TULAR : Menteri India Dikecam Gara-gara Kencing Sembarangan
INDIA – Kecoh seluruh dunia selepas gambar seorang Menteri Pertanian di India, Radha Mohan Singh (67) menjadi tular di media-media sosial. Dalam gambar berkenaan, Radha didapati sedang berdiri sambil membuang air kecil di tempat yang terbuka.
Tindakan Menteri Pertanian India, Radha Mohan Singh (67) membuang air kecil di sekitar kawasan sekolah telah dikecam teruk oleh netizen.
Radha kelihatan jelas sedang membuang air kecil di tembok bangunan di sebuah sekolah yang terletak di Bihar, India. Dalam gambar yang tersebar itu juga, Radha kelihatan seperti tidak mengendahkan tentera yang mengawalnya di belakang.
Majoriti netizen mengecam menteri tersebut kerana tindakan beliau tidak sesuai dengan program “India Bersih” anjuran Perdana Menteri Narendra Modi.
Program tersebut dilaksanakan oleh pemerintah negara berkenaan bagi menyampaikan mesej yang bertujuan untuk mempengaruhi kelakuan rakyat negara tersebut, samada yang ingin membuang air kecil mahupun membuang air besar agar menggunakan kemudahan tandas awam yang disediakan dan bukannya melepaskan hajat mereka di sembarangan tempat.
Jurucakap parti Bharatiya Janata membantah penyebaran gambar tersebut. Menurutnya, gambar tersebut tidak ada yang salah.
“Tidak ada yang salah dalam gambar itu. Apa yang akan anda lakukan ketika dalam perjalanan jauh dan ketika itu tidak ada tandas awam?,” kata Rajib Ranjan, jurucakap parti Bharatiya Janata.
Rajib juga menegaskan bahawa gambar tersebut sudah agak lama. Dia mendakwa bahawa gambar itu diambil sekitar enam bulan atau setahun yang lalu.