ALIPH Kasut Berjenama Tempatan


Pernah menjadi satu jenama kasut tempatan popular di negara ini satu ketika dulu, ia kini menjadi buruan segelintir individu sebagai satu koleksi barangan ‘rare’ yang sukar diperoleh.

Itulah yang berlaku pada jenama kasut Aliph, iaitu rangkaian kasut jenama tempatan paling diminati di kalangan remaja sekolah serta kumpulan muzik aliran ‘rock kapak’ sekitar 1980-an hingga 1990-an.

 

Logo ALIPH

Kasut Aliph pada asalnya dinaungi oleh Dunlop Malaysia, kemudian dikilangkan melaui Sime Darby Footware Sdn. Bhd. Terdapat dua bahagian production site iaitu di Kelemak, Alor Gajah, Melaka dan juga Kulim, Kedah. Tetapi dipercayai kilang di Melaka yang banyak mengeluarkan kasut Aliph sekitar tahun 1986.

Harus juga diingat bahawa Aliph bukan sekadar kasut, antara produk Aliph yang lain adalah T-shirt, Track suits, Setokin, topi, headband, wristband, bola golf dan raket (badminton, tennis & squash). Tetapi equipment sukan yang lain ini boleh dikatakan telah pupus. Jika korang jumpa barang-barang ni, boleh la simpan walaupun ianya tak setanding kasut Aliph.

Kasut Aliph adalah antara jenama tempatan yang paling popular ketika itu dan sering menjadi pilihan artis dan band rock untuk digayakan, malah jenama tersebut menjadi ikutan para peminat muzik rock umumnya. Kebiasaannya kasut sukan yang mempunyai rekabentuk potongan tinggi (high-cut) paras pergelangan kaki akan menjadi pilihan ramai kerana selain bentuknya yang unik dan menarik, ia juga seakan-akan telah direka untuk kelihatan sepadan dengan potongan seluar sendat yang juga turut menjadi sebahagian daripada fesyen rasmi para rockers ketika itu.

Jenama kasut kegilaan rockers ‘rock kapak’

Kasut Aliph dipasarkan dalam pelbagai warna, bentuk dan model, antara yang popular ialah model Hi-Cut Rider, sementara rekabentuk yang mempamerkan logo besar Aliph dalam pelbagai warna di kiri dan kanan kasut sering menjadi pilihan. Sekitar tahun 1987-88, kumpulan Search telah dipilih untuk memperagakan jenama Aliph secara eksklusif di mana rekabentuk terbaru kasut Aliph telah dikeluarkan secara terhad dan model tersebut dikenali dengan nama Aliph Search. Setelah itu, kumpulan Lefthanded juga mendapat peluang yang sama, di mana mereka muncul memperagakan jenama Aliph Lefthanded.

Pada tahun 1987 juga, jenama Aliph telah menaja kasut untuk filem Rozana Cinta ’87, di mana pelakon terkenal Helmi Hussaini dan Erma Fatima dilihat memakai kasut Aliph dalam filem yang mengisahkan tentang pergolakan remaja kota itu. Pada 1989, jenama Aliph sekali lagi mengeluarkan model terbaru, tetapi kali ini mensasarkan hanya kepada golongan gadis remaja, lalu muncullah kasut Aliph Terri yang turut dipasarkan dalam rekabentuk potongan tinggi (high-cut). Tidak lama kemudian, jenama Aliph memperkenalkan pula kasut khusus untuk dipakai ke sekolah, iaitu model White Shadow dan Strike Force yang hanya dikeluarkan dalam warna putih. Dengan itu, jenama Aliph terus mengekalkan popularitinya sehingga ke awal tahun 1990-an.

Sejurus menurunnya populariti muzik rock di Malaysia sekitar tahun 1993, jenama Aliph juga seakan menerima tempiasnya, di tambah pula dengan kemunculan pelbagai jenama lain yang semakin mendapat perhatian. Maka, secara perlahan-lahan pengeluaran kasut Aliph telah dihentikan, dan akhirnya operasi kilang Aliph terpaksa menutup pintunya buat selama-lamanya.

Kilang ALIPH ditutup

Kini, kasut Aliph masih lagi kelihatan dipakai oleh para pemilik dan pengumpulnya. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kasut Aliph kini telah menjadi antara simbol ingatan rasmi terhadap zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia, malah jangan terkejut sekiranya terlihat kasut Aliph tidak lagi berfungsi sebagai pelapik kaki, tetapi sebaliknya terjaga rapi sebagai sebahagian daripada bahan pameran untuk tatapan orang ramai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat