Remaja Mabuk Dibuli Rakan Viral Di Media Sosial
Gejala buli boleh dianggap sebagai masalah yang merangkumi kegiatan seperti memukul, menghina, mendera, memaki dan sebagainya yang dilakukan oleh seseorang terhadap mangsanya. Tidak dinafikan gejala buli banyak berlaku di sekolah dan semakin berleluasa. Gejala buli ini telah mencapai tahap yang membimbangkan pelbagai pihak seperti sekolah, ibu bapa, masyarakat dan negara.
Menurut kajian, gejala buli ini semakin meningkat pada setiap tahun dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi awam. Banyak faktor yang mendorong kepada berlakunya gejala buli ini, bak kata pepatah Melayu Jika tidak kerana angin, takkan pokok bergoyang.
Baru-baru ini, tertularnya satu video dimana beberapa orang pelajar kelihatan sedang membuli rakannya yang berada dalam keadaan mabuk. Pengguna laman sosial meluahkan rasa terkilan susulan penyebaran video tersebut.
Video berdurasi dua minit setengah itu dimuat naik ke akaun Facebook Malaysian Tamilar Kural, pada Khamis.
Ia memaparkan beberapa orang pelajar, menganggu seorang pelajar yang kelihatan khayal.
Kesemua mereka saling berbalas kata dengan menggunakan perkataan tidak sopan dalam bahasa Tamil, dan adakalanya didengari menggesa rakan mereka yang mabuk itu untuk menari.
Lokasi kejadian tidak dapat dipastikan namun kesemua remaja itu mengenakan uniform sekolah.
Neela Siva dalam komennya berkata, ibu bapa sepatutnya mengetatkan pemantauan terhadap anak-anak remaja kerana dalam usia sedemikian, mereka cenderung untuk mencuba apa sahaja yang diletakkan di hadapan mereka.
“Ibu bapa mesti memantau semua aktiviti anak-anak. Jika tidak, satu lagi kejadian tidak diingini akan berlaku. Bila mereka akan sedar?” kata Neela.
Pendapat sama dikongsi pengguna Facebook lain, dan beranggapan ibu bapa perlu dipertanggungjawab atas kejadian itu.
“Apa tindakan ibu bapa? Jemu mendengar laporan seperti ini,” tulis Thulasi Dhayalan.
“Ini sebahagiannya kesilapan ibu bapa. Mereka sepatutnya memantau aktiviti anak-anak mereka. Memalukan saja,” kata Rasa Suppiah.