Antara Realiti Dan Fantasi Dalam 100 Hari Pentadbiran Pakatan Harapan
Tahniah di atas kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 yg baru lalu. Ia adalah mandat rakyat yang perlu dihormati oleh sesiapapun yang mendokong demokrasi berparlimen.
Saya cuba untuk mengulas serba-sedikit impak terhadap kewangan dan ekonomi untuk jangka pendek ekoran dari manifesto Pakatan Harapan dalam PRU kali ini.
Oleh itu, saya hanya akan menyentuh TIGA perkara untuk jangka pendek iaitu :
- Pertama, hapuskan GST
- Kedua, subsidi petrol bersasar
- Ketiga, menangguhkan bayaran PTPTN sehingga gaji mencecah RM4000
PERTAMA, GST
Sesungguhnya agenda hapuskan GST adalah senjata ampuh yang digunakan oleh Pakatan Harapan dalam manifesto mereka. Sebenarnya isu ini telahpun dimainkan sejak GST dimulakan di tahun 2015 lagi.
Apakah sebenar-benarnya rakyat akan terhapus dari segi “cukai” yang dikenakan oleh kerajaan PH nanti. Yang diwar-warkan ialah HAPUSKAN GST, seolah-olah rakyat tidak lagi membayar cukai. Ini adalah persepsi rakyat. Namun yang sebenarnya rakyat akan dikenakan cukai juga, walaupun dalam bentuk lain.
Kita tidak boleh mengharapkan pada musim bulan puasa dan hari raya ini barang-barang akan diturunkan kerana GST. Mungkin ada barang yang turun harga berikutan akta barang-barang kawalan sahaja.
Namun untuk menghapuskan GST, kerajaan perlu menunggu sehingga Parlimen penggal pertama bersidang. Dijangka rang undang-undang pertama yang akan dibentangkan ialah menghapuskan akta GST 2014. Di mana akta ini mula dikuatkuasakan pada tahun 2015.
Dalam masa yang sama, kerajaan perlu membentangkan pula akta cukai jualan 1972 dan akta cukai perkhidmatan 1975 sama ada untuk dikembalikan atau membuat rang undang-undang baru. Maka setelah itu barulah sistem percukaian SST dapat dilaksanakan.
Setelah dilaksanakan sistem percukaian GST yang mempunyai mekanisma teratur yg digunakapakai oleh lebih 160 buah negara di dunia, Malaysia kembali “ke belakang” utk mengamalkan SST.
Antara keburukan SST ialah para peniaga boleh memanipulasi pendapatan semasa membuat taksiran kewangan yang dihantar ke LHDN. Ini bermakna para peniaga boleh “lari” dari cukai.
Dalam sistem GST, para peniaga memang perlu membuat taksiran utk cukai korporat perniagaannya. Ia adalah urusannya dengan pihak LHDN.
Ia ditambah pula dengan cukai GST yang dibayar kepada pihak Kastam Diraja Malaysia. Cukai GST ini sebenarnya bukanlah dari “poket” peniaga, tetapi ia telah dibayar oleh pengguna / pembeli. Para peniaga hanya “tolong kutipkan cukai” bagi pihak Kastam sahaja.
Oleh itu, bagi sesetengah perniagaan yang besar, mereka mempunyai “tambahan wang sementara” sebelum dibayar kpd pihak kastam. Ia sebenarnya menolong peniaga dalam mendapatkan modal pusingan walaupun tidak seberapa.
Jika mengikut kadar SST yang lama, ia adalah pada kadar 10% + 6%. Sebenarnya dalam percukaian SST, harga barang dan cukai telahpun dimasukkan dalam setiap harga tanpa pengetahuan pengguna/ pembeli.
Dalam sistem SST tiada ketelusan dan pengguna tidak mengetahui berapa harga asal sesuatu barang itu. Berbanding dgn GST memang telah dicetak berapa nilai cukai yang dikenakan. Bahkan kita tahu barang mana yang kena cukai dan barang mana yang “zero rate” iaitu bagi kebanyakan barang keperluan asas yang dikecualikan cukai.
Setelah sistem GST digunakan sebelum ini, apakah kerajaan PH akan melakukan “olahan terhadap sistem GST” utk disesuaikan bagi pelaksanaan SST.
Jika cukai SST akan diturunkan daripada pelaksanaan terakhirnya di tahun 2014 dahulu, ia haruslah dalam lingkungan 2% – 3%. Yakni kurang daripada 6% GST sebelum ini. Jadi, cukai TIDAK MUNGKIN sama sekali dihapuskan cuma dalam bentuk yang lain pula.
Ketika ini cukai GST memberikan hasil sebanyak 23% kepada perbendaharaan negara, atau lebih kurang RM40 bilion setahun. Daripada data statistik dahulu, cukai SST hanya menyumbang sebanyak 7.5% sahaja kepada negara atau lebih kurang RM17 bilion setahun.
Dari mana wang akan diperolehi utk pembangunan negara, pendidikan dan membayar segala perbelanjaan termasuk gaji kakitangan kerajaan dan pesara jika cukai tidak dikenakan.
Kita ketahui bahawa hasil kedua yang diperolehi kerajaan ialah melalui sektor minyak dan gas yang menyumbang 13% kepada negara.
Sektor-sektor lain ialah eksport negara dalam bidang letrik dan eletronik. Juga dalam sektor komoditi terutamanya minyak sawit.
Dikhabarkan kerajaan PH akan menghentikan atau menilai semula banyak kontrak pembangunan mega dgn China seperti ECRL, TRX dan sebagainya. Apakah implikasi terhadap penjualan komoditi utama minyak sawit Malaysia ? Perlu difahami, China adalah pengimport utama minyak sawit Malaysia.
Setelah berlaku boikot oleh Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) terhadap minyak sawit, jika ditambah boikot oleh China yang mana akan membelinya pula dari Indonesia, maka siapakah yang rugi ?
Para peladang di FELDA dan pekebun kecil akan menerima impak lantaran lambakan minyak sawit di pasaran kerana China mengurangkan belian minyak sawit sebagai “balasan” terhadap kontrak mereka dibatalkan. Harga minyak sawit pastinya akan jatuh menjunam.
Dari sudut yang lain pula, apakah cukai individu dan cukai korporat akan dinaikkan kembali bagi mengimbangi ketidakstabilan dalam pendapatan negara ?
Kita juga mengetahui, bahawa hanya sekitar 2 juta rakyat Malaysia sahaja yang membayar cukai. Apakah golongan ini sahaja akan menanggung beban yang lebih besar selepas ini jika cukai individu dinaikkan.
Jika cukai korporat pula dinaikkan, ia akan “menongkah arus” kerana persekitaran negara-negara luar terutamanya di kalangan negara ASEAN semakin giat menurunkan cukai korporat bagi menjadikan perniagaan semakin kompetatif. Ia akan menjauhkan lagi pelaburan asing utk menanam modal di Malaysia.
Bayangkan dari mana RM40 bilion setahun yang dikutip dari GST akan diperolehi selepas ini jika benar tiada cukai langsung dikenakan.
Bagi mereka yang terlena dgn HAPUS GST akan tersentak kembali bahawa di sebalik penghapusan GST, mereka masih perlu membayar cukai SST.
KEDUA, SUBSIDI PETROL
Jika boleh dipercayai kenyataan oleh Rafizi Ramli bahawa harga petrol akan diturunkan kepada RM1.50 seliter seperti dalam videonya. Dan beliau mengatakan sebaik saja Pakatan Harapan merangkul kuasa Putrajaya, pada hari yang sama harga petrol akan diturunkan. Kenyataan ini merupakan satu tarikan kepada pengundi yang menyangka ia akan benar-benar terjadi.
Apakah ini telah terjadi ?
Apakah mekanisma yang akan digunakan bagi menstabilkan harga bahan api ini ?
Mengikut perangkaan dari International Energy Agency (IEA) bahawa Malaysia menggunakan 10.3 bilion liter petrol setahun. Manakala diesel pula ialah 6.3 bilion liter setahun.
Setiap penurunan 10 sen, maka kerajaan akan menanggung RM1.7 bilion setahun.
Hari ini harga petrol ialah RM2.20 bagi RON95. Jika diturunkan kepada RM1.50 bermakna penurunan sebanyak 70 sen. Berapa banyak wang yang perlu ditambah utk menetapkan harga tersebut.
Kita perlu fahami, Malaysia bukan pengeluar utama minyak. Kita hanya dapat optimum pengeluaran sekitar 600 ribu tong minyak sehari. Ia amat jauh daripada pengeluar utama minyak di Timur Tengah.
Oleh kerana minyak yang dihasilkan dalam negara adalah berkualiti tinggi dan digunakan untuk minyak jet kapal terbang, maka ia dieksport ke luar negara. Manakala minyak yang digunakan dalam negara terpaksa diimport dari Timur Tengah.
Kita mengimport minyak mentah yang mana diproses di loji minyak terutamanya di Port Dickson dan Melaka. Selebihnya minyak juga dibeli daripada Singapura yang memprosesnya di Pulau Bukum dalam bentuk minyak yang telah siap diproses.
Oleh itu pembelian minyak mentah juga bergantung kepada turun naik Dollar Amerika. Walaupun dengan kenaikan harga minyak di pasaran dunia akan menguntungkan negara yang mengeluarkan minyak, tetapi kita harus sedar bahawa kita juga “PENGIMPORT” minyak mentah.
Dengan memberikan minyak subsidi, ia juga akan menggiatkan kembali penyeludupan minyak ke negara jiran terutamanya di persempadanan Malaysia-Thailand serta di Sabah dan Sarawak yang bersempadanan dengan Indonesia. Ia juga dilakukan di perairan antarabangsa yang dilakukan oleh sendiket haram yang membekalkan minyak kepada kapal-kapal dagang di tengah laut.
