Indah Namun Sarat Dengan Misteri, Ini Fakta Menarik Tentang Alam Semesta Yang Anda Perlu Tahu


Pernahkah anda terfikir tentang keberadaan alam semesta ? Jika anda rasakan bumi ini sudah cukup besar, angkasa malah jauh lebih besar sehingga tak tercapai akal kita untuk memikirkannya.

Ia menjadi rumah bagi berbillion-billion bintang, galaksi, lohong hitam, dan objek-objek lain di ruang angkasa.

Khazanah semesta yang cukup luas ini sering menjadi tumpuan ahli-ahli fizik dan astronomi dari seluruh dunia.

Mari kita kenali alam semesta dengan lebih dekat lagi.

Alam Semesta Sedang Mengembang

Kira-kira 100 tahun lepas, saintis serta pengkaji astronomi termasuklah Albert Einstein menyangka bahawa semesta adalah statik dan tidak berubah.

Kenyataan ini kemudiannya dibidas oleh seorang ahli astronomi British, Edwin Hubble.

Pada tahun 1929, Hubble mendapati bahawa hampir kesemua galaksi bergerak menjauhi galaksi Bima Sakti di mana terletaknya Bumi serta planet lain dalam sistem solar.

Menerusi penemuan ini, ahli fizik dan astronomi mengusulkan sebuah model kelahiran semesta iaitu model Letupan Besar atau lebih dikenali sebagai Big Bang.

Berdasarkan model ini, alam semesta bermula dari sebuah titik kecil dan mengembang kepada semesta yang kita ketahui pada hari ini.

Alam Semesta Berusia Berumur Sekitar 13.7 Billion Tahun

Seperti manusia dan hidupan lain di muka bumi, alam semesta juga mempunyai permulaan usia. Berdasarkan kajian mengenai taburan dan pergerakan galaksi, pakar astronomi menyimpulkan umur alam semesta pada nilai 13.7 billion tahun. Ini juga bermakna peristiwa Big Bang juga berlaku pada 13.7 bilion tahun lalu.

alam semesta tercipta daripada peristiwa letupan besar

Alam Semesta Bersaiz Diameter 93 Billion  Tahun Cahaya

Selain usia, keluasan semesta juga pernah menjadi tanda tanya di kalangan ahli astronomi. Bagi mengenalpasti saiz alam semesta, pakar membuat kajian dengan menghalakan teleskop bagi melihat pergerakan galaksi-galaksi di angkasa.

Berdasarkan pencerapan ini, ahli astronomi dapat membuat anggaran saiz diameters alam semesta yang dapat dilihat iaitu 93 bilion tahun cahaya atau 880 septilion meter iaitu nilai 880 yang diikuti dengan 24 kosong dibelakangnya. Memang tak boleh bayangkan betapa besarnya semesta ini !

Cahaya Berkelajuan 300 Juta Meter Sesaat

Jutaan bintang serta galaksi yang dapat dilihat dari teleskop hadir dalam bentuk cahaya. Tidak hanya objek di angkasa, sebarang objek yang kita lihat juga adalah disebabkan kehadiran cahaya yang sampai ke mata kita.

Tahukah anda, cahaya juga mempunyai kelajuannya tersendiri iatu 300 juta meter sesaat ! Justeru itu, bintang-bintang yang kita lihat di angkasa sebenarnya adalah bintang-bintang yang berada di masa lampau disebabkan kedudukannya yang berjuta-juta tahun cahaya jauhnya !

Semesta Terdiri Daripada 98% Jirim Hidrogen dan Helium

Bintang-bintang yang terbentang di angkasa pada waktu malam terbentuk daripada pelbagai gas, namun unsur terbesarnya ialah hidrogen dan helium yang merangkumi 90 % daripadanya.

Kedua-dua unsur ini juga sudah wujud ketika peristiwa kelahiran alam semesta iaitu Big Bang.

alam semesta mengandungi galaksi dan bintang

Tiada Bunyi di Angkasa

Berbeza dengan kehidupan di bumi yang hingar-bingar, di alam semesta suasananya sangat sunyi. Jika kita ke angkasa lepas, kita tidak akan mendengar apa-apa kerana sifat angkasa yang vakum. Sifat ini menyebabkan bunyi tidak dapat dihasilkan daripada getaran udara.

96% Angkasa Tidak Dapat Dilihat

Secanggih mana pun teleskop yang ada di bumi ini, ia masih tidak dapat menunjukkan semua yang ada di angkasa. Hal ini kerana alam semesta kita dipenuhi oleh 2 entiti yang tidak diketahui oleh ahli astronomi iaitu tenaga gelap dan jirim gelap (dark matter).

Kedua-dua entiti ini hanya dikenalpasti oleh pakar astronomi melalui kesan graviti kepada objek yang tidak dapat dilihat.

Dengan melihat pada kesan graviti ini, ahli astronomi dapat merumuskan bahawa semua yang kita lihat hanyalah 4% daripada keseluruhan isi kandungan semesta! Sebahagian besar  semesta sebanyak 96% pula masih kekal sebagai misteri sehingga ke hari ini.

Alam Semesta Bersuhu -270°C

Tahukah anda  semesta mempunyai suhu tersendiri sekitar -270 darjah Celcius ? Namun ahli astronomi berpendapat suhu ini tidaklah malar. Ketika alam semesta lahir melalui Big Bang, suhunya mencecah jutaan darjah Celcius.

Setelah ia berkembang, suhu ini menurun sedikit demi sedikit sehingga mencapai suhu -270°C pada masa kini.

Angkasa Dipenuhi Ruang Kosong

Semesta yang kita kenali mengandungi jutaan galaksi dan bintang. Namun, sebahagiannya juga dipenuhi oleh ruang kosong yang langsung tidak mempunyai apa-apa, hanya kegelapan.

Semesta Tidak Berpenghujung ?

Fakta terdahulu mengatakan alam semesta bersaiz diameter 93 bilion tahun cahaya. Sepatutnya, alam semesta mesti ada penghujung, kan ?

Jawapannya hanya Allah sahaja yang tahu. Apabila saintis memberikan nilai keluasan angkasa, ia merujuk kepada semesta yang dapat dilihat sahaja.

Dalam erti kata lain, teleskop-teleskop yang ada di bumi ini hanya dapat melihat sejauh 93 bilion tahun cahaya sahaja.

alam semesta mungkin tiada penghujung

Jadi, apa yang ada di sebalik itu masih tidak diketahui sampai sekarang. Berdasarkan teori Big Bang, sesetengah ahli astronomi berpendapat disebalik ‘penghujung’ angkasa ini ada galaksi-galaksi lain. Namun, kenyataan ini masih belum dapat disahkan.

Begitulah kehebatan semesta yang serba luas ini. Perihal tentang alam semesta kekal sebagai pengetahuan yang terbatas buat umat manusia.

Walaupun peradaban manusia boleh dikatakan maju pada saat ini, namun masih banyak misteri alam semesta yang tidak dapat dirungkai.

Sekaligus, keajaiban semesta ini juga menjadi salah satu kebesaran Allah yang sangat hebat dan tidak terfikir dek akal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat