Adakah INHALER Membatalkan Puasa Anda?
Ramai yang mungkin tidak tahu atau ramai yang sudah tahu tentang hukum penggunaan inhaler. Bagi yang sudah tahu Alhamdulillah. Tapi yang belum tahu artikel ini akan memberikan penerangan sedikit tentang adakah Inhaler ini membatalkan puasa atau tidak.
Inhaler ini adalah alat yang digunakan oleh pesakit yang mempunyai penyakit asam yang mengandungi ubat dalam bentuk cecair yang mengandungi tiga jenis bahan iaitu ubat-ubatan, air dan juga oksigen. Bahan-bahan yang terkandung di dalamnya akan keluar dan memasuki tekak melalui mulut atau melalui bahagian dalam hidung. Sebahagian daripadanya akan kekal berada di dalam tekak. Kadang-kadang satu kuantiti kecil akan berada di dalam kerongkong.
Alasan Hukum:
a. Bahan yang terdapat di dalam inhaler yang masuk ke dalam kerongkong dan seterusnya ke dalam perut adalah terlalu sedikit, kerana itu, hukumnya tidak membatalkan puasa, sebagai qiyas kepada berkumur dan istinsyaq (memasukkan air ke dalam hidung ketika berwudhu’).
Satu alat inhaler mengandungi 10 ml cecair, yang mengandungi ubat-ubatan. Kuantiti ini cukup untuk digunakan sebnyak 200 kali semburan. Setiap kali semburan, mengeluarkan jumlah yang rendah, tidak sampai 1ml. Setiap semburan tidak sampai 1 titis. Satu titis ini terbahagi kepada beberapa bahagian dan bahagian yang paling besar memasuki bahagian pernafasan. Satu bahagian memasuki kerongkong, manakala bakinya jatuh ke dalam perut. Kuantiti yang jatuh ke dalam perut ini dimaafkan, sebagai qiyas kepada air yang terlekat pada tekak hasil berkumur dan istinsyaq. Malah sisa air yang terlekat pada bahagian tekak lebih banyak daripada kuantiti semburan inhaler yang memasukinya. Dengan ini, jika seseorang berkumur dengan air yang diperkaya dengan bahan-bahan tertentu (seperti mineral atau vitamin, yang hanya boleh dilihat dibawah sinar x), sudah tentu bahan tersebut dapat ditemui tidak berapa lama selepas itu di dalam perut, yang sekaligus membuktikan kewujudan bahan tersebut di dalam perut, tetapi di dalam kuantiti yang sedikit adalah dimaafkan. Kuantiti sisa air dari berkumur dan istinsyaq tersebut dari segi keyakinannya, sudah tentu melebihi kuantiti semburan inhaler yang memasuki kerongkong, jika diandaikan ia memasuki kerongkong.
b. Semburan yang masuk ke dalam perut, satu perkara yang belum pasti, sebaliknya masih diragui. Mungkin masuk dan mungkin juga tidak. Berdasarkan kepada hukum asal, puasa sah dan tidak rosak. Perkara yang yakin, tidak dapat dihilangkan dengan perkara yang masih ragu-ragu.
c. Ia tidak sama dengan makan dan minum, sebaliknya lebih menyerupai pengambilan darah untuk ujian klinikal dan suntikan yang tidak mengandungi makanan (nutritive).
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun alasan ini boleh dipertikaikan, kerana memang wujud kuantiti tertentu air di dalam kandungan ubatan yang terdapat di dalam Inhaler, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini.
d. Bahan semburan akan keluar dalam bentuk wap dan tidak akan sampai ka dalam perut, sebaliknya hanya ke dalam ruang di dalam paru-paru sahaja.
Perbahasan kepada alasan ini: Walau bagaimanapun sebelum ini, kita telah menjelaskan kuantiti kecil semburan Inhaler juga masuk ke dalam perut.
e. Pakar-pakar perubatan memperakui penggunaan siwak (kayu sugi) mengandungi lapan jenis bahan kimia, yang dapat mengawal gigi dan gusi dari serangan penyakit. Bahan kimia ini sudah tentu meresap pada lidah dan memasuki tekak, apabila seseorang bersiwak.
Di dalam Sahih Al-Bukhari daripada ‘Amir bin Rabi’ah, katanya: “Saya melihat Rasulullah s.a.w bersiwak, dalam jumlah yang tidak dapat saya hitung, sedangkan Baginda berpuasa.”
Sekiranya bahan-bahan kimia yang memasuki tekak ini dimaafkan, kerana kuantitinya yang sedikit dan tidak disengajakan, begitu jugalah bahan-bahan daripada Inhaler yang memasuki tekak, juga dimaafkan, di atas sebab yang sama.
Perbahasan kepada alasan ini: Mereka yang bersiwak, berkumur dan beristinsyaq tidak berniat untuk memasukkannya ke dalam tekak, jika masukpun secara tidak sengaja. Berbeza dengan penggunaan inhaler yang mmg disembur ke dalam tekak.
Jawapan: Semua itu kembali kepada qasad dan niat, maka mereka yang menggunakan inhaler juga tidak berniat memasukkannya ke dalam rongga dan perut, mereka menggunakannya untuk melegakan pernafasan iaitu ke paru-paru.