun 2014, air yang memasuki rumah saya hanya mencapai paras 0.3 meter, namun banjir kali ini jauh lebih dahsyat sehingga paras air mencecah hampir 2 meter,” katanya.

Disebabkan bencana ini, Zuraiha sekeluarga terpaksa meredah banjir sejauh 200 meter yang berkedalaman hampir satu meter ke jalan raya untuk menumpang rumah saudara yang tinggal di kampung berdekatan.

Abdul Fatah Noh, 47 dari Kampung Seberang Merbau turut bersetuju bahawa banjir yang berlaku kali ini adalah di luar jangkaan dan merupakan banjir terburuk pernah berlaku sejak beliau sekeluarga menetap di kampung berkenaan lebih empat dekad lepas.

“Saya dapati banjir mula masuk ke rumah ketika saya sedang makan malam. Tidak menyedari keadaan tersebut, air pada mulanya mencecah lantai, namun paras air meningkat laju sehingga hampir 2 meter.

Untuk menyelamatkan diri, saya terpaksa meminjam perahu daripada jiran untuk meredah banjir sejauh 200 meter. Saya juga terpaksa membawa ibu saya yang uzur pergi ke tempat yang lebih selamat,” ujarnya.

bencana banjir di kelantan menjejaskan penduduk dengan dahsyat

Kredit Foto : Berita Harian

Pasir Mas Catat Mangsa Banjir Paling Ramai

Meskipun akhbar tempatan melaporkan keadaan banjir di Kelantan bertambah baik ketika ini, namun kawasan Pasir Mas masih belum reda dari paras air yang tinggi.

Menurut aplikasi info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pasir Mas mencatatkan mangsa banjir paling ramai. Dilaporkan seramai 7,608 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, negeri Kelantan turut mencatatkan kematian keempat berikutan banjir buruk ini.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata kerajaan negeri ini tidak menyangka hujan lebat dan angin kencang pada akhir bulan Februari hingga menyebabkan bencana banjir di Kelantan berlaku dengan dahysat.

Saya harap pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan bertindak lebih agresif membersihkan longkang tersumbat bagi mengelak berlaku banjir dan air termenung di kawasan bandar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat