Roshaizul Nizam : Bagaimana Kerepek Rangup Bermula?
Idea asal jual kerepek ni bukan idea aku. Idea rakan serumah masa aku bujang dulu merangkap abang long negara Besut, Wan Hamery.
Bersungguh betul beliau menghasut aku untuk ambil kerepek di Johor dan jual di pejabat kami.
Aku agak ragu- ragu dengan idea tersebut. Ialah, pada masa tu memang dah ada orang lain yang jual kerepek di pejabat. Tak kan lah kami nak potong line!
Beliau terus menghasut aku. Dia kata, kita jual kerepek yang orang tersebut tak jual.
Aku termakan dengan hasutan beliau. Aku balik Johor, beli kerepek di kedai Jeyhan di simpang Parit Raja Darat. Itu sahajalah masa tu yang aku tahu tempat jual kerepek paling murah. Juga, aku kenal juga dengan taukenya. Sebab, masa belajar dulu aku selalu beli tembakau Bison di kedai itu.
Aku beli kerepek ubi pedas kering 5kg dan ubi kari 5kg.
Balik Dungun, kami bungkus setengah-setengah kilo. Lepas tu letak di pejabat.
Masa itu, bulan puasa. Kami jangka semua 10kg akan habis sebelum cuti raya.
Kami punya asa, Allah punya kuasa. Laku setengah kilo sahaja. Kah kah kah.
Kecewalah juga. Lepas raya, kami bungkus balik kecil-kecil, seringgit seringgit. Letak di kedai-kedai makan dan pejabat kami.
Laku! Tak sampai sebulan dah habis stok. Kami kembali bersemangat…
Lepas kerepek yang dijual untuk raya tak laku; lepas raya, kami bungkus kerepek kecil-kecil untuk dijual RM1 sebungkus. Kami letak di pejabat kami, aras 3.
Punyalah malu nak berniaga, kami tak bagi tahu pun kami yang jual kerepek tu. Kerepek tu diletak dalam bakul. Sebelah bakul tu ada tabung duit. Jadi, siapa nak beli, secara jujur akan masuk duit dalam tabung itu.
Kemudian, kami terfikir. Makan kerepek mesti rasa haus nak minum air. Lalu kami turut jual air kotak dan air tin. Juga dijual dengan harga RM1.
Jualan memberangsangkan. Kurang sebulan stok 10kg tu dah habis. Terus aku balik Johor. Ambil lagi kerepek di Kedai Jeyhan. Aku tak ingat berapa kilo. Tapi lebih dari 10kg.
Balik Dungun, kami packing semua jadi bungkusan RM1. Selepas itu kami melebarkan sayap ke aras 2 dan aras 1 pejabat kami. Jualan kekal memberangsangkan.
Bangkai gajah manakan boleh ditutup, inikan pula kerepek yang rangup dan sedap. Lama-kelamaan perniagaan kami diketahui rakan-rakan sepejabat. Bukan sahaja rakan sepejabat, malah rakan-rakan di pejabat sebelah-menyebelah turut mengetahui.
Lalu, kami melantik ejen pertama kami Shahrulnizam Siran. Pejabat beliau ramai gadis masa tu. Gadis-gadis ini suka makan kerepek. Ialah, nak diet tak makan nasi kot. Kalau jualan di pejabat kami lajunya macam motor EX5, jualan di pejabat sebelah ini selaju motor EX5 karburator Kawasaki.
Kemudian, kami berkembang ke pejabat sebelah yang satu lagi. Mohd Firdaus Che Soh sudi menjadi ejen. Pejabat beliau pun ramai gadis. Jadi, selaju EX5 karburator Kawasaki jugalah jualannya.
Masa tu dah mula seronok jual kerepek. Penat sebenarnya. Untung tak la banyak. Tapi seronok.
Lepas tu, kami letak pula kerepek kami di koperasi. Masa tu Nurulhuda Ismail belum jadi pengurus. Jualan di koperasi memang laju. Lajunya macam RXZ korek blok.
Jualan dalam politeknik sahaja dah cukup sedap masa tu. Aku kena balik Johor sekurang-kurangnya 2 bulan sekali. Kalau awal semester, sebulan sekali aku balik Johor.
Sekali balik Johor, penuh kereta Iswara aku. Sampai bumbung. Bonet pun penuh. Pernah sekali aku kena tahan polis pukul 11 malam di Jalan Wong Ah Jang, Kuantan. Nyaris juga kena saman sebab lebih muatan. Nyaris juga polis suruh aku pungkah keluar kerepek. Takut-takut ada benda terlarang dalam kerepek katanya. Tetapi, memandang ada nur cahaya (agaknya) pada wajah aku, aku dilepaskan dengan sedikit penerangan dan penegasan.
Pada peringkat awal ni semua sedap (macam kahwin). Bila dah lama sikit, jualan kami mula merosot. Kau nak tahu kenapa? Tunggu sambungan bahagian ke 3 yang entah bila akan keluar. Kah kah kah!
Mana sambungan nya?