SARAPAN UNIK : Hidangan Asli Dari Kelantan Naik Pesawat


PERNAH dengar sarapan naik pesawat? Jika jawapannya tidak, anda silap. Sekarang sarapan sudah diterbangkan dalam pesawat untuk mereka penggemar makanan, terutamanya dari negeri Cik siti Wan Kembang.

Menu sarapan ini dibawakan Kelate Flying Breakfast (KFB) khusus buat pencinta setia masakan tradisi Kelantan.

Pemilik KFB, Tengku Azah Tengku Mahmood,33, berkata, KFB diwujudkan kerana permintaan ramai dari mereka yang tinggal di Kuala Lumpur dan Lembah Klang.

image
Usaha yang dibuat sejak tahun lalu mendapat sambutan apabila jualannya meningkat.

Menurutnya, sarapan naik pesawat ini dibuat khusus kepada mereka yang mahukan rasa tradisi pada masakan Kelantan lebih-lebih lagi hidangan tersebut dibuat oleh anak jati Kelantan yang pernah bekerja sebagai tukang masa kerabat diraja Kelantan.

“Saya suka pada keaslian setiap menu Kelantan. Contohnya, ayam percik istimewa kami. Bahan perapan ditabur pada ayam bukan sekali, tetapi lebih lima kali bagi memastikan semua bahan meresap pada ayam.

10431695_465205756968227_3556542819456358335_n
“Terdapat satu menu istimewa KFB iaitu Nasi Kerabu yang dibuat menggunakan daun kayu dan bukan meletakkan pewarna di atasnya. Lebih 20 jenis daun kayu direbus bersama beras untuk aroma berbeza,” katanya.

11020836_468749146613888_7484811916707218778_n
Walaupun ia pendapatan sampingan, tetapi Tengku Azah mengakui tidak menang tangan untuk menguruskan tempahan yang diterima.

“Bisnes ini hanya tertumpu di Lembah Kelang sahaja. Ini kerana pesawat dari Kota Bharu paling awal pada jam 7 pagi, itu pun pada hari Ahad. Jadi, kalau nak ke negeri-negeri lain, belum ada pada masa ini, atas faktor berkenaan.

“Dengan jualan yang baik, saya kini sudah ada tujuh ejen yang sedia mengambil tempahan di setiap kawasan. Kesemua kami berhubung melalui talian Whatsapp sahaja. Ini lebih mudah untuk kami berinteraksi,” kata anak jati Wakaf Baru, Kelantan ini.

Katanya, pelanggan yang membuat tempahan menerusi laman sosial Facebook perlu membuat bayaran penuh sebelum  Ahad bagi mengelakkan sebarang penipuan berlaku.

“Saya lebih senang begini. Lagipun, bukan mahal sangat hidangan-hidangan KFB. Kebanyakan menu kami berharga kurang RM10,” katanya.

Untung sikit, asal puas hati

Melihat pada senarai harga, boleh dikatakan kesemuanya masih di bawah kadar mampu dan begitu murah.
Dengan mengekalkan aroma, penggunaan bahan masakan yang unik dan disediakan oleh tukang masak terbaik, ia masih dijual pada harga murah.

Tengku Azah berkata, soal keuntungan diletakkan sebagai agenda keduanya, kerana baginya dapat memberikan kepuasan kepada pelanggan dengan hidangan sedap dan murah adalah paling utama.

“Saya adalah seorang yang sangat cerewet soal makan. Saya sukar mendapatkan makanan Kelantan yang sedap di tempat lain. Kerana itulah saya wujudkan KFB ini. Saya kumpulkan hidangan tradisi seperti Nasi Berlauk Air Dingin, Nasi Berlauk Mok

Su Pah, Ayam Percik, Roti Jala dan pelbagai lagi daripada mereka yang benar-benar sedap membuatnya.

“Saya nak kongsi apa menu sedap Kelantan dengan orang di Kuala Lumpur ini. Sebab tu, untung tu saya tak fikir sangat. Tapi, nak kata tak untung langsung tu, tak adalah,” katanya yang bercita-cita untuk membuat tempahan atas talian (online) untuk KFB suatu hari nanti.

Jelasnya, pada ketika ini, tempahan yang diterima mencecah 1000 bungkus dan berharap jumlah itu akan meningkat pada masa hadapan.

Katanya, semua tempahan sudah siap pada jam 5 pagi untuk dihantar ke Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu. Kemudian akan berlepas dan tiba di Lapangan Terbang Subang pada jam 8 pagi. Di situlah ejen akan menunggu.

“Ejen akan mengambil tempahan masing-masing mengikut kawasan. Pelanggan juga sudah menunggu dan semua berlaku sekitar jam 8.30 hingga jam 10 pagi.

“Sarapan mesti tiba pada waktu pagi. Jadi seboleh-bolehnya saya pastikan semua dapat dibuat pada masa yang ditetapkan,” katanya.

p/s : Nasi bungkus naik pesawat bukan perkara baru bagi orang Kelantan kerana pada awal tahun 2014 Nasi Bungkus Pok Nor sudah memulakan penerbangan pertama.

-Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat