Ajaibnya Sedekah. Semakin Bersedekah Semakin Kaya!


Sedekah adalah satu tuntutan dalam agama kita. Ianya bertepatan sebagaimana disebut di dalam hadis Nabi Muhammad SAW, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”. (Riwayat Muslim)

Sesetengah orang ada yang beranggapan bahawa hartanya semakin berkurang apabila dia bersedekah. Namun, Islam mengajar kita bahawa, harta yang dibelanjakan untuk bersedekah akan dibalas dengan berlipat kali ganda. Boleh jadi kita akan mendapat balasan ganti di dunia dalam bentuk wang yang lebih besar nilainya. Atau, sedekah itu akan diganti dengan bermacam-macam nikmat lain seperti dipermudahkan segala urusan, diberi kesihatan yang baik, dilindungi daripada kemalangan, mendapat anak-anak yang tidak banyak kerenah, dan bermacam lagi nikmat yang mapu dibalas oleh Allah SWT.

Sebagai hamba Allah, kita wajib bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Firman Allah SWT, “Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi Meliputi ilmu pengetahuanNya.” (Al-Baqarah 2:261)

10 Kelebihan Sedekah

  1. Akan diampunkan dosa oleh Allah SWT.
  2. Mendapat keberkatan di dalam hartanya.
  3. Dipermudahkan segala urusan oleh Allah SWT.
  4. Dilapangkan waktu oleh Allah SWT.
  5. Dikurnia kesihatan yang baik oleh Allah SWT.
  6. Hati menjadi lapang dan tenang.
  7. Melatih diri supaya menjadi lebih bersyukur.
  8. Diberikan ganjaran pahala berlipat kali ganda oleh Allah SWT.
  9. Dijauhkan oleh Allah SWT dari bala bencana.
  10. Dihormati dan disayangi oleh masyarakat.

“Jika seseorang manusia (Islam) meninggal dunia maka terputuslah segala amalannya melainkan tiga perkara, iaitu sedekah yang berterusan, ilmu pengetahuan yang dapat memberi faedah (kepada dirinya atau kepada orang lain) dan anak yang soleh/solehah yang beramal baik dan sentiasa mendoakan kepadanya”. (Riwayat Muslim)

Oleh itu, marilah kita bersama-sama memperbanyakkan amalan bersedekah. Sesungguhnya tidak ada kerugian bagi setiap hamba Allah yang bersedekah di jalanNya. Ianya akan dibalas dengan berlipat kali ganda. Bahkan ianya juga menjadi harta kita yang akan kekal sehingga ke akhirat kelak.

Tag:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat