Guna Minyak Masak, Pesawat Airbus A380 Buktikan Harapan Cerah Penggunaan Bahan Bakar Penerbangan Lestari Bagi Kapal Terbang
Peningkatan harga bahan bakar petrol yang meningkat secara mendadak sangat memberi kesan kepada dunia, ditambah pula dengan peperangan antara Rusia dan Ukraine yang menjadi salah satu faktor faktornya.
Kini, seluruh dunia giat melakukan kajian bagi mencari alternatif untuk menggantikan petrol sebagai bahan bakar utama.
Peluang dilihat cerah bagi syarikat penerbangan gergasi, Airbus apabila pesawatnya Airbus A380 berjaya melengkapkan penerbangan percubaan menggunakan minyak masak sebagai bahan bakar bagi salah satu enjinnya.
Pesawat ujian ini melengkapkan tiga jam penerbangan pada 25 Mac lalu apabila dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Blagnac di Toulouse menuju ke ibu pejabat Airbus di Perancis.
Airbus A380 dikuasakan dengan Bahan Api Penerbangan Lestari (Sustainable Aviation Fuel /SAF) yang kebanyakannya diperbuat daripada minyak masak terpakai dan sisa lemak.
Pesawat Airbus A380 yang dilengkapi dengan enjin Rolls-Royce Trent 900 itu merupakan pesawat Airbus ketiga yang berjaya terbang menggunakan 100% SAF dalam tempoh 12 bulan.
Pesawat yang pertama, Airbus A350 terbang pada Mac 2021 diikuti oleh pesawat lorong-tunggal A31neo pada Oktober 2021.
Airbus A380 Terbang Tanpa Sebarang Masalah
Berbanding dua pesawat ini, Airbus A380 yang diterbangkan baru-baru ini merupakan pesawat terbesar yang pernah melalui ujian percubaan menggunakan SAF.
Ujian penerbangan juga menunjukkan keputusan yang positif apabila juruterbang melaporkan tiada perbezaan ketara atau masalah teknikal ketika pesawat berada di udara, sama seperti penerbangan dua pesawat yang diuji menggunakan SAF sebelum ini.
Pencapaian ini selaras dengan misi Airbus dalam merealisasikan pelepasan bebas karbon dalam industri penerbangan menjelang 2050 melalui penggunaan SAF kekal.
Menerusi laporan Waypoint 2050, perangkaan utama menunjukkan penggunaan SAF mampu menyumbang antara 53% hingga 71% pengurangan karbon yang diperlukan.
United Airlines Cipta Sejarah Bawa Penumpang Guna SAF !
Selain Airbus, pendekatan ke arah penggunaan SAF turut mendapat perhatian syarikat penerbangan United Airlines.
Mencipta sejarah dalam dunia penerbangan, kapal terbang domestik Boeing 737 MAX 8 selamat berlepas dari O’Hare Chicago dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Reagan Washington pada Disember lepas.
Lebih menarik lagi, ia merupakan penerbangan komersial pertama yang membawa 115 penumpang bersama dengan menggunakan 100% SAF pada salah satu daripada dua enjinnya.
Semua pesawat Airbus pada masa ini difahamkan untuk terbang dengan menggunakan bahan bakar campuran sehingga 50% SAF termasuk minyak tanah.
Sebelum dapat memenuhi matlamatnya untuk mencapai pensijilan 100% SAF menjelang akhir dekad ini, Airbus dilaporkan bahal melakukan pelbagai lagi siri percubaan penerbangan.