Sejarah Ukraine dan Rusia & Mengapa Hubungan Dua Negara Ini Tegang Sejak Dulu
Ukraine mengalami ancaman terbesar semalam setelah sekian lama terperangkap dalam perebutan antara Rusia dan Amerika Syarikat serta sekutunya.
Dunia digemparkan dengan berita serangan Rusia terhadap Ukraine semalam. Beberapa sumber turut melaporkan bandar-bandar utama serta pengkalan tentera Ukraine telah dibom oleh tentera Rusia.
Kebanyakan bandar-bandar utama kini dilaporkan kosong. Ramai warga Ukraine turut dilihat telah melarikan diri ke negara jiran seperti Poland.
Bagi memahami situasi getir ini, kita perlulah fahami sejarah Ukraine dan Rusia. Seperti yang kita tahu, Rusia dan Ukraine duduk bersebelahan antara satu sama lain.
Sejarah negara Ukraine dan Rusia serta Belarus bermula dari pucuk pangkal kerajaan lampau yang sama bernama Kievan Rus.
Ukraine dan Rusia juga pernah berada dalam satu pengaruh politik yang sama iaitu Soviet Union.
Sejak Soviet Union dibubarkan, Ukraine berjaya menjadi negara berdaulat dan umumkan kemerdekaan pada 24 Ogos 1991.
Namun kebebasan ini tidak bertahan lama akibat campur tangan Rusia serta Amerika Syarikat secara bertubi-tubi.
Ukraine pernah capai zaman kegemilangannya di bawah pimpinan Presiden Leonid Kuchma dari tahun 1994 hingga 2004.
Beliau berjaya mengubah Ukraine daripada sebuah republik Soviet kepada negara kapitalis maju dengan menguatkan kedudukan ekonomi negara di rantau antarabangsa.
Kuchma kemudiannya digantikan oleh Yanukovych seorang pro-Rusia dan mendapat sokongan penuh Putin.
Namun, kemenangan Yanukovych dibantah oleh rakyat Ukraine secara besar-besaran. Yanukovych dituduh menipu kerana saingannya, Yushchenko tiba-tiba jatuh sakit dan disahkan oleh doktor bahawa dia telah diracun.
Bantahan besar-besaran yang dilakukan rakyat Ukraine telah berlangsung ketika itu dan turut dikenali sebagai Orange Revolution.
Setelah pengundian kali ketiga, barulah Yushschenko menang dan menjadi Presiden Ukraine ketiga yang sejak negara itu bebas dari Soviet Union.
Yuschenko pernah memohon keahlian NATO dari Amerika Syarikat namun ditolak oleh Perancis dan Jerman. Kepimpinan lelaki pro-NATO ini juga menyaksikan krisis gas antara Ukraine dan Rusia pada tahun 2009.
Ukraine dan Rusia Pernah Sehaluan
Viktor Yanukovych yang kalah pada 2004 telah memenangi pilihan raya presiden pada tahun 2010 dan dilantik menjadi presiden Ukraine yang baru.
Pendirian presiden ini sebagai pro-Rusia memberikan jaminan kepada Putin ketika itu.
Menggunakan kuasa yang ada, Yanukovych jalankan siasatan pada tahun 2011 ke atas Perdana Menteri Rusia, Tymoshenko tentang rundingannya dengan Putin mengenai krisis gas dua tahun sebelumnya.
Tymoshenko dituduh atas salah guna kuasa dan dihukum penjara selama tujuh tahun. Pemimpin Barat melihat keputusan ini sebagai penyalahgunaan kuasa oleh Yanukovych.
Pada tahun 2014, Yanukovych pula enggan tandatangani perjanjian dengan Kesatuan Eropah (EU) dengan alasan mendapat tekanan daripada Rusia.
Keputusan itu mencetuskan lagi bantahan rakyat besar-besaran sejak Orang Revolution. Penunjuk perasaan yang berhimpun di Maidan Square diserang atas arahan Yanukovych hingga mengorban 100 rakyat Ukraine.
Sementara itu, Yanukovych melarikan diri ke Rusia.
Keadaan ini membuat parlimen Ukraine sepakat untuk singkirkan Yanukovych sebagai presiden dan menubuhkan kerajaan interim.
Parlimen Ukraine juga bersetuju untuk tandatangan perjanjian EU dan bebaskan Tymoneshka dari penjara.
Ukraine pun menubuhkan kerajaan baru yang bersifat pro-NATO (North Atlantic Treaty Organization). Ini menjadi ancaman buat Rusia kerana tanpa Yanukovych, Ukraine tidak akan menyebelahi Rusia lagi seperti Belarus.
Rusia Lancarkan Annex Crimea
Pertukaran kerajaan ini menimbulkan kerisauan Rusia kerana negara ini bergantung kepada Crimea yang menjadi pangkalan tentera lautnya yang strategik.
Maka tercetuslah penaklukan Crimea atau Annex Crimea yang berlaku pada tahun tersebut.
Perkara ini disokong oleh penduduk Crimea kerana sememangnya orang Crimea adalah pro-Rusia.
Bagi menambahkan lagi tekanan terhadap Ukraine, Rusia turut hulurkan bantuan kepada separatis pro-Rusia di Donetsk dan Luhansk.