Sebab itulah dahulunya kerajaan menghentikan pemberian subsidi lantaran yang dapat faedah bukanlah kepada rakyat Malaysia sepenuhnya.
Sedangkan penjimatan dari subsidi ini boleh dilakukan utk menampung perbelanjaan pembangunan negara.
KETIGA, penangguhan bayaran PTPTN
Tidak dinafikan bahawa elemen ini yang banyak menarik golongan remaja dan lepasan universiti atau kolej untuk memberikan undi kepada Pakatan Harapan.
Dengan harapan mereka TIDAK PERLU LAGI membayar hutang PTPTN. Kerana gaji minimum yang biasanya diperolehi oleh mereka ialah sekitar RM1500 – RM2500 sebulan.
Sehingga berapa tahun pula gaji mereka akan memcecah sehingga RM4000 yang membolehkan mereka mula membayar hutang PTPTN ?
Malahan jika mengikut trend sekarang, gaji seorang graduan universiti akan berada di bawah RM4000 untuk jangka masa 5 tahun atau lebih.
Dan ramai pula yang akan berada dalam lingkungan RM2500 bagi yang memperolehi Diploma untuk kesekian lama.
Secara tidak langsung, mereka TIDAK PERLU LAGI dibebankan dengan hutang PTPTN. Dengan lain perkataan, mereka dapat PERCUMA pinjaman PTPTN.
Sehingga sekarang, PTPTN telah menanggung kos yang banyak bagi membiayaai peminjamnya. Sedangkan ia juga amat kritikal bagi membuat “modal pusingan” utk diberikan kepada peminjam baru.
Apakah dengan dasar baru Pakatan Harapan ini akan membuatkan PTPTN tutup kedai kerana tak mampu lagi memberikan pinjaman baru kepada pemohon yang semakin banyak setiap tahun ?
Ini bermakna kerajaan akan menyuntik dana yang semakin banyak utk menampung PTPTN.
Jika tidak dilakukan demikian, maka para pelajar yang memohon PTPTN di masa hadapan akan berdepan dgn situasi yang lebih kritikal untuk membiayai pembelajaran mereka. KECUALI pinjaman PTPTN juga dianggap biasiswa yang tak perlu dibayar.
KESIMPULANNYA
Saya hanya menyenaraikan dari sudut ekonomi dan kewangan jika ketiga-tiganya dilaksanakan dalam tempoh 100 hari Pakatan Harapan memerintah.
Apakah akan terjadi jika rezab negara dan banyak sumber-sumber dana tempatan digunakan utk membiayai “lompong” GST, subsidi bahan api dan PTPTN ?
Apakah kerajaan terpaksa menerbitkan bon bagi mendapatkan dana asing pula ?
Jika keadaan begini menjadi tidak seimbang antara pendapatan dan bayaran, ia menjadi defisit. Penarafan terhadap ekonomi dan sistem kewangan juga akan diturunkan. Pihak penarafan antarabangsa seperti Moody’s, Standard & Poor serta Fitch Rating mungkin akan merurunkan rating mereka terhadap Malaysia. Dengan ini ia akan menjejaskan hutang luar dan bon Malaysia.
Apakah akan terjadi dengan belanjawan negara ? Secara sepintas lalu, defisit belanjawan mungkin mencecah sehingga 4%. Itupun masih tidak melihat kepada sektor-sektor lain.
Mungkin ramai tak tak berapa tahu mengapa diberikan cuti peristiwa selepas kemenangan Pakatan Harapan pada hari Khamis dan Jumaat. Sebenarnya ia telahpun dibuat rancangan teliti kerana pengumuman ini dibuat sebelum PRU 14 lagi.
Selain ia dianggap sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia di atas sokongan kepada PH, ia juga mempunyai maksud yang tersirat dari segi ekonomi.
Kerana ia bagi mengelakkan respon dari pasaran saham komuditi dan kewangan. Sekurang-kurangnya cuti dua hari ini akan mengurangkan ruapan pasaran terhadap indek FBM KLCI dan perdagangan mata wang Ringgit.
Bagaimanapun pada hari Isnin, dijangka pasaran akan menunjukkan kejatuhan dengan jualan paksa dan pengambilan untung oleh pelabur tempatan dan asing. Mata wang Ringgit dijangka akan berlegar pada RM4.04 pada hari pertama dagangan bermula hari Isnin ini.
Kerana pasaran akan menanti polisi yang jelas dan keupayaan kerajaan baru sebelum para pelabur kembali ke dalam pasaran. Biasanya ia akan mengambil antara 2 hingga 3 bulan untuk kembali ke paras sedia ada.
Ini disebabkan pasaran telah yakin yang kerajaan BN akan kembali menerajui pemerintahan negara. Ia bersandarkan kepada pertumbuhan KDNK 5.9% bagi tahun 2017. Diunjurkan KDNK 2018 ialah sekitar 5.4%.
Disebabkan pertukaran kerajaan dan polisi yang belum diketahui, maka buat masa ini para pelabur akan menjauhkan diri dari pasaran buat sementara waktu.