Kenali 9 Jenis Warna Air Kencing Untuk Ketahui Tahap Kesihatan Anda


Bila anda buang air kecil, adakah anda terus flush atau lihat dulu warna air kencing? Walaupun nampak remeh, sebenarnya warna air kencing boleh menjelaskan masalah kesihatan yang anda hadapi lebih-lebih lagi jika warnanya lain daripada kebiasaan.

Biasa kita dengar air kencing berwarna pekat disebabkan oleh kurangnya minum air. Fakta ini benar tetapi anda juga perlu tahu beberapa warna air kencing lain yang boleh menjadi petanda bagi sesetengah masalah kesihatan.

Memetik Healthline.com, warna air kencing boleh dikategorikan kepada 9 jenis dan ia memberikan maksud yang berbeza kepada tahap hidrasi dan kesihatan anda.

 Warna Air Kencing Serta Maksudnya Pada Kesihatan

Tiada Warna atau Jernih

Air kencing yang tiada warna atau jernih menandakan anda minum terlalu banyak air. Ia bukanlah amalan yang tidak baik untuk kesihatan, namun berhati-hatilah agar tidak minum berlebihan.

Jika anda sering dapati air kencing jernih, anda boleh kurangkan sedikit minum air untuk dapatkan warna air kencing yang sihat dan normal.

Perhatikan juga jika air kencing sentiasa jernih walaupun anda tidak selalu minum air. Ia boleh menandakan masalah hati seperti cirrhosis atau hepatitis. Berjumpalah dengan doktor jika perkara ini sentiasa berlarutan.

Warna Putih Susu

Selain air mani, air kencing berwarna putih susu boleh menjadi simptom bagi jangkitan salur kencing atau masalah mineral berlebihan dari badan seperti kalsium, fosfat dan protein.

Warna Kuning Pucat

Kalau nak tahu, warna kuning pucat sebenarnya adalah warna air kencing yang optimum dan anda perlu target untuk maintain kesihatan.  Untuk dapatkan warna air kencing yang kuning pucat, anda perlulah minum air secukupnya, amalkan pemakanan sihat dan kerap ke tandas.

terdapat 9 jenis warna air kencing yang boleh dikenalpasti

Kredit Foto : HelloSehat

Warna Kuning Pekat Seakan Madu

Warna kuning pekat seakan madu juga dikira sihat. Namun, jika anda dapati air kencing berwarna kuning yang lebih gelap, ia bermaksud badan anda kekurangan air putih.

Ini menjadikan air kencing lebih pekat dan lebih kuat baunya. Untuk elakkan masalah ini, pastikan anda minum lebih banyak air untuk kembalikan warna air kencing kepada paras yang lebih normal.

Warna Coklat

Air kencing berwarna coklat boleh berpunca dari beberapa faktor seperti :

Masalah kesihatan

  • Dehidrasi terlampau
  • Penyakit hati
  • Penyakit darah bawaan genetik yang jarang dilaporkan iaitu porphyria.

Pengambilan Ubat

Antara ubat yang boleh menyebabkan air kencing menjadi coklat ialah :

  • Metronidazole
  • Nitrofurantoin
  • Chloroquine
  • Ubat pelawas berasaskan daun senna

Selain itu, air kencing juga boleh berubah jadi coklat pada sementara waktu apabila seseorang melakukan senaman fizikal yang berat.

Jika anda dapati warna air kencing sentiasa berwarna coklat, segeralah berjumpa doktor untuk kenalpasti masalah kesihatan yang mungkin anda alami.

Warna Merah atau Merah Jambu

Air kencing yang berwarna merah atau merah jambu pula boleh berlaku disebabkan oleh beberapa faktor seperti :

Pemakanan

Air kencing cenderung untuk berubah kepada warna kemerahan jika anda makan makanan berpigmen merah seperti beri biru, buah naga atau ubi bit.

Masalah Kesihatan

Sesetengah masalah kesihatan juga boleh menyebabkan darah muncul pada air kencing. Kondisi ini dinamakan hematuria dan boleh berlaku pada individu yang alami penyakit seperti :

  • Prostat bengkak
  • Batu karang
  • Tumor pada buah pinggang dan pundi kencing.
warna air kencing juga boleh bertukar kemerahan akibat kehadiran darah

Kredit Foto : Berita Harian

Pengambilan ubat

Jenis-jenis ubat yang boleh menyebabkan air kencing berwarna merah atau merah jambu adalah :

  • Antibiotic rifampin
  • Phenazopyridine
  • Ubat lawas berasaskan daun senna

jenis warna air kencing yang menandakan tahap kesihatan

Warna Oren

Air kencing berwarna oren boleh berpunca dari beberapa faktor seperti :

Pengambilan ubat

  • Ubat antiradang seperti sulfasalazine dan phenazopyridine
  • Sesetengah jenis ubat lawas
  • Sesetengah ubat kemoterapi

Masalah Kesihatan

Dalam sesetengah kes, air kencing berwarna oren juga boleh menjadi petanda kepada masalah kesihatan seperti :

  • Penyakit hati
  • Penyakit hempedu
  • Kekurangan air dalam badan
  • Demam Kuning

Warna Kebiruan atau Kehijauan

Mungkin terdengar agak aneh, tetapi air kencing berwarna kebiruan atau kehijauan boleh berpunca dari beberapa faktor seperti :

Pengambilan Ubat

Antara ubat yang boleh menjadikan air kencing berwarna kebiruan atau kehijauan adalah :

  • Cimetidine
  • Amitriptyline
  • Indomethacin
  • Promethazine
  • Supplemen vitamin B

Pemakanan

Selain ubat-ubatan, makanan yang mengandungi pewarna seperti gula-gula dan sebagainya juga boleh menukar warna air kencing kepada kehijauan atau kebiruan.

Prosedur Perubatan

Kalau nak tahu, sesetengah prosedur perubatan juga gunakan pewarna untuk lakukan ujian saringan pada buah pinggang atau hempedu.

Ini juga boleh menyebabkan air kencing anda berubah berwarna kehijauan atau kebiruan.

Masalah Kesihatan

  • Masalah kesihatan bawaan genetik yang dikenali sebagai Blue Diaper Syndrome boleh menyebabkan warna air kencing kebiruan.
  • Jangkitan kuman pada salur kencing akibat bakteria pseudomonas  boleh menyebabkan air kencing berubah menjadi kehijauan.

Sifat Air Kencing Lain Yang Boleh Menjadi Petanda Masalah Kesihatan

Air Kencing Keruh

Air kencing keruh juga boleh menjadi pentanda jangkitan pada saluran kencing.

Ia juga boleh menjadi simptom bagi penyakit kronik serta masalah buah pinggang.

Ibu hamil yang alami masalah air kencing keruh perlulah dapatkan rawatan segera kerana ia boleh menjadi petanda bagi komplikasi preeklampsia.

Maklumkan pada doktor juga jika anda turut alami kencing berbuih ketika hamil.

Air kencing yang keruh yang turut hadir dengan buih atau busa pula boleh menjadi gejala bagi simptom penyakit yang serius seperti Crohn’s disease atau diverticulitis.

Air Kencing Berbuih

Keadaan ini juga perlu diberikan perhatian segera kerana ia sering menjadi petanda bagi penyakit buah pinggang.

Walaupun sering dikaitkan dengan masalah buah pinggang, ia juga boleh menjadi simptom bagi masalah kesihatan lain seperti diabetic nephropathy dan ejakulasi retrograde.

Bila anda dapati air kencing sering berbuih, jangan berlengah untuk dapatkan pemeriksaan kesihatan segera.

selain warna air kencing, kencing berbuih juga boleh menjadi petanda masalah kesihatan

Kredit Foto : Mysihat.com

Rupanya ada banyak kategori warna air kencing yang perlu dikenalpasti. Walaupun sesetengahnya berlaku atas faktor pemakanan atau pengambilan ubat, sesetengah warna air kencing juga boleh menjadi petanda bagi pelbagai jenis penyakit.

Perhatikan juga jika air kencing anda kelihatan keruh atau berbuih kerana ia juga menjadi isyarat kepada beberapa masalah kesihatan yang perlu diberikan perhatian segera.

Segeralah berjumpa doktor bagi mengenalpasti sebarang masalah kesihatan yang mungkin anda alami apabila air kencing tidak berada pada warna yang optimum.

Anda juga perlu rajin check warna air kencing dan jangan bergegas untuk flush setiap kali buang air kecil.

Jangan lupa juga untuk minum air secukupnya dan amalkan pemakanan sihat bagi mengekalkan warna air kencing yang normal.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat