5 Persediaan Menyambut Ramadhan Kareem


Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan, tidak lama lagi kita bakal menyambut Ramadhan Kareem. Bersediakah kita? Bulan yang besar dan penuh keberkatan serta banyak kelebihannya haruslah disambut dengan penuh perasaan ta’zim (membesarkan) dan mengalu-alukannya.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang terlalu banyak kelebihannya. Di dalamnya terdapatnya malam lailatul Qadar iaitu malam kemuliaan yang lebih baik dari 1000 bulan. Pada bulan tersebut Allah akan membuka pintu syurga, menutup pintu neraka dan mengikat syaitan-syaitan bagi memberi peluang kepada manusia untuk membersihkan diri mereka sebersih-bersihnya. Amal-amal ibadah dan kebajikan digandakan Allah di mana yang sunat diberi pahala wajib/fardhu dan yang fardhu menyamai 70 fardhu di bulan-bulan yang lain.

“Allahumma Ballighna Ramadhan”

Ia merupakan doa dan harapan. Menjadi tanda bagi hamba-hamba yang soleh bahawa mereka mengidam dan tamakkan limpahan Allah dalam bulan ini (Rahmat, Keampunan, Pelepasan dari Neraka). Kita mesti sentiasa berjaga-jaga agar peluang ini tidak disia-siakan atau berlalu tanpa dimanfaatkan.

Maka bagaimanakah caranya kita menyambut kedatangan bulan Ramadhan yang mulia ini? Persediaan yang rapi dan terancang sangat penting dalam menjayakan Ramdhan kali ini. Janganlah sia-siakan peluang kali ini kerana entah-entah inilah Ramadhan terakhir buat kita.

5 Persediaan Untuk Menyambut Ramadhan

  1. Berdoalah agar Allah سبحانه وتعالى. Memberikan kesempatan kepada kita untuk bertemu dengan bulan Ramadhan dalam keadaan sihat wal afiat. Dengan keadaan sihat, kita dapat melaksanakan ibadah secara maksima di bulan itu, baik puasa, solat, tilawah dan zikir.
  2. Bersyukurlah dan pujian kepada Allah سبحانه وتعالى atas kurniaan Ramadhan yang kembali diberikan kepada kita. Al-Imam Nawawi dalam kitab Adzkarnya berkata, “Dianjurkan bagi setiap orang yang mendapatkan kebaikan dan diangkat dari dirinya keburukan untuk bersujud kepada Allah sebagai tanda syukur dan memuji Allah dengan pujian yang sesuai dengan keagungannya.” Dan di antara nikmat terbesar yang diberikan Allah سبحانه وتعالى kepada seorang hamba adalah ketika dia diberikan kemampuan untuk melakukan ibadah dan ketaatan. Maka, ketika Ramadhan telah tiba dan kita dalam keadaan sihat wal afiat, kita harus bersyukur dengan memuji Allah sebagai bentuk syukur.
  3. Bergembiralah dengan kedatangan bulan Ramadhan. Rasulullah ﷺ selalu memberikan kabar gembira kepada para sahabat setiap kali datang bulan Ramadhan, “Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah mewajibkan kepada kamu untuk berpuasa. Pada bulan itu Allah membuka pintu-pintu syurga dan menutup pintu-pintu neraka.” (HR. Ahmad).Salafush-soleh sangat memperhatikan bulan Ramadhan. Mereka sangat gembira dengan kedatangannya. Tidak ada kegembiraan yang paling besar selain kedatangan bulan Ramadhan karena bulan itu bulan penuh kebaikan dan turunnya rahmat.
  4. Rancanglah agenda kegiatan untuk mendapatkan manfaat sebesar mungkin dari bulan Ramadhan. Ramadhan sangat singkat. Kerana itu, isi setiap detiknya dengan amalan yang berharga, yang dapat membersihkan diri, dan mendekatkan diri kepada Allah سبحانه وتعالى.
  5. Bertekadlah mengisi waktu-waktu Ramadhan dengan ketaatan. Sesiapa Jujur kepada Allah سبحانه وتعالى, maka Allah akan membantunya dalam melaksanakan agenda-agendanya dan memudahkannya melaksanakan perkara-perkara kebaikan.

“Para sahabat yang bersama dengan Rasulullah s.a.w dididik menyambut dan menanti Ramadhan dengan penuh kerinduan dan kecintaan. Ini terbukti dengan doa mereka selama enam bulan sebelum Ramadhan menharap agar bertemu dengannya. Kemudiannya, enam bulan selepas Ramadhan pula diisi dengan tangisan kerana berlalunya Ramadhan. Tetapi bagaimanakah dengan kita?”

Sumber rujukan :akuislam.com & shafiqolbu.wordpress.com

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Terkini @ Daily Rakyat