5 Prinsip Utama Dalam Tema “Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih”
Untuk tahun 2019, tema hari Kemerdekaan ialah ‘Sayangi Malaysiaku, Malaysia Bersih’. Adakah kita sedar apakah tugas dan tanggungjawab kita rakyat Malaysia dalam mengekalkan kemerdekaan dan kedaulatan negara. Terdapat 5 pinsip utama dalam usaha memupuk jatidiri rakyat Malaysia.
1. Sayangi Tanah Air
Tanah air telah melalui pelbagai ranjau sejak Kesultanan Melayu Melaka lagi. Para penjajah seperti Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam pernah menjajah tanah air kita. Sejarah ini mestilah dijadikan pengajaran dan panduan kepada generasi kini dan akan datang agar tidak mengulangi kesilapan yang sama pada masa hadapan.
Tanggungjawab kita sebagai generasi Merdeka ke-62 hendaklah menjadikan tanah air tercinta bersih daripada aspek luaran dan dalaman. Tindakan yang kita perlu ambil adalah jangan kotori negara kita dengan sampah sarap, perlakuan jenayah dan perlakuan yang boleh mengancam keamanan negara.
Apakah makna patriotik sebenarnya? Adakah kesetiaan kepada tanah air? Apakah kasih sayang kepada kerajaan yang telah dipilih oleh rakyat? Bagaimana cara hendak memupuk sifat amanah, jujur dan bersih? Patriotisme bermaksud cinta kepada tanah air termasuklah sejarah, tradisi, bahasa, undang-undang, ciri-ciri tradisional dan semula jadinya. Patriotik juga bermakna kasih sayang yang meluas kepada karya-karya seni tanah air, mencintai negara dan menyayangi rakyat dengan cara menyumbangkan kebaikan dan menegakkan kebenaran.
2. Sayangi Kedaultan & Undang-Undang
Kita perlu mengekalkan kedaulatan negara daripada dijajah oleh negara luar. Antara bentuk penjajahan adalah dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Jika kita tengok dalam aspek politik, terdapat banyak petanda neo-colonialism seperti perpecahan, perbuatan tidak demokratik dan sikap rasics segelintir masyarakat.
Dalam aspek ekonomi pula boleh dilihat dari sikap masyarakat yang tidak yakin membeli barangan buatan Malaysia dan tidak mempertahankan produk negara sendiri. Mereka lebih menyukai barangan buatan dari negara luar yang dikatakan lebih berkualiti. Padahal barangan buatan negara kita adalah setanding dengan buatan luar negara. Manakala dalam aspek sosial pula, penyebaran fitnah dan berita palsu dalam kalangan masyarakat telah merosakkan perpaduan rakyat.
Perkara yang perlu kita wujudkan adalah amalan harmonisasi seperti negara-negara maju yang lain. Kita sebagai warga Malaysia perlu mendidik diri supaya akur kepada undang-undag negara demi kesejahteraan sejagat dengan mengamalkan sikap akur diri. Demi mempertahankan kedaulatan negara, semua lapisan masyarakat perlu berkerjasama, bukannya tertumpu kepada tanggungjawab kerajaan sahaja.
3. Sayangi Rakyat
Negara kita terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, agama dan kepercayaan yang sudah terpahat sebelum merdeka lagi dan tidak mungkin kembali atau mengubah sejarah. Di dalam Al-Quran juga menerangkan supaya saling menyayangi dan cinta-mencintai sesama manusia supaya saling kenal-mengenali. Kata Saidina Ali r.a, semua umat islam adalah bersaudara, manakala yang bukan Islam adalah saudara semanusia.
Apakah erti menyayangi rakyat? Menyayangi rakyat akan datang dengan semulajadi menurut pakar sains politik. Menyayangi rakyat boleh dipupuk dengan pelbagai cara kerana ianya bukan usaha sendiri. Antaranya ialah dengan beriadah, majlis rumah terbuka, interaksi secara sihat di media sosial, memberi kemaafan dan meraikan keperlbagaian.
4. Sayangi Wilayah
Negara Malaysia mempunyai 14 buah wilayah yang kukuh bersama-sama sejak Pengisytiharan Malaysia pada 16 September 1963. Nenek moyang kita sanggup berkorban untuk mempertahankan setiap inci wilayah. Mereka sangat berani berhadapan dengan penjajah dan hasilnya kita menikmati kemerdekaan pada hari ini hasil perjuangan mereka. Tugas kita sekarang adalah mempertahankan kemerdekaan negara dengan sepenuh hati dan sayangi Malaysia.
5. Sayangi Kerajaan
Kini kita berada dalam dunia globalisasi dan kecapaian internet yang semakin baik. Justeru itu, rakyat semakin terdedah dengan pelbagai sumber maklumat. Namun begitu, maklumat yang tidak betul akan merosakkan reputasi kerajaan dan wilayah. Yang paling membimbangkan apabila maklumat palsu tersebar dengan meluas yang boleh menjahanamkan perpaduan rakyat yang telah dibina sekian lama.
Konklusinya, tema kemerdekaan yang ke-62 ini sangat tepat dengan keadaan semasa di negara kita. Kepada seluruh rakyat Malaysia, diucapkan, “Sayangi Malaysiaku; Malaysia Bersih”.