8 Tips Mengajar Anak Supaya Lebih Berdikari


Anak terlalu manja? Cuba ingat kembali, adakah kita memberikan dan melakukan hampir semua perkara yang diinginkan oleh anak-anak yang disayangi? Kita beranggapan bahawa mereka masih kecil untuk melakukan semua perkara itu? Sebenarnya sikap ini lah yang menjadikan anak-anak kita terlalu manja.

Sebagai ibubapa sudah pasti kita ingin memberikan yang terbaik untuk anak-anak. Namun, cara memberikan yang terbaik itu adakalanya telah kita salahgunakan dengan memberikan layanan yang terlalu melimpah ruah!

Menyediakan segala keperluan anak-anak,mengemas biliknya, membersihkan sisa-sisa makanannya sehinggalah menemaninya ketika mahu tidur bukanlah perkara yang boleh anda lakukan buat selama-lamanya dengan alasan, anda terlalu menyayanginya. Walaupun anak-anak kita masih kecil, keinginan mereka untuk melakukan perkara seperti orang deewasa adalah sangat tinggi. Mereka juga mempunyai sifat ingin tahu yang sangat tinggi dan sentiasa bersedia untuk meneroka persekitaran mereka.

Oleh itu, jangan terlalu memanjakan anak kecil dengan melakukan semua perkara untuk mereka. Berikan mereka peluang untuk mencuba sesuatu yang baru. Ajarkan mereka dengan pembelajaran yang setaraf dengan umur mereka. Ini dapat membantu tahap perkembangan minda mereka supaya lebih matang dan berdikari.

Tips Mengajar Anak Yang Terlalu Manja Ke Arah Menjadi Individu Yang Lebih Berdikari

1. BERI MEREKA PILIHAN

Sememangnya hidup kita sentiasa ada pilihan. Anak-anak kita juga seharusnya diberi peluang untuk membuat pilihan selagi ianya tidak mendatangkan keburukan kepada diri mereka.

Sebagai contoh, biarkan anak membuat pilihan pakaian yang mereka akan pakai, memilih buku yang ingin dibaca, memilih permainan untuk dimainkan bersama, atau memilih makanan kegemaran mereka. Anda harus membantu mereka untuk membuat pilihan dan bukannya memilih untuk mereka supaya mereka mampu membuat pilihan yang terbaik. Sebaiknya, anda perlulah menerima pilihan mereka supaya anak-anak merasakan pilihan mereka juga betul.

Dengan didikan sebegini, anak-anak kecil bukan sahaja dapat belajar untuk membuat keputusan, malahan dapat meningkatkan penghargaan kendiri (self esteem) dalam diri mereka.

2. BERIKAN MASA UNTUK ANAK

Sebagai ibu bapa, kita sememangnya inginkan sesuatu perkara itu disiapkan dalam masa yang kita inginkan. Dengan bantuan dari anak kecil kita, mungkin sesuatu perkara itu akan sedikit mengambil masa untuk disiapkan. Bagi mereka yang jenis panas baran, apabila sesuatu perkara itu lambat untuk disiapkan, kita akan terus marah kepada anak kecil kita.

Pada masa itu, emosi anak kecil kita akan terpengaruh kerana mereka akan beranggapan bahawa kita tidak mempercayai mereka. Berikan mereka masa untuk belajar menyelesaikan sesuatu perkara yang mereka inginkan. Kesabaran itu pastinya akan dibalas dengan kebahagian. Mungkin pada hari ini anak kita agak lambat untuk menyiapkan sesuatu perkara, namun hari esok anak-anak kecil kita dapat membantu kita dalam melakukan sesuatu perkara.

3. BERIKAN ARAHAN JIKA PERLU

Jika perlu, ibu bapa boleh memberikan arahan tanpa menggunakan nada yang tinggi buat si kecil ini dalam proses mendidik mereka untuk menjadi lebih berdikari. Ajarkan kepada anak langkah demi langkah untuk melakukan sesuatu perkara itu agar anak dapat belajar dan memahami tentang perkara tersebut dengan lebih baik lagi.

Arahan yang tepat, jelas dan nyata daripada ibu bapa dapat membantu anak melakukan sesuatu perkara tersebut dengan betul dan jayanya.

