Kenali Angin Monsun Timur Laut
Cuaca di Malaysia dicirikan oleh dua rejim monsun. Iaitu Monsun Barat Daya yang bermula dari akhir bulan Mei ke September, dan Monsun Timur Laut dari bulan November ke Mac. Monsun Timur Laut membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di pantai timur Semenanjung Malaysia dan barat Sarawak, manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering. Tempoh peralihan di antara dua monsun ini dikenali sebagai musim perantaraan monsun.
Angin Monsun Timur Laut
Dikenali sebagai Musim Tengkujuh. Angin Monsun Timur Laut bertiup semasa Hemisfera Utara mengalami musim sejuk. Angin ini merentasi Laut China Selatan dan Laut Sulu lalu menurunkan hujan lebat di pantai timur Semenanjung Malaysia, pantai barat Sarawak dan pantai timur Sabah. Di Malaysia banjir besar boleh berlaku di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, Sabah dan Sarawak. Untuk tahun ia diramal berlaku pada sekitar bulan 24 Oktober 2019 – Mac 2020.
Musim Tengkujuh Bakal Tiba
Dilaporkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa, Monsun Barat Daya baru berlalu, kini awal Oktober adalah musim peralihan monsun yang membawa hujan pada taburan purata dan meningkat kepada taburan melebihi purata dikawasan-kawasan yang dijangkakan. Semasa tempoh monsun timur laut bermula November, beberapa episod hujan lebat monsun yang menyeluruh dijangka berlaku terutama di negeri-negeri pantai timur Semenanjung Malaysia. Terengganu dan Kelantan akan menerima hujan pada paras purata iaitu di antara 350mm hingga 850mm.
Sekitar timur Pahang serta timur Johor dijangka menerima hujan pada paras purata antara 300mm hingga 450mm. Manakala beberapa kawasan di pantai barat Semenanjung seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, WP Kuala Lumpur dan WP Putrajaya dijangka menerima hujan sedikit melebihi paras purata antara 250mm hingga 450mm. Di Sarawak, kebanyakan bahagian dijangka menerima hujan pada paras purata iaitu di antara 250mm hingga 500mm. Di Sabah dan WP Labuan pula, kebanyakan kawasan dijangka menerima hujan pada paras purata antara 200 hingga 400mm kecuali bahagian Keningau dan Tawau dijangka menerima hujan pada paras purata yang lebih rendah antara 100mm hingga 200mm.
Pada Disember 2019, hujan purata 450mm hingga 800mm dijangka dikawasan seperti Kelantan serta utara Terengganu. Manakala kawasan tengah seperti selatan Terengganu, timur Pahang dan timur Johor akan menerima hujan melebihi sediki paras purata 600mm hingga 900mm. Kejadian hujan monsun di beberapa negeri terutama di sebelah pantai timur Semenanjung mulai berkurang menjelang Januari 2020. Namun di timur Pahang serta tengah dan timur Johor dijangka menerima taburan hujan sedikit melebihi paras purata antara 250mm hingga 550mm. Utara Terengganu menerima hujan pada paras purata antara 300mm hingga 500mm.
Hujan dijangka turun sekitar petang dan awal malam.
Ciri-Ciri Monsun Timur Laut
Ia merupakan musim hujan utama negara kita. Sistem cuaca monsun yang terbentuk bersama-sama dengan luruan udara sejuk dari Siberia menghasilkan hujan lebat yang sering menyebabkan banjir besar di negeri-negeri pantai timur iaitu negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor Timur, serta negeri Sarawak di Malaysia Timur.Monsun Barat Daya secara relatifnya adalah lebih kering bagi seluruh negara kecuali negeri Sabah di Malaysia Timur. Pada musim ini, kebanyakan negeri mengalami hujan bulanan minimum, biasanya di antara 100 – 150mm. Keadaan ini menunjukkan keadaan atmosfera yang stabil di kawasan khatulistiwa. Keadaan kering di Semenanjung Malaysia terutamanya disebabkan oleh kesan lindung hujan oleh banjaran gunung di Sumatera. Sabah secara relatifnya lebih lembap (melebihi 200mm) akibat daripada kesan ekor dari taufan yang kerap melintasi Filipina semasa perjalanannya merentasi Laut China Selatan dan sekitarnya.
Semasa musim perantaraan monsun, angin adalah sepoi-sepoi dan berubah-ubah. Pada waktu pagi, langit biasanya cerah dan ini telah membantu pembentukan ribut petir pada sebelah petang. Di negeri-negeri pantai barat Semenanjung Malaysia, ribut petir menghasilkan purata hujan bulanan maksimum semasa kedua-dua musim perantaraan monsun.
Persediaan Untuk Menghadapi Monsun Timur Laut
Sebelum Musim Monsun
- Sentiasa mendengar siaran radio, televisyen atau media sosial untuk amaran angin kencang dan laut bergelora.
- Pastikan bekalan air dan makanan yang tidak mudah rosak disimpan secukupnya.
- Bersihkan longkang, parit dan talang hujan daripada tersumbat.
Semasa Musim Monsun
- Tinggal di tanah kukuh. Jauhi dari longkang beraliran laju, sungai dan kawasan banjir.
- Jangan memandu ke kawasan banjir. Elakkan daripada melalui jambatan yang tidak kukuh dan jalan yang selalu dinaiki air.
- Ikut arahan pihak berkuasa pengurusan bencana tempatan.
- Bersedia untuk berpindah jika diarahkan terutamanya bagi yang tinggal di kawasan pantai, berhampiran sungai atau kawasan rendah.
- Pastikan kenderaan anda diletakkan di tempat tinggi dan segala harta benda yang lain terjamin daripada kerugian dan kemusnahan akibat daripada banjir.
- Elakkan daripada pergi ke laut dengan menggunakan kapal atau bot kecil.
Jadi buatlah persediaan awal bagi mengurangkan risiko disaat akhir. Kepada yang keluar bekerja, sediakan payung dan baju hujan. Para penggemar rekreasi luar pula diingatkan agar membuat persiapan rapi seperti jangkaan kenaikan paras air di laluan yang melintasi sungai. Selain itu kepada ibu bapa nasihatkan anak-anak supaya tidak bermain air banjir untuk mengelakkan ssesuatu yang tidak diingini berlaku.