Tindakan ini dilakukan demi menjauhkan lagi kebarangkalian Ukraine untuk sertai NATO.
Penaklukan secara paksa ini mengundang kontroversi dan dikecam oleh banyak pemimpin dunia.
Tindakan Rusia ini dianggap bertentangan dengan Memorandum Budapest 1994 mengenai kedaulatan wilayah Ukraine yang telah ditandatangani oleh Rusia sendiri.
Sejak Rusia menakluk Crimea, Amerika Syarikat pula ligat campur tangan bagi membela Ukraine. Dilaporkan, Amerika Syarikat membekalkan 90% peralatan tentera untuk Ukraine.
Namun, Rusia tidak rasa terancam daripada campur tangan Amerika Syarikat ketika itu.
Sejak dari itu, Rusia terus mencalar kedaulatan Ukraine dengan menakluk beberapa wilayah serta menunjukkan sokongan kepada kumpulan pro-Rusia di negara tersebut.
Pertempuran antara tentera Ukraine dan Rusia masih berlaku sehingga ke hari ini terutamanya di wilayah Donbas.
Bagaimanakah Tercetusnya Konflik Rusia-NATO ?
Semasa Perang Dingin, NATO telah wujud untuk pertahankan Eropah Barat daripada Soviet Union. Pendekatan ini berjaya mematahkan penaklukan Soviet Union.
Memetik Al-Jazeera, pemimpin Amerika Syarikat pernah berjanji pada awalnya untuk tidak luaskan pengaruh NATO ke Eropah Barat lagi namun janji ini tiada hitam putihnya. Jadi, tiada perjanjian rasmi mengenai ini, hanya cakap sekadar mulut sahaja.
Rusia pula berkata perjanjian secara lisan adalah sah dan mereka letakkan kepercayaan tinggi kepada Amerika Syarikat.
Boris Yeltsin, presiden Rusia post-Soviet pertama pernah memberi amaran yang keluasan pengaruh NATO di rantau Eropah boleh mencetuskan perang di seluruh benua tersebut.
Namun, keluasan NATO tetap berlaku dengan penerimaan negara Eropah lain menganggotai persekutuan ini termasuk negara republik Soviet seperti Latvia, Estonia dan Lithuania dan negara lain di sempadan Rusia.
Penyertaan NATO secara berleluasa oleh negara-negara Eropah ini membuatkan Rusia rasa dikhianati.
Inilah permulaan hubungan dingin antara Rusia dengan kuasa-kuasa Barat dan big why mengapa hilangnya kepercayaan antara negara-negara ini.
Kenapa Rusia Nakkan Ukraine dan Halangnya Sertai NATO ?
Zelensky yang menjadi presiden Ukraine sejak tahun 2019 pula menggesa NATO untuk menerima keahlian Ukraine sebagai ahli persatuan.
Walaupun Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden menyokong Ukraine dan mengutuk serangan Rusia, namun Ukraine masih tidak cukup syarat untuk sertai NATO.
Antara syarat-syarat yang tidak dapat dipenuhi oleh Ukraine ialah ialah penolakan keahlian daripada Perancis dan Jerman serta status Ukraine yang masih berdepan dengan perbalahan dalam wilayah dan sempadan negara sejak dahulu.
Rusia pula tidak mahu negara jirannya ini berganding dengan NATO kerana ia boleh mengancam keselamatannya secara langsung.
Selain aspek keselamatan, Ukraine memegang banyak kepentingan bagi Rusia.
Dari segi Geografi, Ukraine sangat penting kerana ia menjamin akses kepada Laut Hitam yang boleh digunakan sepanjang tahun berbanding akses Laut Utara yang hanya boleh dilalui pada masa tertentu sahaja akibat liputan ais.
Rusia juga menganggap mereka tiada banyak pilihan untuk jamin keselamatan dan kedaulatan negara sendiri.
Jika Ukraine berjaya masuk NATO, maka lebih mudahlah Amerika Syarikat lakukan operasi risikan dan ketenteraan terhadap Rusia melalui Ukraine.
Adakah Ukraine Akan Sertai NATO ?
Kemungkinan besar tidak dan NATO juga tidak boleh memberikan jaminan perlindungan kepada Ukraine disebabkan pengaruh Rusia.
Seperti yang diulaskan sebelum ini, keadaan Ukraine sangat tidak mengizinkan untuk memenuhi syarat-syarat penyertaan NATO.
Dari sudut pandang Putin, sama ada Ukraine sertai NATO atau tidak, ia tetap tidak akan berdiam diri sekiranya Ukraine memilih untuk menyebelahi Amerika Syarikat.
Dengan erti kata lain, selagi ada situasi tarik tali antara Rusia dan NATO bagi merebut Ukraine, selagi itulah ada kemungkinan untuk tercetusnya perang besar !
Bagaimana Konflik Ukraine dan Rusia Menjejaskan Negara Lain ?
Walaupun perang yang berlaku antara Rusia dengan Ukraine ini berlaku jauh di Eropah, namun ia boleh memberi kesan kepada dunia termasuklah negara kita.
Lebih-lebih lagi dengan situasi inflasi pengeluaran dan logisitk yang berlaku di seluruh dunia sekarang, ketegangan antara Rusia dan Ukraine boleh menyebabkan peningkatan harga minyak dan gas serta menjejaskan sektor tenaga global.