4. BIARKAN ANAK BUAT SENDIRI

Lepaskan anak untuk melakukan sesuatu perkara yang mereka inginkan dengan sendiri. Anda hanya perlu memantau sahaj mereka bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini terjadi. Elakkan dari mudah untuk membantu mereka, biarkan mereka meneroka dan mencari jalan penyelesaiannya terlebih dahulu.

Sebagai permulaannya, mungkin anda boleh menunjukkan cara-cara untuk melakukan sesuatu perkara itu kepada anak-anak. Kemudian, biarkan anak untuk melakukannya dengan sendiri. Berikan sedikit kepercayaan kepada anak kecil ini untuk melihat kemampuan mereka dan sentiasa pantau keadaan mereka. Anak-anak akan belajar kesan dan akibat daripada apa yang sedang mereka lakukan itu. Jika tidak diberi peluang, mereka tidak akan pernah belajar untuk melakukan sesuatu perkara itu.

5. AJAR ANAK UNTUK TIDAK BERBOHONG

Jangan sekali-kali memberikan atau menunjukkan sikap berbohong di hadapan anak-anak. Ajar mereka untuk selalu terbuka dan jujur dalam segala keadaan walaupun itu akan mengores perasaan dan peristiwa yang mereka hadapi. Elakkan dari membiarkan anak anda memendam perasaan mereka dan menyembunyi sesuatu dari anda. Dengan cara ini, sifat jujur di dalam diri anak-anak dapat diterapkan semenjak kecil lagi.

6. WUJUDKAN PERSEKITARAN MESRA KANAK-KANAK

Sebagai ibu bapa, kita seharusnya mewujudkan satu persekitaran yang mesra kanak-kanak untuk menjadikan mereka lebih berdikari.

Sebagai contohnya, sediakan pinggan dan cawan plastik di tempat yang mudah dicapai oleh anak-anak apabila mereka perlukannya. Sediakan botol minuman plastik yang berisi air dan ajarkan mereka untuk menuangnya sendiri ke dalam cawan apabila mereka haus. Sekiranya mereka menumpahkan iar tersebut, ajarkan mereka untuk mengelap tumpahan air tersebut sendiri.

Selain itu, anda juga boleh menyediakan kerusi plastik buat si kecil untuk mencuci pinggannya sendiri di sinki selepas makan. Cara ini sangat berkesan untuk anak-anak belajar berdikari. Sudah semestinya mereka akan merasa puas apabila dapat melakukannya dengan sempurna pada suatu hari nanti.

7. TIDAK MENGHARAP KESEMPURNAAN

Bagi memupuk sikap berdikari, ia merupakan satu proses pembelajaran yang panjang. Sikap berdikari tidak mungkin daat diterapkan dalam tempoh masa yang sangat singat. Sebagai ibu bapa, anda tidak boleh menaruh harapan yang tinggi bahawa anak-anak mampu berdikari dalam tempoh masa yang singkat. Satu pengharapan yang tinggi diberikan oleh ibu bapa akan memberikan tekanan kepda anak-anak dalam mempelajari sesuatu perkara itu.

Anda juga harus ingat, kesilapan daripada mereka bukan bererti kegagalan. Hakikatnya, mereka sedang berusaha ke arah kesempurnaan setiap kali mereka melakukan sesuatu perkara itu. Akan tiba masanya mereka akan mahir dalam melakukan sesuatu perkara itu.

8. PUJI KEJAYAAN ANAK

Berikan anak-anak kecil kita pujian sebagai tanda penghargaan kepada mereka apabila berjaya melakukan sesuatu perkara. Pujian ini akan membuatkan mereka gembira dan bersemangat untuk melakukan sesuatu perkara yang baru. Keyakinan mereka juga dapat ditingkatkan untuk melakukan sesuatu perkara lebih baik dan lebih sempurna.

Sikap berdikari harus dididik dalam diri anak=anak semenjak mereka kecil lagi. Ini supaya mereka sudah terbiasa dan tidak akan merungut apabila diminta untuk melakukan sesuatu. Mereka juga dapat membantu meringankan beban kita dala melakukan sesuatu perkara walaupun tidak banyak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat