Siap Cipta Background Bunyi Macam di Balai Dan Menyamar Jadi Anggota Polis, Mangsa Scammer Ceritakan Betapa Realisitknya Taktik Scammer Zaman Sekarang


Siapa yang tak pernah kena call dengan scammer ? Biasanya kita boleh tahu sama ada nombor asing tersebut scammer atau tidak dalam beberapa saat sahaja.

Taktik scammer tahap rendah biasanya akan guna operator automatik yang suara macam robot. Namun, scammer ni ada macam-macam taktiknya sampai ada yang mengaku dari LHDN, mahkamah dan sebagainya.

Namun satu cerita tentang scammer yang dikongsikan baru-baru ini di media sosial membuktikan yang taktik scammer zaman sekarang sudah makin advance.

Jika kita mudah gelabah dan cepat percaya, mungkin kita juga boleh tertipu. Lebih-lebih lagi jika kita kurang pendedahan tentang cerita-cerita scammer dan susah untuk minta pendapat orang lain ketika itu.

Taktik Scammer Licik Buat Mangsa Rugi RM 30,000 !

Menerusi hantaran di Facebook oleh Muhammad L Hj Othman, dia cukup kesal apabila mengetahui isterinya sudah ditipu oleh scammer. Duit simpanan isterinya bernilai RM 30,000 serta gaji yang baru masuk beberapa hari lepas lesap begitu sahaja dari akaun Maybank.

Muhammad dapati taktik scammer yang menipu isterinya sangat realisitk dan teliti. Walaupun dia akui ada beberapa langkah pelik yang boleh mendatangkan curiga, namun isterinya jenis yang mudah percaya dan kurang terdedah pada cerita-cerita scammer yang sering berlegar di media sosial.

Ini menjadikan isterinya mangsa yang sesuai untuk scammer-scammer melakukan kegiatan mereka. Tambahan pula, isterinya dikatakan seperti dipukau kerana tidak dapat berfikir secara rasional. Barangkali isterinya terlalu terkejut atau ketakutan apabila mendapat panggilan sebegitu.

Kalau nak tahu kenapa isteri dia boleh sampai terkedu, teruskan membaca !

‘Ketua Pegawai Operasi Cukai HQ LHDN’ Jerat Isteri

Sebelum dapat panggilan dari scammer, isterinya terlebih dahulu mendapat surat dari ‘LHDN’ yang mengatakan isterinya tak bayar cukai. Padahal setiap bulan gajinya memang automatik tolak cukai dan isteri sudah pun buat e-profiling.

Menurut Muhammad mereka juga tak pasti sama ada surat ini adalah mukadimah bagi operasi scam atau benar-benar dihantar oleh LHDN.

Apapun, surat dari ‘LHDN’ ini sudah ‘melancarkan’ lagi operasi scammer dan menjadikan isterinya lebih percaya dengan dakwaan dalam penipuan ini.

Beberapa hari selepas dapat surat tersebut, isterinya dapat panggilan daripada 019-9574582 Ivan Lim  dan memperkenalkan diri sebagai Ketua Pegawai Operasi Cukai HQ LHDN, Cyberjaya.

Ivan mendakwa isterinya ada tunggakan cukai sebanyak RM 38,800.82. Tunggakan cukai ini dikatakan dari syarikat yang bertempat di Kelantan namun didaftarkan atas nama isterinya.

Berikutan tunggakan cukai ini, mahkamah telah mengeluarkan waran untuk tangkap pada pukul 11.00 pagi. Ivan buat panggilan pada 8.38 pagi, jadi masih berbaki 2 jam sebelum ‘ditangkap’.

Mendengar perkara ini, isterinya cukup terkejut, bila masa pula dia ada daftar syarikat ?

Ivan berkata mungkin ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama isterimya untuk daftar syarikat. Ivan turut bertanya sama ada isterinya ada hilang IC tak sebelum ini.

taktik scammer terbaru adalah menyamar sebagai polis

Kredit : soyacincau

Pegawai Polis Masuk Talian

Kemudian tanpa dimatikan, talian terus disambungkan oleh Ivan ke balai polis Kota Bharu, Kelantan. Panggilan diterima oleh Sarjan Nadia. Sarjan Nadia minta isteri buka laman web PDRM untuk sahkan nombor telefon balai polis Kota Bharu.

Isteri Muhammad pun buka Google dan semak, nombor balai polis Kota Bharu ialah 09-7455622.

Kemudian Sarjan Nadia berkata dia akan matikan panggilan ini dan hubungi semula menggunakan nombor yang tertera di Google.

Sejenak kemudian, memang betul-betul keluar nombor yang sama di skrin telefon isteri ! Ini telah meyakinkan isteri Muhammad bahawa perkara ini bukan main-main. Sarjan Nadia kemudian ‘hubungi’ IPK Bukit Aman untuk semak jika isteri mempunyai kes lain yang bersangkutan dengan namanya.

Siap Ada Bunyi Background ‘Balai Polis Sibuk’ ! Canggih Betul Taktik Scammer Sekarang !

Semasa Sarjan Nadia hubungi, sengaja dia bercakap kuat sedikit supaya isterinya mendengar perbualan telefon dia dan pegawai ‘IPK Bukit Aman’ itu.

Isteri Muhammad mendengar sendiri ‘perbualan’ Sarjan Nadia dengan ‘pegawai IPK’ tersebut.

“Sila semak nama berikut, nama sekian, IC sekian, ada tak kes lain yang bersangkutan dengan nama ini?”

Tidak hanya itu, bunyi latar belakang panggilan tersebut seolah-olah macam betul-betul berada di balai polis dengan bunyi siren polis, bunyi anggota polis yang sedang sibuk, siap ada suara “kes kecemasan, kes kecemasan”.

Muhammad berpendapat suara latar belakang ini sengaja direka supaya isterinya mudah percaya yang dia sedang bercakap dengan anggota polis sebenar.

Kemudia pihak ‘Bukit Aman’ mengesahkan ada satu lagi kes yang bersangkut dengan isteri saya, iaitu penggubahan wang haram dan pengedaran dadah bersama Tan Boon Keat berjumlah RM200,000.

Wah, sampai begitu sekali dakwaan scammer sekarang, ya ! Dibuatnya mangsa macam penjenayah besar !

Kemudian, panggilan disambungkan pula ke Tuan Adam bin Hj Hamza (ID Sah CL 185192) untuk buat laporan yang akan dihantar kepada BNM dan mahkamah majistret Kota Bahru Kelantan sebelum 11 pagi untuk mengelakkan dari ditangkap.

Tuan Adam pula beritahu perniagaan yang didaftar atas nama isterinya adalah atas nama AR Maju Trading, sebuah syarikat perniagaan pembekalan alat-alat pembinaan didaftarkan di SSM Kota Bharu, Kelantan pada 10 November 2020.

Tuan Adam kemudiannya sambung panggilan isterinya kepada Inspektor Richard pula dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial IPK Kelantan, nombor badan G88053 untuk mulakan siasatan.

Selepas ‘siasatan’ dibuat, inspektor kemudiannya menghantar waran tangkap yang lengkap dengan ‘akta rasmi’.

taktik scammer siap keluarkan waran palsu

Kredit : Facebook Muhammad L Hj Othman

‘Datuk’ Lengkapkan Operasi Scam

Selepas laporan selesai dibuat, Inspektor Richard sambungkan pula panggilan kepada Datuk ACP Zul untuk bantu bersihkan nama isterinya dan untuk rayuan menangguhkan waran tangkap.

Datuk ACP Zul kemudian bertanya tentang maklumat bank isteri Muhammad. Isterinya pun dengan jujurnya bercerita tentang semua makluman bank termasuk anggaran duit yang ada dalam akaun-akaun banknya.

‘Datuk’ ini berkata maklumat tentang akaun-akaun bank isterinya akan diberkan kepada Jabatan Anti Pencegahan Wang Haram (AMLA) supaya jabatan tersebut dapat menjalankan siasatan dalam masa 3 hari bekerja seterusnya membersihkan nama isteri daripada semua tuduhan yang dikenakan.

