“Saya Sertai Ratu Cantik Untuk Kepentingan Saya, Bukan Kerana Saya Cintakan Negara Saya.” – Peserta Ratu Cantik Abby Lee Kena Kecam Teruk Oleh Netizen Kerana Tidak Bangga Lahir di Malaysia.
“Kenapa saya dilahirkan di kampung di Malaysia dan bukan bandar besar di China? Saya suka China dan Jepun,” kata peserta peringkat akhir Miss International Malaysia (MIM) 2022, Abby Lee yang dikecam teruk beberapa hari ini atas kenyataan yang menyakiti hati ramai rakyat Malaysia.
Perkara ini mula tular apabila seorang pengguna Facebook bernama Hui Yue berkongsi beberapa siri kenyataan yang berbaur kritikan di mana Lee didakwa mengutuk Malaysia dan menyerang masyarakat di Asia.
“Saya tak tahu pula seseorang yang tidak mahu mengaku dirinya rakyat Malaysia layak untuk bergelar finalis bagi Miss International Malaysia”, ungkap Hui Yue dalam hantarannya mengenai Abby Lee.
Dalam satu tangkap layar yang tular di media sosial, Lee mengaku dia hanya sertai pertandingan kecantikan itu kerana meminatinya, bukan kerana cintakan negara.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa mahu berhijrah..”
“Saya menyertai ini untuk kepentingan saya, bukan kerana saya cintakan negara saya. Mereka yang rapat dengan saya sentiasa tahu yang saya langsung tidak mengambil berat tentang negara. Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai rakyat Malaysia dan sentiasa mahu berhijrah,” tulisnya.
Lee juga didakwa pernah mengeluh bahawa dia sepatutnya dilahirkan di negara yang dipandang tinggi seperti Jepun atau China berbanding lahir di negara ini.
Dia memberikan kenyataan tersebut selepas insiden di mana seorang jurugambar telah mengambil gambarnya dengan kualiti yang tidak baik semasa pertandingan itu.
Kenyataan Lee nyata mencetuskan kemarahan warganet Malaysia. sebahagian mengkritik beliau atas sikap yang tidak jujur dan rasis.
Ada juga netizen yang meminta finalis itu untuk keluar dari Malaysia jika tidak berpuas hati. Tidak kurang juga sesetengah netizen berpendapat yang Lee tidak mempunyai kualiti sebagai seorang ratu cantik.
Abby Lee Mohon Maaf
Bagi membalas kritikan orang ramai tentang dirinya, Lee tampil mengeluarkan kenyataan di sosial media mengatakan bahawa tuduhan yang tular adalah palsu.
Dia juga memaklumkan terdapat beberapa insiden yang berlaku disebabkan emosi yang tidak stabil.
Lee turut menjelaskan bahawa dia tidak mempunyai niat yang jahat dan meminta maaf kepada orang ramai yang terkesan dengan kelakuannya.
“Saya memohon maaf atas perbuatan saya yang beremosi ini, maaf, MIM tidak terlibat dalam isu ini dan telah memberi amaran kepada saya setelah mengetahuinya (sic).
“Saya amat kesal kerana menimbulkan masalah kepada MIM.
“Sebarang mesej lain adalah khabar angin yang tidak berasas, tetapi salah saya kerana membiarkannya berlaku kepada MIM, sekali lagi sangat menyesal untuk itu,” katanya.
Isu ini jelas telah mencalarkan reputasi MIM sebagai platform pertandingan ratu cantik yang popular di Malaysia. Setakat ini, pihak MIM belum keluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai perkara ini.