10 Jenis Hantu Yang Terkenal Di Malaysia
Masyarakat melayu tidak boleh dipisahkan dengan perkara mistik ini. Kebanyakan orang melayu zaman dahulu menggunakan jembalang,jin atau hantu ini untuk kepentingan mereka sendiri. Ada yang membela untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga. Ada juga yang menjadikan entiti halus ini sebagai penjaga kebun atau kawasan tanaman. Itu dikira sebagai tujuan yang agak baiklah.
Ada juga masyarakat melayu yang berhati busuk menggunakan belaan mereka untuk merosakkan hidup orang lain. Meruntuhkan rumah tangga orang, menghantar belaan untuk menyakiti orang lain dan banyak lagi. Sebab itulah masyarakat melayu pada zaman dahulu amat berhati-hati dengan entiti mistik ini. Masuk je waktu Maghrib semua orang dah berkurung dalam rumah.
Ada juga hantu-hantu yang tidak mempunyai tuan. Kebiasaan hantu-hantu ini menjadi penjaga di sesuatu tempat. Masyarakat kita percaya bahawasanya terdapat penjaga di pokok-pokok besar, di kubur dan di dalam hutan. Kalau kita dapat lihat pakcik-pakcik atau makcik-makcik sering kali meminta izin terlebih dahulu jika lalu di bawah pokok besar ataupun ingin masuk ke hutan, itu merupakan salah satu cara mereka untuk menghormati makhluk halus yang mendiami kawasan tersebut.
Kepercayaan ini masih lagi ada di zaman sekarang. Orang-orang tua sering memberitahu anak perihal hantu-hantu yang sudah legend di Malaysia ini. Saya akan kongsikan 10 jenis hantu yang terkenal di Malaysia dalam kalangan masyarakat kita.
1. Pontianak
Hantu yang paling popular semestinya pontianak. Masakan tidak, budak-budak kecil pun tahu yang pontianak itu hantu yang menakutkan. Dalam filem-filem juga juga banyak menayangkan wajah hantu pontianak seperti dalam cerita Pontianak Harum Sundal Malam. Dengar namanya pun dah berdiri bulu roma.
Hantu pontianak dipercayai berasal daripada tubuh seorang wanita yang mati ketika mengandungkan anaknya. Tragis kan. Hilai tawa daripada hantu ini cukup menyeramkan. Sekali dengar pontianak mengilai. Terkencinglah kita dibuatnya.
2. Toyol
Toyol dipercayai mirip seorang anak kecil berkepala botak, bermata merah dan bergigi tajam. Perangai toyol juga seakan-akan perangai budak kecil yang selalu suka bermain. Pembela toyol biasanya memberi makan darah mereka sendiri pada setiap hari waktu bulan mengambang.Jika tidak diberi makan, toyol akan menghisap darah ahli keluarga pembela yang lain.
Toyol dikatakan amat bijak mencuri wang. Tuan toyol akan menyuruh toyol mencuri di rumah orang tertentu untuk mendapatkan wang. Walaupun rumah atau bilik berkunci, toyol tetap dapat mencuri wang tersebut. Toyol tidak akan mencuri seluruh wang tersebut tetapi hanya sebahagian sahaja yang diambil.
Ada ura-ura yang mengatakan toyol boleh ditangkap jika kita meletakkan kacang hijau di tempat wang yang kita simpan. Toyol akan leka mengira sehingga tuan punya wang datang. Toyol kan budak kecil. Mengira sampai lima lepas tu dia lupa. Dia kira dan kira sehingga ditangkap. Itu hanyalah kepercayaan orang tua. Betul ke tidak admin pun tak tahu.
3.Pelesit
Pelesit merujuk kepada sejenis makhluk halus yang bertujuan sebagai pelaris dalam perniagaan. Masyarakat kita percaya bahawa pelesit ini berbentuk binatang kecil seperti belalang.Ada juga yang percaya pelesit ini akan membuat orang ramai suka kepada tuannya.
Untuk tujuan pelaris, pelesit biasanya akan pergi ke kedai-kedai pesaing tuannya untuk melingkupkan bisnes mereka. Benda ni banyak yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita. Pelesit ni mampu untuk melumpuhkan perniagaan kita.
4.Hantu Raya
Hantu raya antara hantu yang terkenal dalam kalangan masyarakat kita. Orang yang membela hantu raya biasanya kelihatan seperti kuat dan gagah. Hantu raya boleh membuat kerja yang biasanya dilakukan oleh empat atau lima orang.