‘Datuk’ berkata duit isterinya yang ada di ASB ialah pelaburan, jadi dia tak dapat siasat ‘kesucian’ duit di akaun tersebut. Sebaliknyam isteri Muhammad diminta untuk untuk pindahkan semua duit dari ASB ke akaun Maybanknya supaya dapat disiasat oleh BNM.

‘Datuk’ meminta isterinya untuk pergi ke Maybank untuk lakukan transaksi. Sepanjang perjalanan, panggilan dengan scammer tidak diputusankan dengan alasan untuk memastikan ‘keselamatan’ isteri sampai ke bank.

Setelah sampai ke bank, ‘datuk’ suruh buat transaksi. ‘Datuk’ juga akan bertanyakan progres sepanjang transaksi.

Langkah terakhir, ‘datuk’ minta isteri Muhammad untuk muat turun sebuah aplikasi yang diberikan dalam whatsapp. File yang diterima adalah dalam format ‘.apk’. Setelah install, interface dengan logo BNM muncul. Dalam aplikasi ini, isterinya diminta untuk isikan maklumat seperti nama bank, nama, nombor IC, nombor kad Maybank, tarikh luput kad Maybank, serta username dan kata laluan bagi Maybank2u.

Isterinya yang tidak syak apa-apa langsung memberikan maklumat yang diminta.

‘Datuk’ juga menyuruh isteri untuk ‘lapor diri’ kepadanya setiap 8.00 pagi dan 5.00 petang dengan memberikan nama, nombor IC, lokasi, aktiviti dan sekeping gambar selfie.

Duit Dalam Akaun Lesap !

Selesai sahaja semua ini kira-kira 12.48 tengah hari, isteri Muhammad terus pergi ke sekolah untuk bekerja seperti biasa. Selepas balik kerja, baru isterinya terdetik untuk semak akaun Maybanknya.

Malangnya semua sudah terlewat. Akaun isteri hanya berbaki RM 50 berbanding RM 30,000++ yang ada pada tengah hari tadi. Isterinya juga tidak boleh semak aktiviti transaksi lepas untuk ketahui ke mana perginya duit yang hilang dalam akaun.

Scammer Curi Line Balai Polis & Sengaja Tak Bagi Call Lain Masuk

Setelah Muhammad dan isteri membuat aduan polis, barulah tahu rupanya scammer ini siap curi line telefon balai polis Kota Bharu. Sebab itulah nombor yang menelefon isterinya adalah sama seperti yang ada di Google.

Selain itu, scammer juga dilihat tidak pernah lekang dari talian. Ini membuatkan isteri Muhammad tidak dapat menghubungi dirinya atau ahli keluarga lain bagi bertanyakan pendapat.

Muhammad juga percaya keadaan ini merupakan salah satu taktik scammer untuk pastikan mangsa dapat berada dalam keadaan ketakutan dan terdesak. Mangsa juga lebih sukar untuk berfikir pada keadaan terhimpit seperti yang dicipta scammer.

Muhammad juga akui cukup terkilan kerana tidak dapat membantu isterinya semasa ditipu. Jika dia tahu keadaan isterinya ketika itu, perkara ini dapat dielakkan. Tambahan pula, dia juga banyak membaca tentang pelbagai taktik scammer yang sungguh ligat menipu orang. Rupanya sebelum ada juga orang yang pernah kena scam oleh ‘polis’! Siap kena ugut lagi.

Melihatkan insiden yang menimpa isterinya, Muhammad sempat mengingatkan orang ramai untuk mendedahkan kewujudan scammer ini kepada keluarga dan rakan bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.

Semoga kisah ini boleh membantu semua untuk berwaspada dengan taktik scammer yang semakin giat beroperasi. Jangan mudah panik dan dapatkan pendapat orang terdekat apabila anda kurang pasti.  Jangan sesekali dedahkan maklumat peribadi kepada orang yang tidak dikenali.

 

 

 

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat