Rezeki Tiga Beradik Muncul Juara Hafazan Al-Quran Peringkat Negeri Perak


Tiga beradik dari Kampung Banggol Batu, Lenggong melakar kenangan manis apabila diumumkan sebagai johan bagi tiga kategori berbeza Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Perak malam tadi.

Kategori yang dimenangi tiga beradik ini adalah hafazan 1-30 juzuk wanita yang dimenangi Adibah Husni Ahmad Rozaini, 25, manakala dua adiknya Aqilah Sulhi Rozaini, 24 dan Muhammad Adib Ahmad Rozaini, 22 masing-masing muncul sebagai johan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk wanita dan hafazan 1-20 juzuk lelaki.

Kakak sulung antara tiga beradik itu berkata, acara semalam adalah pertandingan hafazan peringkat negeri kali kedua sertai bersama adiknya. Berbanding tahun lepas, hanya dia dan Aqilah Sulhi yang merangkul johan bagi kategori sama manakala Muhammad Adib sekadar menduduki naib johan bagi kategori yang sama seperti tahun ini.

hafazan peringkat negeri

Ketiga-tiga Adik Beradik Akan Mara ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan

“Sebelum ini, saya juga pernah dinobatkan johan peringkat kebangsaan bagi kategori hafazan 1-30 juzuk wanita pada 2019 manakala adik saya Aqilah Sulhi pernah muncul sebagai naib juara peringkat kebangsaan bagi kategori hafazan 1-20 juzuk pada tahun 2020.

Pada tahun ini, adik bongsu saya layak mewakili Perak ke peringkat kebangsaan memandangkan ia kali pertama merangkul johan bagi kategori yang disertainya iaitu hafazan 1-20 juzuk lelaki,” katanya ketika ditemubual sempena majilis penutupan dan penyampaian hadiah acara itu yang berlangsung di Hotel Casuarina@Meru malam tadi.

Pemenang Hafazan Peringkat Negeri Bawa Hadiah Lumayan

Pada majlis itu, Sultan Nazrin berkenan menyampaikan hadiah kepada Aiman Ridhwan Mohammad Ramlan dan Nurul Syafiqah Nardi yang merangkul gelaran sebagai johan qari dan qariah tilawah al-Quran.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM10,000, berserta pakej menunaikan haji bernilai RM10,000, selain hadiah iringan plak dan sijil.

Tempat kedua qari disandang oleh Muhammad Sahran Termizi dan qariah pula oleh Munirah Razali, manakala tempat ketiga qari dimenangi Muhammad Kamaruzaman Daud dan qariah Norhazira Nabila Mohammad Kamel.

Pemenang naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing menerima wang tunai RM7,000 dan RM5,000, berserta hadiah iringan plak dan sijil.

Semua pemenang qari dan qariah hafazan peringkat negeri bagi kategori 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000 hingga RM10,000, berserta hadiah iringan plak, dan sijil.

Johan bagi qari dan qariah hafazan peringkat negeri bagi kategori 1-30 juzuk, iaitu Amirul Shariff Ahmad dan Adibah Husni Ahmad Rozaini turut menerima pakej menunaikan haji bernilai RM10,000.

Johan qari dan qariah tilawah serta hafazan akan mewakili Perak ke Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang dijangka berlangsung di Johor, antara Jun hingga Julai ini.

Kemenangan tiga beradik ini semestinya menjadi kebanggaan ibu bapa yang tidak putus-putus mendoakan anak-anak agar berjaya dunia dan akhirat. Tahniah diucapkan !

Sumber : KOSMO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat