PROGRAM Transformasi Nasional (NTP) berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta peluang kerja
PROGRAM Transformasi Nasional (NTP) berjaya mewujudkan sebanyak 1.8 juta pekerjaan yang merangkumi lebih sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi sepanjang tempoh 2010 sehingga tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, NTP yang dilancarkan pada 2010 turut membantu Pendapatan Negara Kasar (GNI) Malaysia meningkat hampir 50 peratus dan Malaysia hampir mencapai matlamat membasmi kemiskinan dengan menurunkan kadarnya kepada 0.6 peratus.
“Kita juga berjaya menurunkan kadar inflasi dan pengangguran serta diiktiraf oleh institusi global seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi perubahan-perubahan yang telah dilakukan.
“Malaysia kekal berada pada landasan kukuh untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. Kita mempunyai perancangan ekonomi yang baik. Pelan itu berkesan dan telah dilaksanakan serta kita akan terus berbuat demikian,” katanya dalam ucaptama Forum Transformasi Global 2017 di sini hari ini.
Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu), Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.
Forum tersebut yang berlangsung selama dua hari bermula hari ini akan turut dihadiri oleh beberapa personaliti terkemuka seperti jaguh pecut Olimpik, Usain Bolt; Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba Group, Jack Ma; Pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson serta usahawan dan penulis The Pursuit of Happyness, Chris Gardner.
Menurut Najib, selain berhasrat mencapai status negara berpendapatan tinggi, NTP juga bertujuan menjana pelbagai manfaat bagi seluruh rakyat Malaysia.
“Ini amat penting supaya tiada golongan masyarakat tercicir, keperluan rakyat dipenuhi dan semua komuniti boleh menyumbang serta berkongsi kekayaan negara.
“Malah, bagi membantu mereka yang kurang kemampuan menangani kos sara hidup yang tinggi serta meningkatkan aktiviti ekonomi dalam pasaran pengguna, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) telah diperkenalkan pada 2012. Inisiatif ini membantu 7.28 juta isi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan pada 2016,” katanya.