Kepupusan Badak Sumbu Sumatera Di Malaysia
Negara kita telah kehilangan badak sumbu Sumatera terakhir yang terdapat di Santuari Badak Borneo, Hutan Simpan Hidupan Liar Tabin, di Lahad Datu apabila ianya disahkan mati pada 23 November lalu.
Badak sumbu tersebut dikenali sebagai ‘Iman’ disahkan mati pada jam 5.35 petang pada hari tersebut. Ia dikategorikan sebagai mati mengejut.
Badak sumbu tersebut disahkan mengalami masalah ketumbuhan pada uterus sejak bulan Mac 2014.
Menurut Pengarah JHL Sabah, Augustine Tuuga, pihaknya telah menjangkakan kematian Iman apabila masalah kesihatannya semakin merosot sejak kebelakangan ini. Sel kansernya telah merebak ke anggota lain.
Media juga melaporkan bahawa proses pengambilan telur untuk pembiakan secara in-vitro (IVF) tidak boleh dilakukan kerana Iman yang berusia 25 tahun itu semakin tenat .
Jom kita ketahui serba sedikit mengenai badak sumbu Sumatera ini:
- Badak sumbu Sumatera ini juga dikenali sebagai Badak Sumbu Kerbau.
- Merupakan spesis badak yang terkecil saiznya di dunia, dan merupakan salah satu haiwan yang dilindungi.
- Nama saintifiknya ialah Dicerorhinus sumatrenesis.
- Merupakan haiwan mamalia yang hidup bersendirian dalam habitat yang lembap dan teduh.
- Badak sumbu ini sering berkubang untuk menyejukkan badan, menghalang lalat pikat dari menghisap darahnya serta mengelakkan berlakunya jangkitan penyakit kulit.
- Jika terlampau lama terkena cahaya matahari, kulitnya akan menipis.