Hantu raya juga boleh menjelma seperti bentuk tubuh sasa seorang lelaki. Selain untuk membuat kerja-kerja berat, tuan hantu raya boleh mengarahkannya untuk membinasakan musuh dan orang lain. Kita biasa dengar jika bumbung rumah kita yang berbumbungkan zin, pasti ada bunyi kuat seperti orang berjalan diatasnya. Itulah dikatakan hantu raya tengah mengganggu orang di dalamnya.
5.Pocong
Jika sebut je pasal pocong semua orang akan terbayang susuk tubuh yang dibalut dengan kain kapan. Masa kecil-kecil dulu pasti takut kan nak lihat mayat yang telah dikapankan. Hantu pocong biasanya tidak mempunyai tuan. Ia mungkin jelmaan jin yang ingin menakutkan masyarakat sekitar.
Orang yang lemah semangat pasti kena kacau jika lalu ditempatnya. Hantu pocong ini dikatakan akan meloncat ataupun kadang kala dia akan bergolek. Seram kan. Ada yang mengatakan sesiapa yang berjaya menangkap pocong akan jadi kaya kerana dalam bungkusan pocong terdapat wang yang banyak.
6.Langsuir
Hantu langsuir dikatakan hantu yang akan menghisap darah mangsa selepas dirasuk. Hantu langsuir persis seorang perempuan berambut panjang dan mempunyai muka yang meyeramkan. Hilai tawanya juga akan membuatkan anda tenggelam ke dunia ketakutan.
Kononnya hantu langsuir akan berubah menjadi perempuan yang cantik selepas dipaku di belakang lehernya. Ada ke yang berani? Dengar hilainya pun korang dah cabut lari. Hantu langsuir ni boleh lah kita anggap sebagai hantu yang legend. Tak pernah lagi dipaku selama ni.
7.Hantu Galah
Hantu galah ialah hantu yang berbentuk seperti seorang lelaki tetapi mempunyai ketinggian yang cukup tinggi. Hantu ini biasanya ditemukan di hutan-hutan yang tidak berpenghuni. Orang yang terserempak dengannya pasti menyangka kakinya sebagai pokok. Kakinya yang berbulu panjang pasti akan menyedarkan orang yang bersandar dekat dengannya.
Manusia yang sering bersahabat dengan hantu galah dikatakan mencabut bulu betisnya yang panjang. Kemudian mereka akan membakar bulu tersebut untuk meminta pertolongan daripadanya. Hantu ini biasanya hanya mengganggu manusia dan tidak menyebabkan kemudaratan.
8.Orang Minyak
Orang minyak merujuk kepada orang yang mengamalkan ilmu batin ataupun ilmu hitam untuk kepentingan diri sendiri seperti menceroboh rumah orang. Mitos mengatakan orang minyak ini tersalah menuntut ajaran dan badannya menjadi hitam berminyak. Untuk menyembuhkan penyakit ini , orang minyak perlu menodai 40 orang gadis sunti.
Mangsa akan dipukau dan dinodai. Orang minyak akan meninggalkan tanda pangkah di muka mangsa tersebut.Orang minyak mampu menembusi bilik yang berkunci dengan senang sahaja. Untuk mengelakkan diganggu oleh orang minyak, petua lama menyuruh kita menabur kelopak jantung pisang dan daun keladi bira di sekeliling bilik.
9.Penanggal
Penanggal sering kali digambarkan dengan kepala seorang wanita yang terbang tanpa badan. Isi perutnya jelas kelihatan berurai dan paru-parunya masih lagi terikat dengan kemas. Orang yang mengamalkannya akan memberi makan darah orang yang beranak.
Salah satu cara untuk memerangkap penanggal adalah dengan meletakkan benda yang tajam di sekeliling rumah. Masyarakat percaya yang isi perutnya akan terlekat pada benda yang tajam seperti daun mengkuang. Apabila matahari muncul, pasti penanggal akan terbakar kerana tidak dapat bercantum semula dengan badannya.
10.Hantu Kubur
Hantu kubur dikatakan sebagai penjaga dikubur-kubur pada waktu malam. Hantu kubur amat ditakuti kerana sering mengganggu orang yang melintas ditepi kubur. Ada yang munculkan diri sekadar untuk bergurau. Ada juga yang ingin menakutkan orang supaya tidak melalui jalan itu lagi.
Hantu kubur biasanya tidak mempunyai tuan tetapi dipercayai roh-roh yang tidak nyaman menjelma kembali untuk menyesatkan manusia. Hantu ini tidak mendatangkan bahaya kepada masyarakat kerana sekadar mengusik ‘manja’ katakan.
Itulah 10 hantu yang boleh dikatakan terkenal dalam kalangan masyarakat Malaysia. Ada yang sudah tidak percaya dengan entiti mistik ini kerana kemajuan dunia zaman sekarang. Namun beringatlah tiada yang lebih berkuasa selain Yang Maha Esa. 🙂