Apakah Faktor Graduan Menganggur ? Bolehkah Masalah Ini Ditangani Demi Masa Depan Malaysia Yang Lebih Baik ?


Pengangguran di kalangan siswazah di negara kita semakin meningkat saban tahun. Mengapa dan wajarkah ianya terjadi kepada pelajar-pelajar lepasan universiti? Apakah masalah sebenar yang menyebabkan pelajar lepasan universiti negara ini gagal mendapat pekerjaan ?

Faktor Graduan Menganggur di Malaysia

Masih ramai graduan yang menganggur walaupun mereka sudah beberapa tahun menamatkan pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT).

Apakah faktor-faktor atau punca yang menyumbang kepada peningkatan pengangguran di kalangan graduan universiti ?

Terlalu Memilih Pekerjaan

Menurut Mohd Suhaidi Sautar, 25, pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Bahasa Utama, faktor graduan menganggur adalah disebabkan oleh sikap mereka sendiri yang terlalu memilih pekerjaan.

Mereka enggan terima pekerjaan yang ditawarkan jika tidak setaraf dengan kelulusan dan bukan bidang mereka semasa belajar di universiti.

Mereka juga lebih sanggup untuk menunggu peluang yang lebih baik dan tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa sementara menunggu tawaran yang lebih menepati cita rasa.

Kelulusan Yang Kurang Kebolehpasaran Kerja

Menurut Arnida Abu Bakar, 31, pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, salah satu faktor graduan menganggur yang ketara di kalangan siswazah adalah disebabkan kelulusan mereka yang tidak sesuai dengan permintaan dunia pekerjaan.

Ini akan menyebabkan graduan berdepan dengan risiko menganggur dalam tempoh yang lebih lama.

Dari sudut pandang majikan, mereka juga lebih cenderung untuk memilih pekerja yang mempunyai latar belakang pendidikan yang bersesuaian dengan skop pekerjaan.

Ini bagi memastikan keberkesanan kos dan produktiviti syarikat mereka terjamin.

Penguasaan Bahasa Inggeris Yang Lemah

Hafsah Mohamed, 23, pelajar tahun tiga Fakulti Pengajian Bahasa Utama berpendapat faktor graduan menganggur adalah berpunca daripada kemahiran berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris yang lemah di kalangan graduan.

Ia adalah kebolehan yang sering diuji dalam setiap sesi temu duga. Siswazah yang kurang fasih berbahasa Inggeris pasti akan rasa tercabar dengan kekangan ini dan membuatkan motivasi mereka pudar setiap kali menghadiri temu duga.

antara faktor graduan menganggur adalah penguasaan bahasa inggeris yang lemah

Tiada Pendedahan Dalam Industri

Ada juga segelintir siswazah  yang mempunyai pencapaian yang cemerlang tetapi ditolak akibat tiada kemahiran dan pengalaman bekerja. Menurut Amzan Satiman, 41, Pensyarah Kolej Universiti Islam Selangor, faktor graduan menganggur adalah berpunca daripada kurangnya pendedahan pada industri dalam tempoh pengajian siswazah.

Kurangnya pendedahan pada alam pekerjaan menyebabkan siswazah tidak tahu membawa diri dalam dunia realiti. Kesannya, ia akan menyebabkan pelajar lebih cenderung untuk fokus pada pencapaian akademik sahaja semasa di universiti.

Pembelajaran tidak sepatutnya tertumpu di dalam kelas sahaja tetapi ia harus merangkumi aktiviti  luar. Aktivi-aktiviti ini akan mendedahkan siswazah kepada realiti sebenar alam pekerjaan. Mereka juga berpeluang untuk lengkapi diri dengan kemahiran penting seperti komunikasi, penglibatan dalam organisasi, kebolehan menyelesaikan masalah serta melakukan tugas dengan baik.

Kualiti ini penting bagi menepati kriteria bakal majikan yang rata-rata mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik.

Ia wajar diambil kira memandangkan kos untuk mengadakan latihan intensif kepada pekerja baru adalah tinggi dan boleh memberi kerugian kepada sesebuah syarikat jika tidak mendatangkan hasil yang baik.

