11 Adab Bermusafir Mengikut Sunnah Rasulullah SAW Yang Mudah Diamalkan Kita Sekeluarga
Musim cuti sekolah semakin hari makin mendekat. Sekejap sahaja kita akan menghampiri akhir tahun 2018 ini. Ibu bapa mungkin ada yang merancang untuk pulang ke kampung halaman atau membawa anak2 bercuti di mana mana sahaja tempat yang menarik. Namun, tidak ramai yang tahu mengenai adab adab bermusafir.
Musafir bermaksud seseorang yang melakukan perjalanan melebihi 2 marhalah atau 90 km. Oleh itu di sini kami sediakan adab adab yang perlu ada semasa bermusafir mengikut sunnah baginda Rasulullah SAW.
1. Tujuan bermusafir adalah dengan niat yang baik dan bukan dengan tujuan melakukan maksiat.
Apabila keluar dari rumah haruslah dimulakan dengan kaki kanan dan membaca basmallah. Bertawakallah kita kepada Allah supaya kita sentiasa di lindungi di bawah payung rahmat-Nya.
Apabila kita bermusafir dengan menaiki kenderaan bacalah doa menaik kenderaan terlebih dahulu.
2. Menunaikan solat sunat 2 rakaat di rumah sebelum bermusafir.
Sabda Nabi Muhammad S.A.W maksudnya:
”Perkara yang terbaik yang ditinggalkan oleh seorang lelaki kepada ahli keluarganya apabila dia bermusafir ialah menunaikan solat dua rakaat”
3. Digalakkan memulakan perjalanan pada Khamis.
Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Rasulullah SAW berangkat ke Perang Tabuk pada Khamis. Rasulullah menyukai memulai perjalanannya pada Khamis.” (Hadis Riwayat Bukhari)
4. Dianjurkan memulakan perjalanan pada waktu malam.
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Berjalanlah pada waktu malam kerana bumi dijadikan lebih pendek pada waktu malam.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
5. Dianjurkan bermusafir dalam berkumpulan
Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Jika manusia mengetahui bahaya bermusafir sendirian sebagaimana aku ketahui, tentu mereka enggan bermusafir sendirian.” (Hadis Riwayat Bukhari)
6. Berdoa dalam bermusafir.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiga doa yang pasti akan dikabulkan Allah S.W.T ialah doa orang teraniaya, doa orang dalam musafir (perjalanan) dan doa orang tua terhadap anaknya.” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
7. Meraikan permulaan perjalanan dan berdoa
Dalam hadis riwayat Tirmidzi, Abu Hurairah r.a meriwayatkan, seorang lelaki berkata (kepada Rasulullah), wahai Rasulullah, saya akan memulai perjalanan (musafir), jadi berikanlah nasihat kepada saya.
Nabi SAW bersabda:
“Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah dan bertakbir setiap kali melewati (melalui) tempat yang tinggi. Selepas lelaki itu pergi, Nabi SAW berdoa, “ Ya Allah, dekatkanlah jarak perjalanannya dan mudahkan perjalanannya.”
Nabi SAW apabila menghantar seseorang bermusafir, tidak melepaskan tangannya daripada orang terbabit sebelum orang berkenaan melepaskan dahulu tangannya.
Kemudian, baginda berdoa yang bermaksud : “Saya titipkan kepada Allah agamamu, amanatmu dan kesudahan amalmu.” (Hadis Riwayat Ahmad)
8. Dianjurkan juga segera kembali kepada keluarga apabila urusan sudah selesai.
Sabda Nabi SAW bermaksud:
blockquote>“Perjalanan adalah sebahagian daripada azab. Dia tidak dapat makan enak dan minum sepuas-puasnya serta tidur dengan nyenyak. Apabila seorang daripada kamu sudah menyelesaikan hajatnya, segeralah kembali kepada keluarganya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
9. Membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk diri sendiri.
Di antara perkara sunat dalam bermusafir ialah seseorang perlu membawa bersamanya beg kecil berisi keperluan asas untuk dirinya. Setiap kali bermusafir, Nabi SAW membawa beg kecil berisi siwak. Baginda sentiasa membawa siwak ketika bermusafir. Baginda juga membawa sikat, cermin, celak dan kayu wangi. Kayu wangi ini dianamakan Al-Midra, dengannya baginda meleraikan rambut.
10. Mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga.
Dengan memohon penjagaan daripada Allah SWT. Inilah sunnah yang dibaca oleh Nabi SAW kepada beberapa sahabat, “Aku pohon agar kau dijagai Allah S.W.T. yang takkan hilang jagaan daripadaNya”.
11. Sunat bagi meminta didoakan oleh orang musafir.
Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. meminta salah seorang sahabatnya iaitu Umar Al-Khattab agar mendoakannya ketika dia berangkat untuk bermusafir apabila dia datang meminta izin daripada Rasulullah SAW. Lalu Nabi SAW. bersabda,
“Saudaraku, janganlah kau lupa untuk mendoakan kami.” Rasulullah SAW. sendiri meminta sahabatnya mendoakan untuknnya.
Terdapat banyak lagi adab2 yang boleh diikuti semasa anda bermusafir. Sunnah tidak rugi jika dilakukan boleh menambah pahala dan menambah ilmu pengetahuan. Sentiasalah beradab walau dimana sahaja anda berada kerana dari situ anda akan dihormati dan disanjungi.