Cara-cara Mengatasi Pengangguran

Berhenti Memilih Kerja, Sambar Peluang Yang Ada

Pemikiran “lebih baik menganggur selagi tidak jumpa kerja sesuai” perlu dibuang dari minda setiap graduan kerana ia bukan sahaja merugikan mereka, malah merugikan sektor yang memerlukan tenaga kerja.

Pekerjaan yang dianggap kurang setaraf seperti kerani atau pekerja kedai tidak sepatutnya ditolak bulat-bulat tanpa berfikir panjang.

Sebaliknya, graduan perlu berfikir secara profesional dan matang. Elakkan tanggapan negatif terhadap sesuatu pekerjaan, kerana ianya akan merugikan diri sendiri.

Kalau nak tunggu dapatkan pekerjaan yang bertepatan dengan kelulusan universiti, memang lamalah jawabnya.

Jangan buang masa ! Gunakanlah peluang yang ada untuk timba pengalaman pekerjaan. Tak elok juga kalau resume kita terlalu kosong tanpa pengalaman bekerja.

faktor graduan menganggur

Kerajaan dan IPTA Perlu Main Peranan

Selain itu, kerajaan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) juga memainkan peranan penting dalam melaksanakan program sekolah atau universiti kerjaya dengan jelas.

Mereka perlu mengadakan kursus khas atau perancangan tegas kepada graduan bagi mempersiapkan pelapis berkualiti yang arif dalam pelbagai sektor yang penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Pensyarah ini turut menegaskan kepentingan IPTA dalam menggalakkan kecenderungan pelajar kepada bidang yang relevan dengan keperluan tenaga kerja dalam semua jenis sektor di negara ini dan tidak hanya bersandarkan kepada keupayaan ademik di sesebuah IPTA atau IPTS.

Perbaiki Penguasaan Bahasa Inggeris dan Kemahiran Berkomunikasi

Graduan perlu memperbaiki kelemahan berbahasa Inggeris bagi meningkatkan peluang mereka untuk dapatkan kerja.

Oleh itu, kerajaan haruslah menaikan taraf pendidikan dan juga terus mempromosikan kepentingan Bahasa Inggeris di kalangan siswazah agar masalah ini tidak akan menghantui fikiran semua rakyat Malaysia di masa akan datang.

Selain itu, graduan juga perlu bijak berkomunikasi dan mempunyai keyakinan diri sermasa berhadapan dengan orang lain, jangan takut dan teragak-agak menjawab apabila berinteraksi dengan orang berpangkat atasan.

Beranikan Diri Untuk Teroka Bidang Lain

Pengangguran di kalangan siswazah akan terus berlaku sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif baru membina kerjaya persendirian atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan.

Peluang bagi graduan menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan begitu luas. Namun, mereka perlulah lebih yakin untuk ambil risiko dan inisiatif sendiri.

Kalau tidak jumpa pekerjaan yang sesuai di laman cari kerja, graduan juga boleh dekat agensi keusahawanan yang menawarkan pelbagai pekerjaan.

Selain itu, mereka  juga boleh memperolehi pekerjaan dengan membuka perniagaan sendiri. Contohnya mereka boleh ceburi bidang pertanian dengan mengusahakan kawasan terbiar sehingga memperolehi hasil dan menjadi petani yang berjaya.

Kesimpulanya, graduan harus bijak mengatur langkah kehidupan masing-masing. Graduan perlu bermula dari bawah untuk dapatkan pengalaman, bukannya terus dari atas. Justeru, graduan tidak seharusnya terlalu bersikap memilih untuk kepentingan diri serta masyarakat.

Bayangkan berapa banyak pengalaman bekerja dan pendapatan yang mereka rugi jika hanya duduk di rumah disebabkan sikap memilih kerja. Selain itu, mereka harus mempunyai mengasah kemahiran intrapersonal dan interpersonal bagi menimba pengalaman bekerja yang lebih baik.

Alam dewasa sememangnya sukar untuk ditempuhi, namun graduan perlulah persiapkan diri untuk menempuhi dunia pekerjaan supaya dapat menjadi ahli masyarakat yang berguna.

Tonton video dibawah:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat